Showing posts with label pasukan bolasepak pulau pinang. Show all posts
Showing posts with label pasukan bolasepak pulau pinang. Show all posts

Tuesday, 13 March 2018

'Kasihanilah kami'

GEORGETOWN: “Usah ditambah derita yang ada, kasihanilah kami,” rayu Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) yang meminta pertimbangan Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) untuk meringankan hukuman denda dikenakan terhadap persatuan itu.
Naib Presiden FAP, Mohd Azizudin Mohd Shariff berkata, denda RM500,000 dikenakan bukan satu jumlah kecil ditambah pula skuad Harimau Kumbang turut berdepan masalah kewangan kritikal.
Beliau berkata, masalah dihadapi terutama ketiadaan penaja merumitkan lagi usaha FAP menjelaskan gaji semua pemain termasuk bekas pemain sejak tahun lalu.
Katanya, tunggakkan hutang perlu dijelaskan FAP dianggarkan berjumlah RM3 juta dan rayuan itu perlu diberikan perhatian sewajarnya.
“Suntikan geran tahunan diberikan sedikit sebanyak membantu pembentukan pasukan dan tindakan denda itu pasti menjejaskan semua pasukan terbabit,” katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.
Mohd Azizudin berkata, dengan adanya geran ia sedikit sebanyak mampu menjelaskan tunggakan gaji pemain dan bekas pemain Liga Super dari bulan Oktober dan November tahun lalu.
Beliau berkata, pemain Harimau Kumbang yang disambung kontrak pula turut menghadapi tunggakan gaji dari Oktober hingga Disember tahun lalu biarpun kerajaan negeri turut membantu menyuntik sedikit bantuan modal namun ia masih tidak mencukupi.
Katanya, FAP kini sedang mencari penaja dan beberapa syarikat kini masih dalam rundingan awal namun tiada persetujuan dibuat buat masa ini selain berharap ada lagi beberapa syarikat lain sudi menjadi penaja.
“Kita mengharapkan segala masalah FAP dapat diselesaikan dan FMLLP melihat rayuan dibuat semua pasukan terbabit membuktikan kesusahan sebenar dihadapi demi memartabatkan mutu bola sepak negara,” katanya.
FMLLP mengenakan denda RM1.5 juta ke atas empat pasukan Liga Super iaitu Selangor, PKNS FC, Kuala Lumpur dan Kelantan. 
Selain itu denda RM500,000 dikenakan ke atas enam pasukan Liga Perdana membabitkan Kuantan FA, PDRM, Sarawak, Pulau Pinang, MISC-MIFA dan UKM FC.

Thursday, 12 October 2017

Giliran Pemain Pulau Pinang Angkat Kaki

KEM skuad Harimau Kumbang seperti dilanda tsunami sebaik Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), Zairil Khir Johari, meletak jawatan pada 9 Oktober lalu.

Keputusan itu dilihat menjadikan  situasi bola sepak Pulau Pinang berada dalam keadaan tenat setelah sah bakal turun ke saingan Liga Perdana musim depan.Tanpa hala tuju yang jelas dan sehingga kini masih belum calon pengganti Zairil, majoriti pemain Pulau Pinang mula resah memikirkan masa depan mereka.

Berikutan itu, ramai pemain utama skuad berkenaan didakwa sedia mengangkat kaki demi kerjaya musim depan.

Salah seorang pemain yang enggan dedahkan identiti mendakwa, rakan sepasukannya sudah mula mencari pasukan baru musim depan selepas berasakan Pulau Pinang seperti sudah hilang arah.
"Saya dan rakan-rakan mahu terus kekal dengan Pulau Pinang selepas kecewa dengan apa yang berlaku musim ini serta mahu bawa balik pasukan kembali ke Liga Super.

"Tapi, melihat kepada pergolakan yang sedang melanda pengurusan terutama peletakan jawatan Zairil secara mengejut, saya nampak masa depan pasukan ini semakin sukar.
"Kami belum dengar apa-apa mengenai masa depan malah FAP lebih banyak mendiamkan diri sejak kami tersingkir ke Liga Perdana.

"Jika sehingga penghujung bulan ini (Oktober) belum ada sebarang pergerakan, kami sedia cari pasukan lain untuk 2018," katanya.Beberapa pemain muda Pulau Pinang seperti Syamer Kutty Abba, Jafri Firdaus Chew, S. Kumaahran dan Redzuan Suhaidi difahamkan sedang dipancing kebanyakan pasukan Liga Super.

Pemain-pemain lain, Sani Anuar Kamsani, Mafry Balang, Rafiuddin Roddin dan K. Reuben turut menarik perhatian beberapa pasukan di Liga Super serta Perdana.Kekhuatiran pemain Pulau Pinang ini didakwa turut berkait dengan jangkaan segelintir pihak bahawa tiada lagi dana daripada kerajaan negeri ekoran peletakan Zairil yang merupakan Ahli Parlimen Bukit Bendera.

sumber : http://www.mstar.com.my/sukan/bola-sepak/2017/10/12/pemian-pp/