Showing posts with label nasioanl. Show all posts
Showing posts with label nasioanl. Show all posts

Sunday, 10 September 2017

Mukhriz Cuba Racun Ahli, Penyokong PAS

Mengikut jejak bapanya menyerang PAS secara konsisten, nampaknya Dato’ Seri Mukhriz Mahathir cuba cari gaduh dengan parti yang mengetuai Gagasan Sejahtera itu dalam satu program politiknya baru-baru ini.
Dalam satu ceramah politiknya di Dun Ayer Hitam, dia menagih simpati dari ahli dan penyokong PAS untuk menyokong Pakatan Harapan pada PRU ke-14 nanti walaupun kepimpinan PAS kini ‘berperang’ dengan gabungan parti yang dikuasai DAP itu.
Seperti DAP, dia menjadikan modal ‘kepimpinan PAS mesra UMNO’ sebagai alasan untuk memancing ahli dan penyokong PAS memberi sokongan pada Pakatan Harapan. Gagal memujuk pemimpin, dia cuba ‘racun’ ahli dan penyokong PAS?
Pertamanya, penulis sebenarnya agak terkejut mendengar dia membuat program politik di Dun Ayer Hitam, kawasannya sendiri. Dia tidak yakin dengan sokongan di kawasan sendiri? Di tempat sendiri pun dia sangsi dan perlu berkempen hingga begitu sekali?
Maka mungkinlah benar khabar-khabar rungutan dari majoriti ahli dan penyokong UMNO Jerlun sebelum ini yang mendakwa Mukhriz ‘tidak jaga kawasan’nya sepanjang 3 tahun menjadi Menteri Besar di Kedah. Selepas ‘jatuhkan diri sendiri’, barulah dia ‘rajin’ turun padang?
Kedua, kenapa dia takut sangat jika pemimpin PAS ‘mesra’ dengan UMNO? Apakah salah dan berdosa? Lagipun, UMNO mahupun PAS sudah menjelaskan bahawa tidak ada sebarang kerjasama politik antara kedua pihak, bukan?
Kerjasama yang dikatakan ‘mesra’ antara PAS dan UMNO itu lebih menjurus kepada jalinan persaudaraan sesama saudara seagama yang bersatu hati bagi isu-isu yang melibatkan kepentingan Islam, bangsa Melayu dan negara. Salahkah? Di mana dosanya?
Ketiga, nampaknya Mukhriz seolah-olah menyamakan tahap pemikiran dan semangat juang ahli serta penyokong PAS sama seperti Ahli Parlimen Pokok Sena yang sangat ‘intim’ dengannya sejak dia mengkhianati perjuangan anak bangsa.
Mukhriz mungkin tidak mengenali ahli dan penyokong PAS yang tulen dan hanya kenal mereka yang layak dilabel sebagai ‘harum manis’. Mungkin dia hanya merujuk kepada Ahli Parlimen Pokok Sena sahaja untuk mengenali corak politik akar umbi PAS?
Timbalan parti ‘bunga raya’ itu tahu apa erti istilah wala’? Dia tahu tentang ungkapan ‘samiiqna wa athoqna’? Dia pernah tahu tentang fiqh mentaati pemimpin? Atau dia hanya tahu mengejar kuasa politik seperti bapanya sahaja?
Penulis yakin bahawa ‘racun’ Mukhriz itu tidak akan lut pada ahli dan penyokong PAS yang tulen. Namun bagi ahli dan penyokong PAS yang memiliki IQ seperti Ahli Parlimen Pokok Sena, mungkin ‘racun’nya itu akan sedikit sebanyak memberi kesan.
Cuma penulis teringatkan cerita rakan-rakan yang membantu jentera Mukhriz ketika dia pertama kali bertanding di Kedah dahulu bagi merebut kerusi Parlimen Jerlun. Khabarnya, merayu-rayu jugalah bapanya kepada ‘tok-tok ayah PAS’ di sana, benarkah begitu?
Begitulah dia ‘anak bapa’. Bagai kata pepatah, ‘bapa borek, anak rintik’. Jika bapanya mengejar kuasa politik hingga ke hujung nyawa, nampak seperti anaknya cuba menjejak langkah yang agak serupa. Harap orang PAS kini kenal perangai sebenar anak Mahathir itu…

