Showing posts with label poltik. Show all posts
Showing posts with label poltik. Show all posts

Wednesday, 30 May 2018

Jangan Jual Petronas






Barisan Nasional dan Umno tidak bersetuju dengan apa saja alasan jika kerajaan berhasrat menjual 25 peratus pegangan di dalam Petronas untuk melunaskan hutang yang sering dipolitikkan.

Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO berkata, kerajaan sepatutnya memikirkan cara bagaimana untuk meningkat prestasi Petronas di dalam dan luar negara, di samping menambah pegangan asing dan menaikkan pendapatan, daripada mengambil jalan mudah mencari wang untuk mengkotakan janji-janji di dalam manifestonya.

“UMNO beranggapan Kerajaan PH tidak ada ahli yang dapat berfikir secara ‘outside the box’ atau di luar kotak bagi memenuhi janji manifesto ini, kecuali mengambil jalan mudah,” kata kenyataan itu.

“Kalaulah benar hasil jualan saham Petronas sebanyak RM200 bilion itu dikhaskan untuk membayar hutang negara, dari mana pula lebihan RM800 bilion akan diperolehi untuk mencukupkannya?” kata kenyataan itu lagi.

KENYATAAN PENUH

1. Rakyat Malaysia semakin bimbang dengan hasrat Kerajaan Pakatan Harapan yang semakin tidak ketentuan dalam membuat keputusan membabitkan ekonomi negara termasuk terperangkap dalam pelbagai cadangan pihak tertentu yang tiba-tiba timbul termasuklah menjual 25 peratus pegangan dalam Petronas bagi melunaskan hutang 1MDB dan hutang luar yang diwar-warkan RM1 trilion.

2. UMNO dan Barisan Nasional selari dengan kebimbangan rakyat dan kecewa jika Kerajaan PH terjerumus dalam tindakan tidak wajar dan bertindak di luar kawalan dengan menggunakan GLC atas kepentingan pihak tertentu.

3. Barisan Nasional dan Umno tidak bersetuju dengan apa saja alasan jika kerajaan berhasrat menjual 25 peratus pegangan di dalam Petronas untuk melunaskan hutang yang sering dipolitikkan.

4. Apa tujuan sebenar dan apakah maksud terlindung kepada hasrat yang dikemukakan secara tiba-tiba itu? Jika idea itu digunakan apakah kerajaan sudah ketandusan idea untuk mentadbir ekonomi Malaysia yang mendapat penarafan tinggi daripada agensi-agensi antarabangsa seperti Standard & Poor’s, Moody’s dan Fitch?

5. Berhentilah daripada mempolitikkan hutang negara. Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sendiri mengesahkan bahawa hutang negara cuma RM686.8 bilion dan bukannya RM1 trilion.

6. Kerajaan sepatutnya memikirkan cara bagaimana untuk meningkat prestasi Petronas di dalam dan luar negara, menambah pegangan asing dan menaikkan pendapatan, daripada mengambil jalan mudah mencari wang untuk mengkotakan janji-janji di dalam manifestonya. Lebih malang ialah mewar-warkan jumlah hutang yang tinggi untuk menutup kegagalan dalam memenuhi permintaan rakyat.

7. UMNO beranggapan Kerajaan PH tidak ada ahli yang dapat berfikir secara ‘outside the box’ atau di luar kotak bagi memenuhi janji manifesto ini, kecuali mengambil jalan mudah.

8. Mereka gagal ataupun enggan mengiktiraf sasaran pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.9 peratus, unjuran yang dibuat oleh Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa, enggan menerima hakikat bahawa aset 1MDB mampu membiayai hutangnya sendiri dan fakta bahawa defisit fiskal kita menurun daripada 3.0 peratus kepada 2.8 peratus.

9. Kalaulah benar hasil jualan saham Petronas sebanyak RM200 bilion itu dikhaskan untuk membayar hutang negara, dari mana pula lebihan RM800 bilion akan diperolehi untuk mencukupkannya?

10. Apakah PH bercadang pula menjual saham dalam dalam syarikat gergasi lain atau menswastakan sebahagian agensi yang ada? Apakah kerajaan akan menjemput penyertaan (atau lebih tepat lagi campur tangan asing) ke dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang ada. Mungkin juga PH boleh memikirkan sebahagian pemilikan di dalam Khazanah Nasional dan Permodalan Nasional Bhd misalnya, dicagarkan pula kepada entiti asing.

11. Barangkali tenaga profesional di dalam PH hanya berfikir dalam ruang lingkup mereka sendiri, dan enggan berfikir secara rasional dengan ahli ekonomi antarabangsa. Bukankah ini cara mereka sebelum ini, iaitu meminta bantuan pakar asing?

12. Bagaimana pula seorang yang kes rasuahnya masih belum selesai, boleh bercakap mengenai rasuah 1MDB, hutang negara yang direka-reka angkanya dan soal unjuran ekonomi?

