Showing posts with label pas. Show all posts
Showing posts with label pas. Show all posts

Wednesday, 4 April 2018

Politik Kebudak-Budakkan, Jadi Amalan PH, Kata PAS

KUALA LUMPUR: Budaya politik tidak matang atau kebudak-budakkan terserlah menjadi amalan dalam Pakatan Harapan (PH) yang diketuai DAP.
Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, hal itu terbukti apabila PH mendakwa penerimaan Pas terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Anti Berita Tidak Benar 2018 sebagai menyokong BN.
Beliau berkata, kayu ukur yang digunakan sangat dangkal, kerana Pas menyokong akta baharu digubal itu disebabkan ia selaras dengan Islam.
“Ini politik kebudak-budakkan, politik manipulasi fakta bertujuan mencipta persepsi jahat dan kebencian, sangat malang apabila Malaysia memiliki ahli politik yang berfikiran sebegini.
“PAS menyokong RUU ini kerana Islam haramkan penyebaran berita palsu yang hari ini menjadi makanan ahli politik terutamanya daripada PH,” katanya dalam status yang dimuat naik di akuan Facebook beliau, hari ini.
Mohd Khairuddin selanjutnya mempersoalkan berkenaan Akta AIIB (Bank Pelaburan Infrastruktur Asia) dan Akta 164 yang disokong PH sedangkan Pas pula menentang kerana menyentuh kedaulatan Mahkamah Syariah dan hukum Islam.
Menurutnya, apa sahaja bercanggah dengan Islam pastinya ditolak oleh Pas dan sebaliknya akan menyokong sesuatu akta berasaskan prinsip Islam.
“Sebab itu Akta AIIB Pas tolak kerana memperakui sistem riba sebagai asas bank itu, namun tindakan PH menyokong kedua-dua akta tersebut, adakah menandakan mereka boleh bersekongkol apabila selaras dengan nafsu serta keinginan mereka?,” soal beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.
- Utusan Online

DAP Semakin Terdesak Serang PAS

KUALA LUMPUR: DAP semakin terdesak dalam usahanya menyerang Pas apabila mengaitkan sokongan 10 ahli Parlimen daripada parti itu terhadap Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar 2018 sebagai tanda mereka bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN).
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng juga bersikap seolah-olah beliau yang lebih berhak menentukan pendirian Pas apabila menjangka bekas sekutunya dalam pakatan pembangkang itu akan menentang rang undang-undang tersebut.
“Adakah Pas parti pembangkang atau pemerintah, ini berikan gambaran macam Pas sebahagian daripada BN.
“Pas sekarang cakap macam BN, mengapa belum jadi parti pemerintah tetapi bercakap macam parti pemerintah,” katanya dalam sidang akhbar di bilik media bangunan Parlimen hari ini.
- UTUSAN ONLINE

Sunday, 11 March 2018

PAS Sifatkan Manifesto Pakatan Harapan Bersifat Retorik, Barisan Nasional Sudah Laksanakan

Pas menyifatkan manifesto Pakatan Harapan diketuai DAP bersifat retorik dan ­ulangan, malah sebahagian janji yang ditawarkan sebenarnya sudah dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, janji untuk menghapuskan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) itu juga satu perkara yang tidak realistik dan sukar dicapai.

Beliau berkata, semua pihak perlu menyedari hakikat bahawa GST adalah salah satu perkara penting yang memberi pendapatan kepada kerajaan, namun kaedah perlu dicari supaya isu beban kepada golongan berpendapatan rendah dapat diselesaikan.

“Sebahagian perkara dalam manifesto sudah dilaksanakan kerajaan, manakala sebahagian lagi sukar dicapai, ada antaranya merupakan tawaran semasa manifesto Pakatan Rakyat dahulu yang hanya diubah ayat.

“Kalau kita lihat dari sudut percukaian yang katanya hendak hapuskan terus cukai, dalam sesebuah negara tidak boleh kita hapuskan cukai, pada asasnya kita dalam dunia ini ada tiga perkara yang kita tidak boleh elak iaitu kematian, perubahan dan cukai.

“Walaupun ada cukai tetapi ia mestilah tidak membebankan rakyat, mekanisme perlu dicari contohnya mengenakan cukai kepada golongan korporat dan yang aktif di bursa saham tetapi untuk rakyat miskin perlu ada satu skim sendiri,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis perasmian Mesyua­rat Agung Pas Kali Ke-61 Pas Kawasan Tumpat yang disempurnakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Dewan Bunga Raya, Pantai Sri Tujuh di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Mursyidul Am Pas yang juga Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.