71 mangsa banjir Nibong Tebal di pindahkan ke pusat pemindahan

71 mangsa banjir Nibong Tebal di pindahkan ke pusat pemindahan
Dalam kejadian petang Sabtu, lebih 20 buah rumah di Kampung Sg Baung dan Kampung Lima ditenggelami banjir susulan hujan lebat dan limpahan air sungai. - Gambar hiasan
NIBONG TEBAL: Seramai 71 penduduk ditempatkan di Pusat Pemindahan Banjir Di Dewan Serbaguna Jawi di sini selepas kediaman mereka di 12 kawasan di sekitar Sungai Bakap dan Nibong Tebal dilanda banjir sejak petang semalam.

Menurut  Jurucakap Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)  kesemua yang dipindahkan terdiri daripada 50 orang dewasa dan 21 kanak- kanak.

Antara kampung terjejas ialah Kampung Sungai Baung, Kampung Lima, Taman Sg Duri Permai, Taman Sg Duri Indah, Kampung Sethu, Kampung Titi Hitam, Kampung Pengkalan, Kampung Masjid Baru, Kampung Permatang Ara dan Kampung Pulau.

Sehingga jam 1 pagi tadi,  jumlah mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan masih kekal seramai 71 orang.

Dalam kejadian petang Sabtu,  lebih 20 buah rumah di Kampung Sg Baung dan Kampung Lima ditenggelami banjir susulan hujan lebat dan limpahan air sungai.

Jalan utama yang menghubungkan kampung berkenaan dan ke Relau, Kedah juga ditutup kerana ditenggelami banjir .

Anggota bomba yang membuat pemantauan mendapati banjir dipercayai berpunca dari air limpahan sungai berdekatan.

Seramai 12 anggota dari Balai Bomba Sungai Bakap bergegas ke lokasi untuk usaha menyelamat dan memindahkan mangsa ke tempat yang selamat.

Thursday, 24 August 2017

PTPTN berjaya kutip 60% bayaran balik pinjaman

Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berjaya mengutip RM2.43 bilion iaitu lebih 60% bayaran balik pinjaman daripada peminjam PTPTN sehingga Jun tahun ini, kata pengerusinya Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata ini berikutan usaha PTPTN menggunakan pelbagai kaedah termasuk mengadakan kempen dan pembayaran secara dalam talian bagi mengutip balik pinjaman daripada peminjam.
Menurut Shamsul Anuar, pihaknya juga menyasarkan RM4 bilion bagi kutipan balik pinjaman PTPTN tahun ini.

“Berdasarkan prestasi itu dan peningkatan kutipan, kita yakin dapat mencapai sasaran tersebut kerana pada tahun lalu kita mencapai kutipan RM3.4 bilion sedangkan sasaran kita pada tahun lalu ialah RM2 bilion.

“Kita masih memberi peluang kepada peminjam untuk membayar balik sehingga 31 Disember ini dengan menawarkan potongan 15% kepada peminjam yang membuat bayaran penuh dan potongan 10% melalui pembayaran balik secara potongan gaji,” katanya.

Shamsul Anuar berkata peminjam yang mempunyai masalah boleh datang ke pejabat PTPTN untuk berunding mengenai bayaran balik pinjaman mereka.
Sementara itu, beliau berkata sebanyak 857,009 waran Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) ditunaikan pelajar membabitkan RM1.26 bilion sehingga 31 Julai lepas.
Bagi kemasukan sesi September 2017/2018, seramai 20,156 pelajar ditawarkan WPP PTPTN membabitkan peruntukan RM30.23 juta dan di Perak sahaja, beliau berkata 2,119 pelajar ditawarkan WPP membabitkan RM3.179 juta.