13. Kesediaan kerajaan menghapuskan GST yang setakat ini memperkukuhkan perolehan negara sebanyak RM44.3 bilion berbanding hanya RM 18 bilion di bawah SST tahun 2014 serta hutang PTPTN berjumlah RM45 bilion, mencerminkan betapa hutang RM1 trilion rekaannya tidak langsung memberi kesan negatif kepada rakyat dan negara.

14. Dalam pentadbiran Barisan Nasional sebelum ini, hutang kerajaan diurus dengan baik. Kerajaan Barisan Nasional sebelum ini belum pernah gagal melunaskan pembayaran hutang dan pada masa yang sama mampu memacu perkembangan ekonomi negara dengan pesat.

15. Oleh itu, berhentilah segera sandiwara ini supaya FDI tertinggi dalam sejarah diraih oleh Barisan Nasional dahulu tidak terus ditarik keluar, pasaran saham menjunam dan nilai matawang terus jatuh. Rakyat pasti tidak mahu seolah-olah kerajaan hanya wujud untuk memperkudakan isu ini. Janganlah menyembunyikan kelemahan kerana kelemahan yang ada ini mudah dihidu oleh rakyat.

Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO
KUALA Lumpur
28 Mei 2018

Tuesday, 22 May 2018

Alamak! Hutang Negara Dah Cecah Trillion!

BANYAK betul persepsi-persepsi yang tidak masuk akal dilontarkan ke atas hutang negara kita. Berbahayakah hutang negara Malaysia? Mari, bersama saya kita kupas satu-persatu kenapa saya mengatakan bahawa ia tidak berbahaya, hatta kalau nak dibandingkan dengan Sri Lanka dan seumpama dengannya!

Hutang negara yang direkodkan setakat 31 Disember 2017 berada pada paras 50.8% berbanding KDNK negara. Ia sebenarnya mencatatkan penurunan dari setinggi 52.7% pada tahun 2016. Saya tidak tahu di mana angka 1 trillion yang dibawakan oleh Tun M, tapi setakat pemeriksaan saya di portal-portal seperti Debt Clock, masih lagi di bawah angka 700 Billion. Malah angka 1 trillion yang didabik itu pun masih lagi belum memberi kesan yang buruk kepada negara kita. Saya masih menanti angka rasmi yang meletakkan hutang negara kita tiba-tiba mencecah 1 trillion ini.

Undang-undang yang ditetapkan oleh kerajaan adalah hutang negara adalah dilarang untuk berada pada atas had statutori 55%. Penurunan sudah berlaku. Tapi pada zaman Tun M, hutang negara pernah mencapai lebih kurang 100% KDNK dan pada tahun 1986. Pada tahun 1987, kita pernah melebihi daripada 100% KDNK negara kita.

Perlu diketahui bahawa rizab antarabangsa negara berjumlah USD101.5 bilion (bersamaan dengan RM428.9 bilion) pada 31 Oktober 2017. Paras rizab ini memadai untuk membiayai 7.6 bulan import tertangguh dan 1.1 kali hutang luar negeri jangka pendek. Rizab negara kita antara yang tertinggi di dunia tau.

Sebab itu kau akan melihat, negara-negara lain di dunia pula mencatatkan hutang yang jauh lebih tinggi daripada negara kita. Misalnya Jepun mencatatkan angka setinggi 233% daripada KDNK. Tetapi kenapa hutang negara Jepun masih lagi dikira selamat berbanding dengan Greece yang sudah mencecah 77% dan mengalami bankrapsi.

Analoginya mudah:

Contoh, A hutang RM400 dengan B hutang RM10,000, mana lagi besar?

Of course ramai akan kata B. Tapi kalau saya letak dalam perspektif gini;

A hutang RM400 pendapatan RM1,000
B hutang RM10,000, pendapatan RM100,000

Sekarang hutang siapa lagi besar?

Pastinya A sebab kemampuan untuk dia bayar hutang sangat rendah berbanding B walaupun pada nilai permukaan hutan B lagi besar dari A. Kemampuan Malaysia dengan pendapatan tahunan, dan juga rizab negara kita yang tertinggi dalam sejarah, walau hutang kita benarlah seperti yang didabik mencecah 1 Trillion, ia tetap tidak berbahaya berdasarkan kemampuan membayar kita.

Kes Jepun dan Greece ini pula, penjelasannya ialah hutang Jepun adalah merangkumi hutang isi rumahnya rakyatnya manakala hutang Greece pula merangkumi dengan negara-negara luar yang memberikan hutang untuk Greece. Begitu juga dalam negara kita di mana kebanyakan hutang-hutang kerajaan adalah kepada dalam negara iaitu sekitar 74% daripada seluruh bahagian hutang kita. Bond-bond ini dikeluarkan kepada institut tempatan seperti EPF.

Biasanya untuk sebuah negara, mereka juga biasa membayar hutang dengan hutang. Contohnya apabila sebuah bond mencapai tahap matangnya, kerajaan akan membayar dengan membuat hutang yang lain pula. Dalam sejarah, kerajaan Malaysia tidak pernah mengalami default dan kegagalan untuk membayarnya.