Sementara itu, Takiyuddin berkata, Pas akan melancarkan manifestonya pada 18 Mac ini di Cyberjaya yang dinamakan sebagai Manifesto Gagasan Sejahtera.

Jelasnya, manifesto itu nanti akan mengemukakan cadangan pelaksanaan cukai yang tidak akan membebankan rakyat.

“Manifesto itu juga akan lebih banyak menekankan kepada cerita-cerita kejayaan Pas contoh­nya menerusi pelaksanaan dasar-dasar di Kelantan.

“Beberapa dasar utama di ne­geri ini telah diadaptasi oleh Kerajaan Persekutuan sendiri dan kita akan tawarkan penambahbaikan untuk menarik pengundi pada PRU-14,” katanya.

Utusan

Monday, 19 February 2018

Diplomat Israel: Kerajaan Tak Silap, Orang PAS Sahaja Jahil Undang-undang Antarabangsa

PAS hanya pernah berkerajaan di Kelantan, Kedah dan Terengganu, tak pernah lebih dari itu.  Justeru amat mudah difahami kenapa dalam soal kedatangan diplomat Israel ke Malaysia atas tiket Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini, kenyataan orang-orang PAS sangat terserlah kejahilannya.
Sebab dia tidak tahu, tapi sesetengah orang dalam parti itu seperti Idris Ahmad, cuba nak tunjuk pandai.  Apa pengetahuan Idris dalam soal hubungan antarabangsa, peranan sebagai anggota PBB dan sebagainya pun kita tidak tahu tapi sebab nak tunjuk sebagai jaguh Islam, kenyataan straight forward Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman pun dianggapnya sebagai kelakar.
Tak sedar dia yang sebenarnya jahil.
Menjadi kerajaan di 3 negeri tersebut tidak memerlukan PAS untuk memahami persoalan diplomatik yang tinggi, setakat yang biasa-biasa ni bolehlah.  Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika menjadi Menteri Besar Terengganu pun pernah dihalang dari memasuki China, menunjukkan hal diplomatik yang biasa pun PAS gagal sehingga Hadi mendapat malu.
Usah kata yang lebih tinggi dari itulah kan, memang kita tak expect PAS akan tahu.
Apa pun sekadar nak maklumkan kepada rakyat, kenyataan orang PAS seperti Idris Ahmad ini tidak lebih dari tindakan bekas orang PAS seperti Mahfuz dan Sallehudin Ayub satu ketika dulu sanggup dipenjarakan (dari membayar denda) kerana membantah kedatangan pasukan kriket Israel ke negara ini yang pada waktu berkenaan diperintah top dog Mahathir.
Ia bukan sangat soal Palestin atau Islam tapi politik.  Masa itu sebab sokong PAS, kena tunjuklah anti Israel walaupun yang datang tu hanya budak-budak sekolah Yahudi nak bersukan.  Hari ini kalau ditanya 2 ekor itupun, percayalah jawapan mereka akan jauh berbeza kerana pegangan politik sudah tidak lagi sama.
Politik saja.
Dari buang masa bercakap perkara yang dia tidak faham, adalah lebih elok Idris Ahmad membuktikan bahawa dia menang sebagai Ahli Parlimen Bukit Gantang dalam PRU13 yang lepas adalah kerana kekuatan diri dan PAS, bukan kerana dibantu pengundi tradisi DAP di Kuala Sepetang.

SUMBER

Sunday, 9 April 2017

PAS tolak Pakatan Harapan muktamad

PAS mengulangi pendirian parti itu tidak akan sesekali menyertai Pakatan Harapan, kata Timbalan Presidennya,hari ini.
Pada masa yang sama kata beliau, PAS juga tidak akan mengadakan sebarang kerjasama dengan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).
Berdasarkan pendirian itu, Tuan Ibrahim berkata, PAS akan terus mara dan memperkukuhkan parti sebagai blok ket-3.
Sejak bulan lalu, Pakatan Harapan dianggotai empat parti iaitu PKR, DAP, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia.
Kelmarin, Datuk Husam Musa tidak menolak kemungkinan PAS akan menyertai Pakatan Harapan walaupun parti Islam itu sudah mengumumkan tidak akan berbuat demikian dengan adanya DAP dan Amanah dalam pakatan berkenaan.
Disebabkan masih ada puak “rasional” dalam parti itu, bekas naib presiden PAS itu berharap puak berkenaan dapat mengambil alih pucuk pimpinan parti selepas muktamar pada akhir bulan ini dan seterusnya membuka jalan kepada kemungkinan itu.
Dalam kenyataannya hari ini, Tuan Ibrahim memberi alasan keputusan mereka terbukti tepat berikutan sikap penentangan berterusan DAP dan Amanah terhadap agenda Islam yang dibawa oleh PAS termasuk Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355.
“Sikap ini jelas kelihatan di Parlimen pada 6 April 2016, ketika Presiden PAS dan Setiausaha Agung PAS membentangkan RUU 355,” kata beliau.