“Seramai 273 adalah pelajar dari Parlimen Lenggong, Gerik, Kuala Kangsar dan Padang Rengas membabitkan peruntukan RM409,500.
“Setiap pelajar menerima WPP sebanyak RM1,500 bagi meringankan beban ibu bapa untuk membuat persediaan serta membolehkan anak-anak mereka masuk ke universiti dan waran WPP itu boleh ditunaikan mulai 22 Ogos hingga 22 Oktober tahun ini di kaunter cawangan CIMB Bank sahaja,” katanya.

Shamsul Anuar berkata PTPTN turut memberikan pinjaman kepada mereka yang layak dengan syarat mereka adalah penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
“Kita mahu memastikan mereka yang layak mendapat pinjaman ini selain memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan dalam permohonan PTPTN,” katanya.

Monday, 21 August 2017

Prosiding RCI Bermula hari ini


Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kes kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) dianggarkan kira-kira AS$10 bilion (RM44 bilion) akibat kegiatan perdagangan wang asing sekitar 1990-an memulakan sesi pendengaran pertama di Istana Kehakiman  hari ini.
Prosiding yang bermula pukul 9 pagi itu dijalankan di hadapan panel RCI yang dipengerusikan oleh Pengerusi Petroliam Nasional Berhad (Petronas), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan.
Turut menganggotai RCI tersebut ialah Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamaludin Md. Said; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad; Datuk Seri Tajuddin Atan; Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan, Tan Sri Saw Choo Boon; Ahli Institut Akauntan Malaysia, K. Pushpanathan dan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Datuk Dr. Yusof Ismail yang juga setiausaha suruhanjaya siasatan itu.
Antara yang dijangka memberi keterangan hari ini adalah bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Murad Khalid.

Sunday, 16 July 2017

Benarkah Lapisan Putih di Badan Bayi Baru Lahir Adalah Kesan Daripada Air Mani? Baca Penjelasan ini

Antara fakta tidak benar yang masih berlegar-legar dalam dunia persalinan bayi adalah cecair mani boleh melekat di badan bayi. Disebabkan itu, ada sesetengah bayi yang lahir dengan lapisan putih di badan mereka.
Tidak tahu bagaimana perkara itu boleh tersebar, namun perlu ditegaskan bahawa lapisan keputihan itu bukan sekali air mani!
Menurut portal kesihatan, Health Line, benda putih itu dikenali sebagai vernix caseosa – satu lapisan di atas kulit bayi yang bertindak sebagai lapisan pelindung. Ianya berwarna seperti putih dengan sifat seakan-akan keju.
Lapisan vernix tercipta ketika bayi di dalam perut lagi dan kesan-kesan bahan itu mungkin masih boleh dilihat di kulit selepas kelahiran. Jadi, jelas sekali ia bukannya dari air mani.
Fungsi vernix termasuklah melindungi kulit dari mengecut akibat terlalu lama dalam air (sama seperti kulit kita apabila air terlalu lama).
Selain itu, vernix juga menyumbang kepada kulit lembut bayi selepas dilahirkan dan melindungi bayi dari jangkitan ketika di dalam perut.
Berbalik semula kepada mitos tadi, seorang bapa yang juga pengguna sosial media yang popular dengan nama En. Matt, berkata dia pernah ditanya oleh rakannya mengenai kewujudan bahan seperti keju itu. Apa yang mengejutkan, ada orang yang datang melawat bayi tersebut berkata bahan itu sebagai air mani.
Kawan saya sent gambar anak beliau baru lahir pada usia 39 minggu. Badan anak dipenuhi vernix semacam cheese.
Saudara mara datang melawat di wad hospital swasta. Kata mereka itu air mani melekat pada badan anak, sebab itu tidak elok bersama akhir kehamilan.
Tanya beliau Betul ke air mani? . Saya kata itu mitos.
Mana mungkin air mani boleh menembusi amniotic membranes yakni satu lapisan atau selaput yang melindungi bayi dan menampung amniotic fluid (air tuban).
Manakala vernix. ketika di alam rahim lagi sudah terbentuk pada badan bayi untuk melindungi seluruh kulit bayi daripada jangkitan dan akan meresap secara perlahan-lahan di akhir kehamilan dan selepas kelahiran.
Ia juga berfungsi sebagai pelembab kulit bayi selepas kelahiran dan agen atibakteria dan antiviral. Kebiasaanya bayi cukup umur vernix tidak kelihatan begitu banyak berbanding Bayi pramatang.
Penjelasan mengenai vernix agak panjang lebar. Ini anda perlu lebih banyak masa untuk membaca dan bertanya kepada yang ahli. Cuma sebagai perkongsian santai daripada saya sebagai orang awam, cream kuning seakan cheese itu bukan Air mani. Ia adalah vernix caseosa dan ia wujud ketika di alam rahim lagi.
* Arwah anak pertama saya lahir pada usia 37minggu. Vernix dia lebih kurang sama seperti gambar di bawah. Saya minta nurse untuk biarkan beberapa jam supaya vernix diserap oleh kulit dengan baik.

