Showing posts with label mara. Show all posts
Showing posts with label mara. Show all posts

Friday, 9 March 2018

Mara belanja RM28.7 bilion taja pelajar

Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM28.7 bilion setakat tahun lalu bagi membiayai pelajar Majlis Amanah Rakyat (Mara) melanjutkan pelajaran di pelbagai peringkat dan institusi termasuk dalam serta luar negara.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah , Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah tersebut, Mara telah mela­hirkan 1.2 juta pelajar termasuk 500,000 daripadanya merupakan yang mendapat tajaan penuh agensi itu.


Sehubungan itu katanya, Mara akan terus merangka pelbagai program dan latihan dari semasa ke semasa demi meningkatkan taraf bidang yang diceburi oleh golongan bumiputera.

“Kita ada ekosistem pendidikan yang lengkap dan menyeluruh untuk semua sijil dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di pusat GiatMara sehinggalah ke peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

“Malah kita juga telah lahirkan lebih 480,000 pelajar TVET terlatih demi memenuhi keperluan industri dan segala subjek mengikut keperluan semasa seperti bidang aeroangkasa, kereta api laju dan digital,” katanya dalam sidang akhbar sempena Sambutan Hari Mara Ke-52 di sini hari ini.

Yang turut hadir dua Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Alexander Nanta Linggi dan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub; Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Borhan Dollah serta Pengerusi Mara, Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, Mara juga akan me­ngubah konsep keusahawanan yang diterapkan oleh agensi itu dengan memberi fokus kepada bidang francais bagi membantu golongan bumiputera menjana pendapatan lebih tinggi.

“Kita juga telah melahirkan satu juta usahawan sehingga kini. Jika sebelum ini usahawan Mara lebih tertumpu kepada konsep gerai makanan, kali ini kita mahu mereka fokus kepada bidang baharu termasuk teknologi digital.

“Sebab itu kita bina Mara Digital Mall demi masa depan usahawan Mara. Kita juga akan melihat kembali beberapa sektor yang dahulunya dipelopori oleh Mara termasuk francais untuk kembangkan demi memenuhi keperluan,” katanya.



Tuesday, 15 August 2017

Dr. Awang Adek Dilantik Pengerusi Baharu MARA, Bermula 1 September



Datuk Dr Awang Adek Hussin, 62, dilantik sebagai Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang baharu berkuat kuasa 1 September 2017 menggantikan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Annuar Musa yang telah tamat tempoh 11 Ogos lalu dan tidak mahu menyambung kontraknya.

Pengumuman tersebut dibuat Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Seri Ismail Sabri melalui kenyataan media, hari ini.

Menurut kenyataan tersebut, pemilihan Dr Awang Adek dibuat berdasarkan pengalaman luas beliau termasuk pernah menjawat jawatan Timbalan Menteri Kewangan dari tahun 2008 hingga 2013 dan Timbalan Menteri KKLW dari tahun 2004 hingga 2006.

Perlantikan Awang Adek telah mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abd Razak.

“Saya percaya dengan pengalaman yang dimiliki Datuk Dr Awang Adek, beliau akan dapat memimpin MATA dalam melaksanakan dasar dan perancangan oleh kementerian demi mencapai objektif Transformasi Negara,” kata Ismail.

Dr Awang Adek sebelum ini dilantk sebagai Duta Malaysia ke Amerika Syarikat bagi tempoh 2014 hingga 2016.

Tuesday, 3 January 2017

Mara Bina MRSM Ke-53 Di Sik, Kedah Tahun Ini

Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan membina sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Sik, Kedah pertengahan tahun ini, kata Pengerusinya Tan Sri Annuar Musa.

Annuar dalam kenyataan hari ini berkata pemilihan tapak pembinaan MRSM itu telah dimuktamadkan dua minggu lepas.

“Projek MRSM baharu ini akan dilaksanakan di satu tapak yang telah dikenal pasti di Dewan Undangan Negeri Jeneri bagi mengimbangi pembangunan Parlimen Sik,” katanya.

Katanya ia merupakan MRSM ke-53 di seluruh negara dan ketujuh di Kedah dan mampu menampung kira-kira 750 pelajar.

Beliau berkata MRSM itu dijangka melaksanakan program Ulul Albab yang merupakan pendidikan integrasi antara program sains tulen dan agama termasuk tahfiz Al-Quran.

“Ia sekaligus menjadikannya MRSM kelima menjalankan program seumpama ini selepas MRSM Gemencheh, Kota Putra, Kepala Batas dan Sungai Besar,” katanya.

Beliau berharap penubuhan MRSM Sik itu akan dapat menyumbang ke arah usaha melahirkan lebih ramai tokoh korporat, profesional, teknorat serta pemimpin dalam pelbagai lapangan perniagaan berteraskan sains, teknologi, agama, kesenian, kejuruteraan dan matematik.

Friday, 13 May 2016

Peniaga Mara Digital janji harga barang tak naik


KUALA LUMPUR : Selepas tempoh pengecualian sewa kedai selama enam bulan berakhir hujung bulan ini, peniaga barangan di pusat teknologi maklumat (IT) Mara Digital menyatakan barangan yang dijual tidak akan naik.

Pengurus Jualan Syarikat AMB Million Resources, Azlan Shafie berkata, pengecualian selama enam bulan yang diberikan oleh pihak Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) membolehkan peniaga di Pusat IT Mara Digital mencari modal asas untuk bertapak.
“Jualan (barang) sejak mula-mula berniaga sampai sekarang ini sentiasa ada. Selepas enam bulan jika keadaan berterusan, masih ada pelanggan..harga akan tetap sama juga.
“Kuntungan sejak mula berniaga (juga) sampai sekarang ini sentiasa ada,” katanya kepada FMT di sini hari ini.

Azlan dalam masa yang sama turut mengesahkan telah mendapat memo daripada pihak Mara Digital bahawa tempoh pengecualian sewa kedai telah berakhir.
Beliau berharap pihak yang berkenaan melanjutkan tempoh pengecualian itu.

Seorang lagi peniaga yang juga merupakan pemilik Syarikat LZ Mobileworld Communication, Zabedah Ismail juga tidak akan menaikkan harga barangan IT yang dijual walaupun pengecualian sewa kedai akan tamat.

“Berkenaan dengan harga, kami boleh bagi harga ‘kasih sayang’. Kita boleh teruskan dengan harga yang kami bagi kalau kita punya volume (jualan) banyak.
“Pelanggan juga perlu menyokong kami,” katanya.

Beliau turut berharap Mara Digital melanjutkan pengecualian sewa kedai untuk tiga bulan lagi.
Pengarah Urusan Asab IT, Ahmad Kauthar Mat Zain pula menyatakan barangan IT di kedainya akan turun apabila pihaknya mula membayar sewa.

“Pihak WGN yang membekal barang (menyatakan) jika ada sewa, harga barang akan turun. Jadi kita boleh lagi promosi harga laptop untuk pelanggan,” katanya.
Pada 8 Disember lalu, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan peniaga barangan Mara Digital diharap dapat mengurangkan harga jualan kerana diberikan pengecualian sewa kedai selama enam bulan,

Beliau berkata, dengan harga murah yang ditawarkan maka orang ramai akan mengunjungi pusat IT baru di Kuala Lumpur itu berbanding kedai yang menawarkan harga biasa.