Katanya, episod RUU 355 juga membuktikan perumpamaan yang digunakan Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 25 Mac lalu adalah betul.
“Di mana kedua-dua belah ibarat biawak hidup di mana 1 belah tidak berani membawa, dan 1 belah bukan sahaja menentang, bahkan hak PAS untuk membentangkan RUU 355 melalui saluran demokrasi yang sah pun cuba dihalang,” kata beliau.
Tuan Ibrahim berkata, mereka yang “kepanasan berikutan pembentangan dan penghujahan cemerlang” Hadi dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat mengenai RUU 355 kini cuba mengalihkan perhatian dengan meletakkan pelbagai tuduhan pada PAS tanpa seurat bukti dan juga bermain saraf untuk melagakan pimpinan PAS.
“Namun, strategi lapuk ini tidak akan berjaya kerana PAS yang ada hari ini telah menjadi lebih matang dan kukuh ekoran perpecahan di 2015,” kata beliau yang tidak merujuk dengan khusus isu tertentu.
Bagaimanapun pada hari yang sama Dewan Rakyat menangguhkan perbahasan usul RUU 355, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli mendedahkan ada bukti menunjukkan aliran dana daripada akaun berkaitan 1MDB kepada “tokoh yang rapat dengan pimpinan PAS”.
Justeru Tuan Ibrahim berkata, mereka yang membuat tuduhan boleh membuat laporan kepada pihak berkuasa seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia agar tindakan dapat diambil terhadap PAS sekiranya ada.
“PAS akan memberikan kerjasama sepenuhnya.”

Tuesday, 21 March 2017

PAS Enggan Kongsi Pentas Dengan PPBM



PAS tidak akan membenarkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkongsi pentas dalam ceramah mereka, jika parti itu menjalin kerjasama secara rasmi dengan pakatan pembangkang.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata sekiranya PPBM menyertai pakatan berkenaan yang turut dianggotai Parti Amanah Negara dan DAP, ia sekali gus menutup terus pintu kerjasama dengan mereka.

“Kalau itu pendirian rasmi dia (PPBM), maka putuslah… tidak perlulah ada perbincangan lagi. Kita jalan ‘sendiri-sendiri’ saja.

“Kita juga tidak akan kongsi pentas dengan PPBM lagi sebab itu memang syarat yang kita letak selama ini,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Akhbar sebelum ini melaporkan, Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan partinya mencapai persetujuan untuk membentuk gabungan secara rasmi dengan pakatan pembangkang.

Katanya, PPBM secara prinsip bersetuju untuk menggunakan hanya satu logo, satu simbol dan manifesto yang sama, selain memutuskan hanya satu calon saja diletak untuk mewakili gabungan yang dibentuk itu.-BH.

Monday, 6 February 2017

PAS Tidak Mungkin Bekerjasama Dengan PPBM Yang Penuh Skandal



Pakatan Harapan sedar bahawa mereka amat memerlukan PAS walaupun DAP yang mengetuai pakatan tersebut sering bersengketa dengan parti itu. Meskipun DAP cuba menukar keadaan tersebut namun PAS dan DAP  tetap berpatah arang berkerat rotan.

Kini Parti Pribumi Bersatu Malaysia(PPBM) diberi tugas khas untuk memujuk PAS agar menjalinkan kerjasama dengan mereka.

Satu pertemuan dua wakil PAS dan PPBM  yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini merupakan permulaan kepada langkah tersebut. PAS dan PPBM yang bertemu 'secara rahsia' telah membincangkan jalan untuk bekerjasama menjelang pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Ia melibatkan pertemuan antara Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Namun ramai pihak melihat kemungkinan wujudnya kerjasama rasmi antara PAS dan PPBM masih terlalu jauh apatah lagi hasil perbincangan itu belum mencapai sebarang kata putus.

Malah PAS sendiri mahu meneliti dulu semua cadangan kerjasama daripada PPBM sebelum dibawa ke majlis syura ulama (MSU).

