Showing posts with label lim hock seng. Show all posts
Showing posts with label lim hock seng. Show all posts

Wednesday, 14 March 2018

Tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak berperikemanusiaan, Peniaga ‘dihalau’ tanpa diberi pampasan

BUTTERWORTH 21 Mac - Kerajaan DAP Pulau Pinang didesak supaya lebih prihatin dengan nasib peniaga di Rumah Hijau Mak Mandin di sini apabila gerai mereka dirobohkan tanpa sebarang pampasan.

Ini kerana peniaga terbabit mendakwa, Ahli Dewan Undang­an Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Lim Hock Seng dan ADUN Sungai Puyu, Phee Boo Poh hanya menabur janji kosong untuk mem­bela nasib mereka.


Menurut peniaga, Hock Seng pernah berjanji kepada penduduk yang Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara (PDT SPU) hanya akan meroboh gerai kosong di kawasan itu.

Namun dakwa mereka, MPSP mengeluarkan notis agar peniaga mengosongkan kawasan itu dalam masa 14 hari yang ber­­a­­k­hir semalam atas alasan kawasan itu terlibat dengan pembesaran jalan.

Bagi seorang peniaga, Zainal Abidin Abdul Rahman, 53, dia menyifatkan tindakan merobohkan gerai itu adalah tindakan tidak berperikemanusiaan kerana mereka ‘dihalau’ tanpa sebarang pampasan biarpun telah berniaga di situ lebih 20 tahun.

“Pada mulanya ketika masalah ini diajukan kepada Hock Seng, beliau mendakwa hanya akan robohkan gerai yang tidak beroperasi dan biarkan lapan daripada 14 peniaga untuk terus berniaga.

“Tapi tiba-tiba kami dapat notis daripada MPSP yang memaklumkan semua gerai di sini akan dirobohkan dan kami diminta berpindah tanpa diberi ganti rugi atau tapak baharu,” katanya ketika mengadakan bantahan aman di kawasan itu hari ini.

Rasa tidak puas hati turut disuarakan Mohd. Nadir Abdullah, 60, yang telah berniaga di kawasan itu sejak lebih 25 tahun lalu dan dipaksa berpindah tanpa dijanjikan lokasi perniagaan baharu.

Jelasnya Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan juga bersikap lepas tangan terhadap nasib mereka, malah langsung tidak melayan permohonan peniaga agar membantu mereka.

“Kami sedia berpindah sekiranya benar kawasan ini terlibat dengan pembesaran jalan, tetapi berilah ganti rugi kepada kami yang berniaga lama di sini dan hilang punca pendapatan.

“Di kawasan ini ada dewan serbaguna milik penduduk Rumah Hijau tapi diserahkan kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan untuk aktiviti mereka sedangkan kami yang mencari rezeki di sini merempat,” katanya. SUMBER

Wednesday, 14 February 2018

Lim Hock Seng beri keterangan hampir 12 jam kepada SPRM

GEORGE TOWN: Exco Pulau Pinang, Lim Hock Seng menghabiskan hampir 12 jam dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini untuk membantu siasatan berhubung projek terowong dasar laut bernilai RM15 bilion.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya negeri itu berkata, selepas diberitahu pegawai SPRM mungkin “memerlukan beberapa hari” untuk mengambil keterangannya, beliau meminta mereka menyelesaikannya hari ini kerana beliau sibuk untuk beberapa hari berikutnya.

“Itu sebabnya saya mengambil lebih 12 jam untuk (memberi) keterangan saya. Saya bukan disoal siasat, saya memberi keterangan sebagai saksi,” katanya kepada wartawan malam ini.

Difahamkan, Lim dimaklumkan semalam untuk hadir sebagai saksi.

Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy dijangka hadir untuk memberi keterangannya sebagai saksi esok pagi.


Terdahulu, Timbalan Ketua Pesuruhajaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengesahkan pihaknya memanggil 2 exco tertinggi negeri itu untuk memberi keterangan.

Setakat ini, katanya, pasukan penyiasat sudah mengambil keterangan sekurang-kurangnya 100 saksi bagi melengkapkan kertas siasatan kes “sangat teknikal” itu.

Sehingga kini, 5 yang ditahan sudah dibebaskan kemudian.

Tangkapan terakhir membabitkan ketua eksekutif dan seorang perunding kejuruteraan yang dipercayai terlibat dalam penyediaan dokumen tuntutan palsu bagi kajian kebolehlaksanaan 3 jalan utama dan terowong di Pulau Pinang bernilai kira-kira RM305 juta.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2km itu menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan 3 jalan utama, dianugerahkan kepada Konsortium Zenith BUCG Sdn Bhd yang dijadualkan bermula 2023.

Projek itu adalah sebahagian Pelan Induk Pengangkutan (PIP) kerajaan Pulau Pinang bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas. FMT