Sumber: En. Matt, Health Line

‘Rakyat tak kagum, barisan pimpinan Pakatan bukan pesaing BN’

Pembentukan barisan kepimpinan Pakatan Harapan dilihat tidak mampu “mengagumkan” masyarakat untuk menjadi pesaing Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, usaha membentuk pakatan itu hanya untuk melihat penerimaan orang Melayu terhadap kepimpinannya.
“Pada saya, nak buat (pembentukan barisan kepimpinan) itu untuk bagi masyarakat tengok kami ini dalam satu komponen Pakatan Harapan.

“Kita nampak mereka cuba nak tengok orang Melayu boleh terima inilah bentuk kepimpinan Pakatan Harapan.

“Saya tak nampak dia mampu ‘impress’ masyarakat untuk melihatnya sebagai salah satu daripada gabungan dapat bersaing dengan BN dalam PRU14,” katanya pada mesyuarat perwakilan Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Bayan Baru, malam ini.

Khamis lalu, Pakatan Harapan terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan PPBM mengumumkan struktur kepimpinan baharunya dengan menamakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua umum, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden.

Mengulas struktur kepimpinan baharu itu, Mahdzir yang juga menteri pendidikan berkata, pelantikan 3 “ketua” jelas menunjukkan gabungan itu tidak mempunyai persefahaman kerana masing-masing mempunyai agenda tersendiri.

Beliau berkata, berbeza dengan BN, walaupun mempunyai 13 parti komponen, parti itu sepakat untuk taat setia kepada seorang pengerusi yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Apa yang barangkali boleh saya sebut tidur di katil yang sama, tapi mimpi lain-lain…mereka susah nak buat keputusan. Barangkali inilah yuang dipersetujui mereka sehingga tengah malam dalam rundingan dan mesyuarat Pakatan Harapan,” katanya.

Sementara itu, berucap merasmikan mesyuarat itu, Mahdzir berkata, Umno tidak perlu gentar, takut atau rendah diri dan akan terus memerintah negara selepas PRU14.
“Umno memerintah negara ini sejak 60 tahun lepas dan menentukan semua dasar di negara ini dan selepas 60 tahun, kita telah membuktikan Umno mampu memerintah negara tanpa sebarang masalah,” katanya.

Beliau berkata, semua ahli Umno perlu terus menunjukkan solidariti agar negara terus diperintah parti itu.

“Pembangkang telah memulakan gerakan untuk merampas kepimpinan negara sejak 2008…tidak berhenti fitnah dan pembohongan terhadap Umno, tetapi kepimpinan negara kita berada di landasan betul dan negara akan terus maju jika terus dipimpin Umno,” katanya

Saturday, 1 July 2017

PCM gesa polis siasat niat DAP


30 JUN: Parti Cinta Malaysia (PCM) mengesa polis menyiasat kepimpinan DAP yang didakwa mempunyai niat mendapatkan pertolongan kuasa asing bagi mencampuri urusan negara.
Naib Presidennya, Datuk Huan Cheng Guan berkata kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pada Khamis dalam satu sidang media dipercayai boleh mengancam keselamatan negara..
“Rakyat yang cintakan negara tidak akan mengeluarkan kenyataan sebegini,” lapor sebuah portal berita, Jumaat.
Sebelum itu, satu laporan polis dibuat oleh Cheng Guan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul hari ini berkaitan kenyataan Guan Eng yang disiarkan menerusi sebuah portal pro pembangkang.
Dalam laporan tersebut, Guan Eng dilaporkan berkata Amerika Syarikat (AS) boleh menggunakan tindakan ketenteraan sekiranya mahu mengawal negara dan tidak perlu memfailkan saman sivil di negara sendiri sekiranya mahu menjatuhkan kerajaan.

Sunday, 25 September 2016

Pasaran getah dijangka terus meningkat, timah dijangka kukuh

 Pasaran getah Malaysia dijangka meneruskan momentum peningkatannya pada minggu depan, didorong permintaan yang memberangsangkan.

Seorang peniaga berkata pasaran akan memantau perkembangan pergerakan minyak mentah pada minggu depan susulan mesyuarat menteri anggota Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Minyak (OPEC) juga pada minggu depan, selain prestasi Bursa Komoditi Tokyo dan Bursa Shanghai.
Pada minggu ini, sebahagian besar dagangan di pasaran tempatan adalah tinggi.

Bagi perbandingan Khamis sehingga Jumaat, harga Lembaga Getah Malaysia untuk gred tayar SMR 20 menokok 50.5 sen kepada 592.5 sen sekilogram daripada 542.0 sen sekilogram manakala susu getah pukal naik 11 sen kepada 467.0 sen sekilogram daripada 456.0 sen sekilogram, sebelum ini.
Pada 5 petang, harga penutup tidak rasmi bagi SMR 20 melonjak 50.5 sen kepada 593.0 sen sekilogram daripada 542.5 sen sekilogram manakala susu getah pukal naik 10 sen kepada 466.5 sen sekilogram daripada 456.5 sen sekilogram.

Sementara itu, Pasaran Timah Kuala Lumpur (PTKL) dijangka kekal kukuh minggu depan dengan harga bergerak antara US$19,300 dan US$19,700 setan metrik, kata seorang peniaga.
Beliau berkata permintaan bagi logam berkenaan teguh, terutamanya daripada syarikat utama dari Asia.

“Kami menempatkan paras sokongan pada US$19,300 setan metrik dan halangan segera pada US$19,600 dengan harga berkemungkinan mencecah US$19,700 setan metrik.
“Permintaan bagi timah masih berterusan setelah pedagang China, Jepun dan Korea Selatan memerlukan logam tersebut bagi tujuan pembuatan,” katanya kepada Bernama.
Aliran menaik di Bursa Logam London serta penggantungan operasi perlombongan Filipina berikutan masalah alam sekitar, juga diunjur meningkatkan sentimen di PTKL.
“Pasaran tempatan kukuh sepanjang minggu kecuali pada 22 Sept yang susut sedikit dengan pembetulan teknikal.

“Sebarang penurunan harga akan menggalakkan permintaan daripada pedagang,” katanya.
Bagi minggu yang baru berakhir, timah ditutup tinggi setelah naik US$250 kepada US$19,450 setan metrik berbanding U $19,200 setan metrik pada Khamis lepas.

Jumlah dagangan naik kepada 250 lot berbanding 102 lot pada minggu lepas.
Perbezaan harga antara PTKL dan LME pada diskaun US$40 selepas sama pada Khamis lepas.
Pasaran ditutup pada Jumaat sempena cuti umum Hari Malaysia.