Menurut penganalisis politik, parti PAS tidak mungkin akan bekerjasama dengan PPBM yang penuh dengan skandal. Pemimpin kanan PPBM termasuk presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yasin telah dibayangi dakwaan skandal dengan isteri orang, Nika Gee Siew Yee hinggakan pasangan itu bercerai.

Semalam, dokumen lengkap merangkumi akuan bersumpah (SD) oleh bekas Timbalan Pendakwa Raya, Stanley Clement Agusti, iaitu bekas suami Nika mengenai dakwaan hubungan sulit Muhyiddin dan Nika serta keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2015 berkaitan perceraian Stanley dan bekas isterinya itu telah diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) untuk tindakan lanjut.

Bukan itu sahaja, malah skandal seks turut menyelubungi orang kuat PPBM Anina Saadudin apabila beliau   dikaitkan dengan dakwaan terbabit dalam “skandal mesej seks” dengan bekas pembantunya.

“Screenshot” perbualan intim dalam aplikasi WhatsApp yang didakwa antara beliau dan seorang lelaki tidak dinamakan, tersebar baru-baru ini. Walaupun Anina disingkirkan sebagai ketua srikandi wanita PPBM namun beliau masih lagi mempunyai pengaruh yang besar dalam parti tersebut.

Selain itu, Ketua Armada PPBM Syed Saddiq juga dikatakan kaki "Clubbing" berikutan tersebarnya gambar-gambar beliau menari ketika berada di luar negara sewaktu terlibat dalam pertandingan debat.

Dan skandal paling hebat abad ini adalah skandal Forex serta BMF melibatkan Pengerusi PPBM sendiri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkemungkinan besar membongkar eleman jenayah berat beliau terhadap rakyat Malaysia dan negara.

Sebelum ini Majlis Syura Ulama' memutuskan tahaluf siyasi (pakatan politik) PAS dengan DAP. Mereka memutuskan "haram" berkerjasama dengan DAP.

Kita juga amat maklum bahawa PPBM dan DAP kini bagai isi dengan kuku. Sekiranya PAS bekerjasama dengan PPBM, ia seolah-olah seperti PAS bekerjasama dengan DAP.

Tulisan :
Beruang Biru
BB263, Jumaat
3 Februari 2017

Saturday, 4 February 2017

DAP parti hipokrit, talam dua muka

KUALA LUMPUR: Sikap hipokrit dan talam dua muka DAP terserlah apabila tindakannya selama ini didakwa sekadar lakonan demi mengaut kepentingan politik. Timbalan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Nurul Islam Mohamed Yusoff, berkata yang terbaru adalah tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bilut daripada DAP, Chow Yu Hui, membidas himpunan bantahan ke atas Presiden Amerika, Donald Trump, yang melarang kemasukan orang Islam dari tujuh negara. Pada masa sama, katanya, DAP pernah mempersoal pihak yang membantah kemasukan atlet luncur air Israel menyertai Kejohanan Luncur Air di Langkawi pada 2015.

 "DAP pernah dipertikai oleh bekas pemimpinnya seperti Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, Hew Kuan Yaw dan Janice Lee dalam banyak aspek dan perkara. "Kepura-puraan DAP ini bukan perkara baharu apabila segala tembelang mulai pecah selepas apa yang diperjuangkan selama ini sekadar lakonan. "Contohnya perjuangan berkaitan alam sekitar seperti Lynas tetapi DAP di Pulau Pinang mengemukakan projek pengangkutan yang memusnahkan alam sekitar negeri itu,"

katanya dalam kenyataan, hari ini. Nurul Islam berkata, begitu juga soal integriti yang tegas dipegang selama ini akhirnya tercalar oleh dakwaan skandal rasuah membabitkan pemimpin tertinggi parti itu. Pemerintahan ala Khalifah Umar Abdul Aziz yang dicanang pemimpin itu, katanya, menjadi sebaliknya hingga membawa kepada pelbagai cemuhan.

"Begitu juga Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang, yang pernah lantang menyerang bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu Bumiputra Malaysia Finance (BMF), namun hingga kini gagal menyatakan pendirian hasil pendedahan terbaru CIA," katanya.


Wednesday, 1 February 2017

Mana Satu Pilihan PPBM, Bersama PAS Atau Pakatan Harapan?

Melihat kepada perbincangan ini, timbul persoalan, pasukan manakah yang dipilih oleh PPBM pada Pilihan Raya Umum ke 14 kelak? Adakah mereka masih kekal setia dengan Pakatan Harapan atau terpaksa akur dengan kehendak PAS yang ingin terus kekal sebagai blok ketiga pembangkang bersama-sama Parti Ikatan Malaysia (Ikatan)?

