Showing posts with label norlela ariffin. Show all posts
Showing posts with label norlela ariffin. Show all posts

Tuesday, 29 August 2017

Saya hanya laksanakan tugas – Norlela Ariffin

Tekanan berterusan yang dite­rima daripada ‘pihak tertentu’ kerana membangkitkan isu kilang haram di Kampung Sungai Lembu, di sini menyebabkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr. Norlela Ariffin tampil mempertahankan dirinya.



Melalui video secara langsung di Facebooknya, wa­kil rakyat PKR itu menimbulkan pertanyaan adakah beliau akan dihukum kerana membangkitkan masalah rakyat di kawasan berkenaan.


Dalam masa sama, Norlela menegaskan isu kilang ha­ram di kawasannya itu telah dibangkitkan oleh beliau sejak dua tahun lalu tidak bermotifkan politik.

“Saya dipilih pengundi di Penanti untuk mewakili mereka dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN). Oleh itu, tindakan saya adalah kerana tanggungjawab ber­kenaan dan adakah disebabkan itu, saya akan dihukum?” katanya.

Sebelum ini, Norlela me­ngakui beliau menerima la­yanan ‘tidak sewajarnya’ daripada rakan-rakan ADUN DAP dan PKR selepas melahirkan rasa bersyukur susulan serbuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di kilang berkenaan yang turut menyaksikan Exco Kerajaan DAP Pulau Pinang, Phee Boon Poh direman untuk membantu siasatan.

Mengulas lanjut, Norlela berkata, beliau sudah berkali-kali menjelaskan isu kilang haram tersebut dibangkitkan dalam sidang DUN dan dibawa ke pengetahuan Maj­lis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) kerana beliau menerima adu­an daripada penduduk setempat.

Menurut beliau, isu berke­naan telah ‘melarat’ apabila rakan-rakan ADUN berpendapat beliau tidak seharusnya berjuang untuk masalah ber­kenaan.

“Jadi, apa guna dipilih menjadi wakil rakyat jika tidak melaksanakan tugas?” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan, isu berkenaan tidak harus dilihat sebagai perkauman hanya kerana pemilik kilang itu berbangsa Cina.

“Penduduk kampung yang mengadu kepada saya semua­nya berketurunan Cina. Jadi tidak benar jika mengatakan saya sebagai seorang yang berbangsa Melayu menentang kilang milik orang Cina,” katanya.



Tuesday, 16 May 2017

Kerajaan DAP Pulau Pinang Sekat Peruntukan ADUN Penanti ?

Hanya kerana tidak dapat menghadirkan diri pada istiadat mengangkat sumpah pelantikan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas baru-baru ini menyebabkan peruntukan untuk Adun Penanti, Dr Norlela Ariffin dikatakan disekat oleh kerajaan negeri.

Dr Norlela dalam laman sosial Facebooknya melahirkan rasa bimbang apabila peruntukan untuk kawasannya ditahan atau ditarik balik sehingga September 2017 yang mana tarikh dijangka berlaku PRU14.

Difahamkan, dia hanya mengetahui perkara itu selepas dimaklumkan dalam mesyuarat pimpinan PKR Pulau Pinang pada 12 Mei lalu.


Dalam tulisan di laman Facebooknya Dr Norlela berkata, dia hanya menuruti arahan pimpinan parti supaya terus berada pada Konvensyen PKR yang diadakan pada 29 April di Seberang Jaya.


“Saya ikut arahan pimpinan untuk kekal di Konvensyen PKR Pulau Pinang dan hanya Exco, Timbalan Ketua Menteri 1 dan Presiden PKR yang pergi ke majlis rasmi berkenaan.

“Sebab pimpinan-pimpinan PKR seperti Naib Presiden, Nurul Izzah, Rafizi dan naib-naib presiden akan berucap selepas perasmian dan kami wakil rakyat biasa yang tak ada jawatan diminta kekal sebagai hos supaya masih ada Adun PKR Pulau Pinang yang berada di konvensyen berkenaan,” tulisnya, malam semalam.

Dalam tulisannya juga, Dr Norlela bimbang disebabkan tiada lagi peruntukan di kawasannya akan mengganggu semua perancangan yang dilakukan untuk program Ramadan dan sambutan Hari Raya kerana perlu simpan duit yang terhad untuk kecemasan sahaja.

“Saya tak ada peruntukan untuk memberi bantuan kecemasan kepada mangsa bencana seperti kebakaran, ribut dan banir sekiranya berlaku selepas ini malah saya juga tidak ada peruntukan untuk memberi wang ihsan atau pendahuluan sekiranya ada penduduk di kawasan saya mengalami kemalangan, sakit ataupun kematian.

“Disebabkan peruntukan ini ditahan, saya tidak dapat menyalurkan bantuan kecemasan kepada orang susah, tidak dapat memberi sumbangan untuk aktiviti yang diadakan di dalam kawasan selain membantu mereka yang ingin membuat majlis berbuka puasa, moreh dan lain-lain,” katanya.

Dr Norlela juga berkata, peruntukan untuk pasukan briged wanita pada tahun ini juga tiada dan kebiasaannya peruntukan diterima akan digunakan untuk elaun dan duit minyak anggota briged wanita yang membantu mencari golongan wanita di kawasannya untuk menyertai program diadakan seperti pemirkasan mamogram, ziarah rumah ke rumah, Foodbank selain membantu melakukan kaji selidik. SH