Showing posts with label penang. Show all posts
Showing posts with label penang. Show all posts

Thursday, 23 June 2016

Sinar Harian Bongkar Pembohongan Kerajaan Lim Guan Eng Pada 2012?


Hari ini, akhbar Sinar Harian melalui artikelnya bertajuk "Ramadan Di Kaki Lima" sekali lagi telah memaparkan pembohongan yang telah dilaporkan oleh lidah rasmi kerajaan pimpinan Lim Guan Eng iaitu Buletin Mutiara.

SUMBER

Akhbar tersebut melalui artikelnya menyatakan program Ziarah Ramadan itu dianjurkan bersama sukarelawan universiti tempatan di sekitar Lebuh Penang, Lebuh Chulia dan juga Masjid Kapitan Keling.

Berdasarkan artikel yang diterbitkan akhbar tersebut, ternyata bahawa apa yang diwar- warkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang melalui lidah rasmi mereka Buletin Mutiara sejak 01 November 2012 adalah satu pembohongan.

Buletin Mutiara melalui artikelnya bertarikh 01 November 2012 pernah menyatakan bahawa Tiada Lagi Miskin Di Pulau Pinang.

SUMBER
Tidak sekadar artikel di atas, media online Roketkini.com juga pernah mengeluarkan artikel yang hampir sama pada 27 April 2016 lalu.

SUMBER

Jika benar Pulau Pinang berjaya membasmi kemiskinan, kenapa masih lagi dilaporkan tentang isu ini oleh akhbar Sinar Harian?

Wednesday, 8 June 2016

Terowong Dasar Laut ; Gerakan Hantar Jemputan Perbahasan Kepada Lim Hock Seng


GEORGETOWN - Pemangku Ketua Pemuda Gerakan Pulau Pinang, Jason Loo hari ini menyerahkan jemputan rasminya kepada Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Kemudahan Awam Negeri, Lim Hock Seng untuk mengadakan perbahasan terbuka mengenai topik, "Terowong Dasar Laut, Satu Skandal Demokrasi".

Jason berkata, beliau telah menempah sebuah dewan di Persatuan Loh untuk berbahas dengan anggota exco itu pada 11 pagi Sabtu ini dan berharap Lim akan dapat menghadirkan diri.

Menurutnya, perbahasan itu akan memberi platform kepada Hock Seng untuk mengemukakan fakta bagi menjawab segala tuduhan agar orang ramai mendapat gambaran lebih jelas tentang Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang, terutama mengenai projek dasar laut.

"Marilah kita bersemuka Sabtu ini dan berbahas secara konstruktif," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan surat jemputan itu kepada pegawai tadbir Hock Seng , Fazilah Abdul Karim di sini hari ini.

Beliau berkata seorang jurulatih pengucapan awam akan bertindak sebagai moderator perbahasan itu.

Sementara itu, Hock Seng dilaporkan hari ini enggan menyahut cabaran itu kerana mendakwa semua soalan yang ditimbulkan telah dijawab dan oleh itu perbahasan tidak perlu diadakan.

"Bukanlah saya nak sombong, tapi siapakah Jason Loo? Saya tak dapat melayan cabaran mengadakan perbahasan terbuka seperti itu...sekurang-kurangnya carilah seseorang yang sama taraf dengan saya," kata Hock Seng yang dipetik sebuah portal berbahasa Inggeris hari ini.

Mengenai perkara sama, Naib Presiden Parti Cinta Malaysia (PCM), Datuk Huan Cheng Guan meminta kerajaan Pulau Pinang menjelaskan tentang struktur ekuiti semasa Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd (CZBUCG), yang kata beliau adalah syarikat yang dipilih untuk melaksanakan projek terowong dasar laut berkenaan berdasarkan RFP (Permintaan Untuk Perancangan).

Cheng Guan mendakwa bahawa pada 2013, kerajaan Pulau Pinang menyerahkan projek itu kepada CZBUCG, sebuah syarikat tujuan khas yang dibentuk lima syarikat - Zenith Construction Sdn Bhd, China Railway Construction, Beijing Urban Construction Group (BUCG), Sri Tinggi Sdn Bhd dan Juteras Sdn Bhd.

Menurut beliau, Zenith Construction Sdn Bhd dan China Railway Construction menguasai sebahagian besar saham iaitu sebanyak 70 peratus, manakala BUCG, Sri Tinggi Sdn Bhd dan Juteras Sdn Bhd, masing-masing memiliki 10 peratus.

Bagaimanapun, kata Cheng Guan , berdasarkan carian yang beliau lakukan bulan lepas, Zenith Construction Sdn Bhd merupakan pemegang saham terbesar kerana ia memiliki 99.13 peratus ekuiti, BUCG (0.0057 peratus) dan Juteras Sdn Bhd (0.863 peratus).

"Bukan sahaja BUCG memiliki kepentingan begitu kecil iaitu 0.0057 peratus, malah China Railway Construction pula nampaknya hilang langsung sebagai pemegang saham. Struktur pemegangan saham semasa CZBUCG nampaknya sangat berbeza daripada cadangan RFP mereka dan apa yang dikatakan kerajaan Pulau Pinang suatu masa dulu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan dokumen berkaitan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Pulau Pinang di sini hari ini.

Pada 3 Jun, Cheng Guan membuat laporan di pejabat sama dan meminta SPRM menyiasat sekiranya terdapat sebarang penyelewengan dalam urusan itu. - Bernama

EXCO YB Lim Hock Seng tak mahu sahut cabaran Gerakan PP untuk berdebat


Monday, 6 June 2016

Penang Sky Cab : Kerajaan Negeri Diminta Patuhi Syarat Ditetapkan.




GEORGETOWN - Kerajaan negeri diminta supaya mematuhi syarat yang ditetapkan jika ingin meneruskan projek kereta kabel ‘Penang Sky Cab’ (PSC) merentasi Selat Pulau Pinang. 

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Tan Teik Cheng berkata, ia membabitkan isu keselamatan kerana tapak cadangannya terletak atas laluan pelayaran kapal di Pelabuhan Pulau Pinang.

Menurutnya, pandangan itu bukan bermotifkan politik kerana keputusan dibuat selepas mendapat maklum balas tiga agensi iaitu SPPP selaku pihak berkuasa pelabuhan, Jabatan Laut Malaysia dan Penang Port Sdn Bhd (PPSB).

“Kenyataan media Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dalam lawatannya ke SPPP 30 Mei lalu adalah selaras seperti ulasan bertulis yang diberikan SPPP kepada Unit Perancang Ekonomi Negeri Pulau Pinang (Upen) melalui surat bertarikh 3 Februari.

“Dalam mesyuarat yang dipengerusikan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) / Pengarah Upen, Datuk Abu Jamal Nordin pada 12 Januari, Jabatan Laut Malaysia serta PPSB turut sependapat dengan SPPP dalam hal berkenaan,” katanya menerusi kenyataan media baru-baru ini.

Beliau berkata, perkara yang menjadi isu dalam perbincangan adalah berkaitan kedudukan pylon atau tiang nombor 3 yang berada di tengah-tengah laluan perkapalan. 

Sehubungan itu, kerajaan negeri perlu mengemukakan maklumat lengkap mengenai projek yang dicadangkan sebelum sebarang pertimbangan dibuat.

“Mengemukakan maklumat lengkap perlu untuk menentukan sama ada ia boleh diteruskan atau tidak atau dapat dibuat oleh Kerajaan Pusat.

“Sehingga kini tiada sebarang maklumat lengkap berhubung cadangan itu dikemukakan kerajaan negeri kepada Kementerian Pengangkutan atau SPPP,” katanya.

Teik Cheng berkata, jajaran asal projek kereta kabel itu dilihat akan memberi kesan kepada operasi pelabuhan di samping menyukarkan pergerakan keluar masuk kapal di Pelabuhan Pulau Pinang. 

Ini kerana sebarang projek yang dirancang perlu mengambil kira kepentingan dan keselamatan industri pelabuhan di Pulau Pinang kerana ia menjadi penyumbang utama kepada perkembangan ekonomi negeri.

Beliau turut menafikan kenyataan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang mendakwa Kerajaan Pusat menolak cadangan itu.

“Kenyataan menteri (Tiong Lai) menunjukkan Kementerian Pengangkutan, SPPP dan Jabatan Laut Malaysia tidak menolak PSC malah SPPP menghadiri beberapa siri perbincangan dengan Upen untuk memberi ulasan dan cadangan balas sebagai alternatif menangani isu yang timbul, khususnya berkaitan kedudukan pylon nombor 3 yang menjadi isu utama projek berkenaan.

“Kenyataan Ketua Menteri mendakwa Kerajaan Pusat bersikap seperti penjajah kerana menolak cadangan itu sama sekali tidak wajar,” katanya.

Sebelum ini, Guan Eng menempelak Tiong Lai dengan menggelarnya sebagai penjajah kerana membantah projek PSC.

Menurutnya, Tiong Lai bersikap seperti penjajah apabila berbohong kepada seluruh rakyat dan tidak mengizinkan kerajaan negeri untuk melaksanakan projek pengangkutan alternatif itu.-SH

Sunday, 8 May 2016

Pesawah Mahu PBAPP Henti Lepas Air Ke Laut


KEPALA BATAS, 7 Mei (Bernama) -- Sekumpulan pesawah di kawasan Seberang Perai Utara (SPU) mahu kerajaan negeri dan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) mengambil tindakan segera agar tidak terus melepaskan air Sungai Muda di empangan Rantau Panjang, Penaga di sini ke laut.

Wakil pesawah Abdul Rahim Mohd Nordin, 64, mendakwa tindakan PBAPP itu bukan sahaja membazir malah merugikan pesawah kerana air dilepaskan ke laut tanpa disalurkan dan dibekalkan kepada kawasan sawah di sekitar SPU.

"Sejak lima tahun lepas, air dari empangan itu dilepaskan terus ke laut tanpa dibekalkan kepada pesawah untuk mengusahakan tanaman padi dan kami telah beberapa kali memaklumkan masalah ini kepada PBAPP dan kerajaan negeri.

Yang terbaru dua bulan lepas saya sendiri telah berjumpa dengan Dr Afif Bahardin (Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan negeri) untuk membantu kami, " katanya kepada pemberita selepas menyertai kira-kira 200 pesawah mengadakan perhimpunan aman di kawasan empangan Rantau Panjang, di sini hari ini.

Abdul Rahim mendakwa Dr Afif berjanji kerajaan negeri akan membantu mereka tetapi sehingga hari ini tiada apa-apa yang dilakukan.

Anggota Jawatankuasa Bertindak Perhimpunan itu Suhaidi Hashim, 53, yang juga petani berkata sehingga hari ini kira-kira 5,000 petani membabitkan 6,000 hektar sawah di kawasan SPU masih belum menanam padi kerana tidak mendapat bekalan air berikutan cuaca panas sejak awal tahun.

Katanya, cadangan kerajaan negeri supaya petani di SPU menanam padi cara serak tabur bagi mengatasi masalah air juga tidak dapat dilakukan kerana hujan telah mula turun sejak awal bulan ini dan menyebabkan tanah menjadi lembab.

"Jika PBAPP tidak membazir dengan melepaskan air terus ke laut dan membenarkan kami mengepam air masuk ke kawasan sawah, ia dapat membantu kami menanam padi dengan lebih cepat," dakwanya.

Beliau mendakwa jika masalah bekalan air itu tidak diatasi bulan ini, para pesawah tidak dapat menanam padi untuk musim ini kerana telah terlepas tempoh penanaman padi dan hanya boleh menanam pada musim akan datang iaitu Disember depan.

Suhaidi berkata masalah itu akan merugikan petani kerana mereka tidak mempunyai pendapatan hasil dari sawah dan berharap pihak-pihak yang bertanggungjawab dapat melakukan sesuatu untuk membantu pesawah di sini.

Sementara itu, seorang lagi pesawah Koo Ah Chia, 54, berkata sepatutnya PBAPP dan kerajaan negeri perlu membuat perancangan berhubung pengurusan air di Sungai Muda dan empangan Rantau Panjang berkenaan bagi memudahkan semua pihak terutama pesawah di kawasan itu.

"Kawasan empangan itu tidak jauh dengan empangan Syarikat Air Darul Aman (SADA) di Kota Kuala Muda, Kedah tetapi pesawah di sana tidak menghadapai masalah bekalan air kerana SADA tidak melepaskan air terus ke laut sebaliknya membekalkan kepada kawasan penanaman padi di sekitar situ," katanya.



-- BERNAMA

Saturday, 7 May 2016

Kos Kajian Kebolehlaksanaan Terowong Dasar Laut Pulau Pinang Terlalu Tinggi - Fadillah Yusof


KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata kajian kebolehlaksanaan bagi projek berskala besar seperti terowong dasar laut Pulau Pinang sepatutnya melibatkan kos kurang daripada RM305 juta.

Fadillah berkata berdasarkan pengalaman beliau sebagai Menteri Kerja Raya, kajian seperti itu sepatutnya melibatkan kos yang rendah kerana peratusan daripada kos projek boleh dirunding untuk dikurangkan kepada kadar hari bekerja berikutan skop dan jumlah yang terlibat adalah besar.

"Saya terkejut apabila mendengar pendedahan (Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional) Datuk Abdul Rahman Dahlan bahawa kajian bagi projek Terowong Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion itu, yang katanya hanya untuk kertas kerja asas, akan menelan kos RM305 juta.

"Adalah juga dikesalkan apabila mendengar bahawa dengan jumlah sebesar itupun, kerajaan Pulau Pinang menghadapi kelewatan untuk menyiapkan kajian mereka," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Fadillah berkata kementerian itu mempunyai kepakaran untuk menjalankan kerja tersebut dengan kos jauh lebih rendah daripada RM305 juta serta boleh menjamin kajian itu dapat disiapkan mengikut jadual.

"Oleh itu, saya ingin menawarkan bantuan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang melalui Jabatan Kerja Raya tentang bagaimana kami boleh membantu untuk mengurangkan kos bagi kajian kebolehlaksanaan itu serta memberi jaminan ia akan disiapkan mengikut waktunya, berbanding pelbagai kelewatan yang sudah mereka alami," katanya.

Pada sidang akhbar hari ini, Abdul Rahman meminta kerajaan Pulau Pinang memberi penjelasan bagaimana kajian kebolehlaksanaan cadangan membina terowong dasar laut Pulau Pinang boleh melibatkan kos hingga RM305 juta.

Katanya, jumlah itu terlalu tinggi dan tidak munasabah kerana ia hanya melibatkan kertas kerja dan laporan penyelidikan bagi pelaksanaan projek.

-- BERNAMA

Monday, 2 May 2016

Lokasi Penghantaran Surat Ugutan Bunuh Setiusaha Agung Parti GERAKAN Dikenalpasti.


Polis telah membuka kertas siasatan berhubung sepucuk surat berbaur ugutan yang diletakkan di hadapan Ibu Pejabat Gerakan Pulau Pinang di Jalan Macalister, George Town Isnin lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Ghafar Rajab berkata, berdasarkan cap pos di setem surat yang dialamatkan kepada Setiausaha Agung Gerakan Datuk Liang Teck Meng, ia dihantar dari pejabat pos di Kota Kinabalu, Sabah.

"Polis negeri bekerjasama dengan polis Kota Kinabalu bagi menyiasat motif surat itu dihantar dan mengesan pihak yang menghantarnya," katanya kepada pemberita selepas program kebajikan dan penyerahan cek RM10,000 oleh Persatuan Penunggang Motosikal Besar dari tiga negara di Persatuan Kebajikan Kanak-Kanak Cacat Yee Ran Jing Sheh di Taman Belimbing, di sini hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak 700 penunggang motosikal dan 20 buah kereta mewah dari Malaysia, Singapura dan Thailand turut berkonvoi membawa kanak-kanak rumah tersebut bagi memberi peluang mereka merasai sendiri menaiki kenderaan berkenaan.

Katanya, surat itu turut mengandungi keratan akhbar berbahasa Cina berkaitan isu penjualan tanah Taman Manggis dan wang kertas palsu yang digunakan dalam upacara pembakaran untuk mereka yang telah meninggal dunia dalam masyarakat Cina.

"Biar pihak polis siasat dan saya harap mana-mana pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu," katanya.

Akhbar sebelum ini melaporkan, surat berbaur ugutan itu dipercayai ada kaitan dengan tindakan agresif parti itu mendedahkan kontroversi penjualan tanah Taman Manggis dan pembelian banglo di bawah harga pasaran oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Sementara itu, Abdul Ghafar berkata, polis sedang giat mengesan dua lelaki warga Indonesia yang meloloskan diri dalam kejadian berbalas tembak dengan polis di Jalan Mount Erskine, George Town awal pagi 18 April lalu.

Dalam kejadian itu, dua lelaki Indonesia yang baru memecah masuk sebuah rumah di Pulau Tikus di sini ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan polis di kawasan simpang tiga Jalan Mount Erskine manakala dua lagi rakan mereka melarikan diri ke kawasan semak berhampiran. - Bernama

Sunday, 1 May 2016

Georgetown Bakal Tergadai Ke Tangan Warga Asing Di Bawah Pemerintahan DAP?


Kawasan sekitar Georgetown dilihat semakin terhimpit dan berkemungkinan hilang daripada milikan rakyat tempatan atau kerajaan ne­geri sekiranya penjualan tanah kepada warga asing tidak dikawal.

Ketua Pemuda MCA Bahagian Tanjong, Lim Swee Bok berkata, tanah di negeri ini khususnya di kawasan Georgetown ketika ini dikesan banyak dijual kepada warga asing.

Sehubungan itu, beliau mendesak Kerajaan DAP Pulau Pinang menjelaskan mengenai langkah kawalan bagi mempertahankan hartanah di negeri ini.

“Kerajaan negeri perlu menjelaskan apakah langkah dan pelan tindakan yang dirancang dalam memastikan kepentingan rakyat tidak terabai setelah pihak asing memiliki tanah di negeri ini.

“Perkara ini penting demi memastikan kelangsungan hidup rakyat memandangkan Georgetown adalah jantung dan nadi kehidupan di negeri ini,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata dalam sidang akhbar bersama sebahagian penduduk di lapan unit rumah kedai di Lebuh Gatz di sini yang diarahkan mengosongkan rumah masing-masing dalam tempoh enam bulan setelah tanah di kawasan itu dibeli sebuah syarikat Singapura.

Swee Bok menambah, kerajaan negeri perlu mengambil langkah lebih proaktif dalam menjaga wa­risan di negeri ini khususnya di sekitar Georgetown.

Sementara itu, mengulas mengenai nasib penduduk membabitkan lapan unit rumah kedai di Lebuh Gatz yang diarahkan berpindah tanpa pampasan sewajarnya, tegas Swee Bok, pihaknya melahirkan rasa kesal kerana nasib penduduk terlibat seolah-olah diabaikan.

Menurut beliau, selepas berpuluh-puluh tahun menetap di situ, penduduk berhak mendapat pampasan setimpal sekali gus mendesak kerajaan negeri campur tangan mempertahan nasib penduduk ber­kenaan.

“Mereka bukan tidak mahu berpindah tetapi mahukan pampasan setimpal diberikan seperti rumah ganti dan pengangkutan perpindahan di sediakan demi kelangsungan hidup mereka,” katanya.-UM

Saturday, 30 April 2016

Kerajaan DAP Pulau Pinang Diminta Mengawal Penjualan Premis Warisan.