PAS sebelum ini menyatakan pendirian untuk kekal berdiri atas kapasiti blok ketiga pembangkang dan enggan berkompromi terhadap mana-mana rundingan pembahagian kerusi dengan Pakatan Harapan. Ini kerana, hubungan tegang PAS dengan DAP selaku parti utama Pakatan Harapan telah menyebabkan PAS enggan lagi berkompromi dalam apa jua bentuk rundingan.

Andai ini berlaku, sudah tentu PPBM berada dalam dilema. Manakan tidak, setelah usaha PKR memujuk PAS untuk akur kepada pembahagian kerusi yang dicadangkan oleh Pakatan Harapan, satu-satunya harapan menyaksikan pertandingan satu lawan sari antara pakatan pembangkang dengan BN adalah melalui rundingan yang dilakukan oleh PPBM.

Andai ini gagal dilakukan dengan baik oleh PPBM, kemana hala tuju Pakatan Harapan? Paling utama, adakah PPBM akhirnya terpaksa menjadi lalang dengan menyebelahi kedua-dua belah blok pembangkang asalkan mereka mempunyai keuntungan politik?



Jika dilihat kepada keadaan semasa, PPBM sebenarnya masih tercari-cari formula terbaik untuk bertapak kukuh dalam arus politik Malaysia. Sebagai parti baru, diterima masuk sebagai salah sebuah parti sekutu Pakatan Harapan pastinya menjadi batu lojakan buat PPBM. Namun, PPBM harus akur kepada faktor senioriti selain daripada kuasa besar yang dimiliki DAP.

Oleh yang demikian, sebagai langkah selamat, ada kemungkinan PPBM bakal mengadakan rundingan sulit bagi memastikan survivor PPBM kekal relevan andai “diusir” keluar oleh DAP, PKR ataupun PPBM. Maka disinilah letaknya kepentingan utama PPBM mengadakan rundingan dengan PAS selain daripada memujuk PAS mengorbankan beberapa kerusi milik PAS kepada PPBM dan Pakatan Harapan.

Wednesday, 5 October 2016

PAS sambut baik pengumuman Jamil Khir



PAS mengucapkan sekalung tahniah dan penghargaan kepada keluarga Al Marhum Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din yang telah dikurniakan Anugerah Khas  Maal Hijrah sempena Sambutan Maal Hijrah Tahun 1438. Sesungguhnya jasa dan komitmen yang tinggi oleh Al Marhum dalam menegakkan syiar Islam dan memartabatkan Syariah di negara ini tidak dapat sekali-kali dinafikan.

PAS juga menyambut baik penganugerahan Khas Maal Hijrah kepada Al Marhum Tuan Guru Dato' Dr Haron Din oleh pihak kerajaan yang diumumkan oleh YB Mejar Jeneral Dato' Seri Jamil Khir Hj Baharom (B), Menteri Di Jabatan Perdana Menteri.

Sesungguhnya ia satu pemilihan yang tepat, penghargaan yang wajar dan pengiktirafan yang selayaknya terhadap perjuangan dan kepimpinan Al Marhum.

Al Marhum Tuan Guru Dato' Dr. Haron Din yang juga menyandang jawatan Mursyidul Am PAS sehingga ke penghujung hayat beliau pernah menerima anugerah Tokoh Maal Hijrah peringkat Negeri Selangor pada tahun 1432H bersamaan tahun 2010.

Anugerah tersebut telah disempurnakan oleh Tengku Panglima DiRaja Selangor, Tengku Sulaiman Shah Al-Haj mewakili Sultan Selangor.

 Penganugerahan Khas Maal Hijrah 1438 tersebut adalah satu pengiktirafan kepada jasa besar Al Marhum dalam banyak bidang seperti ekonomi Islam, pendidikan, perubatan Islam, dakwah dan jihad fi Sabilillah.

Bukan sahaja diperingkat nasional malah juga diperingkat antarabangsa.


 Apa yang lebih penting, perjuangan dan kesungguhan yang jitu oleh Al Marhum dalam memartabat syariah di tanahair ini seharusnya menjadi ikutan dan panduan oleh seluruh masyarakat muslim, khususnya pendokong perjuangan Islam PAS.

Benarlah, bukan kita yang memulakan dan mengakhiri perjuangan ini, bahkan kita hanya penyambung mata rantai perjuangan.

"Hijrah Ke Arah Memartabatkan Syariah"

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat