Showing posts with label polis pulau pinang. Show all posts
Showing posts with label polis pulau pinang. Show all posts

Thursday, 28 December 2017

Polis Pulau Pinang guna basikal elektronik ronda kawasan tumpuan pelancong


PULAU PINANG 28 Dis. - Polis negeri ini menggunakan pendekatan baharu dalam aktiviti rondaan cegah jenayah apabila menggunakan tujuh buah basikal elektrik (e-basikal) bermula hari ini.

Ketua Polis negeri, Datuk Chuah Ghee Lye berkata, sebanyak tujuh buah basikal e-elektrik yang disumbangkan tiga syarikat swasta akan dijadikan sebagai projek perintis.

Menurut beliau, tiga basikal berkenaan akan digunakan oleh anggota Polis Pelancong Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) manakala Balai Polis Batu Feringghi dan Balai Polis Quensbay Mall masing- masing akan menerima dua buah basikal.

“Projek ini dijangka meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap kehadiran anggota polis selain berkonsep mesra alam, “ katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE


Saturday, 3 June 2017

Polis Pulau Pinang berjaya tumpaskan Sindiket Dadah


PULAU PINANG 2 Jun - Polis menumpaskan sin­diket pengedaran dadah dengan merampas sejumlah barangan terlarang itu bernilai RM1.63 juta yang dipercayai untuk kegunaan lebih 100,000 penagih dalam lima serbuan di sekitar negeri ini pada Rabu lalu.

Dalam serbuan antara pu­kul 5.45 petang hingga 10.15 malam itu, seramai enam lelaki tempatan termasuk dalang sindiket tersebut ditahan di kawasan awam dan di dua buah rumah di Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Selatan.



Ketua Penolong Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Zulkifli Ali berkata, modus operandi mereka yang memasukkan dadah dalam bungkusan teh Cina dan pembesar sua­ra berjaya dikesan berdasarkan maklumat risikan.

“Rampasan melibatkan 21 kilogram (kg) dadah jenis syabu, 7,800 biji pil erimin 5 dan 18 gram ganja,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Kontinjen Polis negeri di sini hari ini.

Menurut Zulkifli, pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah lebih RM9,400, pelbagai barangan kemas termasuk empat bentuk cincin, tiga kepingan emas, seutas gelang dan rantai.

“Turut dirampas dua kereta jenama Mercedez Benz C200 dan Toyota Camry serta tiga motosikal jenama BMW R1200, Naza Blade 650R dan Benelli TNT600 yang keseluruhan nilainya adalah RM276,000,” katanya.

Zulkifli menambah, berdasarkan siasatan awal kesemua ahli sindiket yang menerima bekalan dari luar negara itu mempunyai rekod jenayah lampau dan seorang daripada mereka didapati positif dadah.


Ujarnya, suspek yang juga peniaga direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan.

Ditanya sama ada negara ini menjadi transit pengedaran dadah, Zulkifli menjelaskan, perniagaan barangan terlarang itu dipercayai menjadi trend negara Segi tiga Emas seperti Myanmar, utara Laos dan utara Thailand sebelum memasarkannya ke negara lain termasuk Malaysia.

“Kita akan teruskan siasatan bagi membanteras lebih banyak ahli sindiket ini yang diyakini masih bebas selain menjejaki aktiviti pasaran gelap melibatkan pengedar dadah lain,” tegasnya.