Kerajaan Pulau Pinang digesa agar mengawal penjualan premis di bandar ini, yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Unesco sejak 2008, kepada warga asing bagi memastikan nilai warisannya tidak terjejas.

Anggota Jawatankuasa Perhubungan Gerakan Negeri, H'ng Khoon Leng berkata, kerajaan DAP perlu mencari jalan agar milikan premis tidak terlepas kepada warga asing dan jika sesebuah premis ingin dijual, keutamaan harus diberikan kepada pembeli rakyat tempatan.

"Sikap 'tidak apa' tak boleh dibiarkan, kerajaan negeri perlu cari jalan untuk hadkan keupayaan warga asing beli premis di negeri ini terutama di tapak warisan Georgetown," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau mendakwa pihaknya mendapati banyak premis seperti bangunan rumah kedai di sekitar Georgetown telah dijual kepada rakyat asing terutama dari Singapura dan penyewa-penyewa telah diarahkan berpindah dalam tempoh terdekat.

Dakwanya, kebanyakan penyewa enggan berpindah kerana telah lama menetap di premis berkenaan selain tiada tempat untuk dituju ekoran tidak mampu menyewa rumah lain pada kadar yang rata-ratanya lebih tinggi.

Dalam pada itu, wakil penyewa rumah kedai di Lebuh Katz di sini, Ong Cheong Pin, 54, mendakwa pemilik asal telah mengarahkan lapan penyewanya berpindah selewat-lewatnya Oktober ini kerana telah menjual bangunannya kepada rakyat Singapura.

"Kami dibenarkan tinggal di sini selama enam bulan secara percuma sebelum pindah, tapi kami tak setuju sebab dah lama tinggal di sini, kebanyakan keluarga tinggal di sini lebih tiga generasi," katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda MCA Bahagian Tanjong, Lim Swee Bok berkata, kerajaan negeri perlu turun padang dan melihat sendiri situasi itu bagi memastikan warisan negeri terpelihara.  

Beliau berharap agar kerajaan negeri lebih prihatin dan dapat mengambil tindakan untuk memastikan nasib penghuni-penghuni di bangunan warisan itu terbela. - Bernama

Monday, 21 March 2016

Pemuda PAS PP desak LGE bercuti sewaktu siasatan SPRM


21 MAC : Pemuda PAS mendesak Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng supaya bercuti sehingga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melengkapkan siasatan berhubung pembelian banglonya.

Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, langkah itu bagi memastikan ketelusan dan proses siasatan dapat dilakukan dengan pantas.

“Pemuda PAS berpendapat bahawa Lim perlu bercuti daripada jawatannya sebagai KM sehingga SPRM melengkapkan siasatannya.

“Kami juga menyokong pendirian Presiden PAS, Abdul Hadi Awang bahawa Lim tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah oleh mahkamah.

“Pendirian Hadi menunjukkan kebesaran hati beliau dalam mempertahankan seseorang yang belum didapati bersalah sekalipun orang itu mengisytiharkan PAS sebagai saingan atau musuh, katanya.

Pendirian itu tegasnya, selari dengan pendekatan budaya politik matang dan sejahtera yang dipraktikkan PAS iaitu rasional dalam membuat keputusan dan profesional dalam tindakan.

“Sikap presiden PAS melambangkan konsistensi PAS terhadap prinsip perjuangan Islam yang mempertahankan kebenaran, sekalipun ia datang daripada pihak yang berlawanan.

“Pendekatan ini jauh berbeza dengan pendekatan politik konvensional sesetengah pihak yang mengambil pendekatan konfrontasi menewaskan musuh dengan apa jua cara, demi mencapai kepuasan politik kekuasaan semata-mata,” katanya.

Laporan SPRM Pemuda UMNO Terhadap Lim Guan Eng.


Lucunya alasan Ketua Menteri Pulau Pinang yang mendakwa konon tanah di Taman Manggis tidak sesuai dibangunkan PPR