Amalan membayar hutang dengan cara begini ialah piawaian biasa kebanyakan kerajaan di dunia. Sampai bila? Sampai bila-bila sebab sebuah kerajaan tidak ada hayat yang sama macam kau. Kau dah mampus. Kerajaan selagi tak ditakluk, ia akan kekal hidup sehinggalah kiamat.

Pada pertengahan tahun lepas sahaja, kemasukan hampir RM400 bilion pelabur asing ke dalam negara kita. Diaorang tak sebodoh itu nak melabur masuk ke dalam negara kita kalau benar kita dah nak bankrap. Hatta harga epal naik atau turun pun pelabur-pelabur asing ni ambil tahu, tentulah bab hutang negara berbahaya atau tidak menjadi topik pengetahuan mereka.

Fungsi ekonomi isi rumah dan juga negara adalah berfungsi dengan cara berbeza. Kena pandai beza ya..

Sebab bezanya sistem ekonomi sebuah negara dan isi rumah, lantas lahir teori dari sekolah ekonomi Modern Money Theory yang salah seorang economist berasal dari mazhab ekonomi di atas mengatakan sedemikian:

“Sekiranya kerajaan USA membayar keseluruhan hutang negara mereka, belum habis bayar lagi, kerajaan mereka akan mengalami kejatuhan ekonomi paling dasyat dalam sejarah mereka.” Professor Randall Wray, Economist.

Aku malas nak ulas dengan mendalam teori yang dikeluarkan oleh economist atau apa pandangan mazhab Modern Money Theory tentang hutang negara sebab aku yakin kita orang awam akan terkinjit-kinjt nak faham. Yalah, benda basic macam hutang negara pun dah pening kepala. Cukuplah kau orang tahu ekonomi sebuah negara adalah sangat berbeza dengan isi rumah. Cukuplah kau tahu bahawa hutang sebuah negara adalah berbeza dengan kau berhutang nak beli kereta.

Apa yang perlu dirisaukan sekarang ni ialah bagaimana Tun mengeluarkan kenyataan mengenai angka-angka ekonomi pemerintahan sebelum ini sebagai “meragukan” atau bagaimana Tun Daim dengan lantang memperlekehkan kredit rating ke atas ekonomi negara daripada agensi-agensi kewangan dunia akan jatuh sekiranya agenda populis PH ini dilaksanakan, dan sifat bergantung pada komoditi semata-mata sebagai sumber pendapatan dijadikan teras kerajaan.

Kenapa? Bila kredit rating agensi kewangan dunia diberikan kepada kerajaan ini jatuh, maka ia akan membawa kepada larinya banyak pelabur dalam negara kita sedangkan salah satu manifesto terkini kerajaan sebelum PRU ialah MENINGKATKAN PELABURAN KE DALAM NEGARA KITA! Bila pelabur lari, maka bersedialah untuk bala ekonomi melanda negara kita.

P.S: Engkorang yang dah baca tu apa lagi, share-lah artikel ni.

Helmi Effendy

Tuesday, 8 May 2018

Kajian Invoke Hanya Gimik - Hishammuddin

KLUANG - Kajian yang dibuat pusat kaji selidik propembangkang, Invoke Malaysia mengenai keputusan Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) hanyalah gimik politik semata-mata.

Dan menurut Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Barisan Nasional (BN) akan membuktikan kajian yang dibuat itu tidak benar pada hari pilihanraya nanti.

Katanya, kajian yang dibuat dalam laman sosial boleh diolah untuk mendapatkan keputusan yang diingini.

“Menurut mereka, BN akan tewas di beberapa parlimen negeri ini termasuk Sembrong, Pasir Gudang dan Johor Bahru.

“Kita akan buktikan kajian dibuat mereka tidak benar kerana yang membuat keputusan akhirnya adalah rakyat di peringkat akar umbi, bukan kaji selidik pembangkang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Felda Ulu, di sini sebentar tadi.

Calon kerusi Parlimen Sembrong itu turut mendakwa Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli sanggup berkata apa sahaja tanpa sebarang kesedaran semata-mata demi kepentingan diri.

Thursday, 26 April 2018

KetidakPatuhan Undan-unadng Membawa Kemusnahan Alam di Pulau Pinang



Ketidakpatuhan kepada undang-undang dan pelbagai peraturan yang ada menjadi punca kemusnahan alam termasuklah di negeri Pulau Pinang.

Hal ini dinyatakan oleh tiga orang ahli akademik dalam diskusi khas sempena Hari Bumi 2018 di sini malam tadi yang bertajuk Pembangunan Bandar untuk Kelestarian Masa Hadapan.

Menurut Pakar Rujuk Alam Sekitar dan pensyarah Pusat Pengajian Teknologi Industri Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Dr. Mohd Omar Bin Ab Kadir, keengganan pihak berkuasa termasuk kerajaan negeri untuk mendengar nasihat dan pandangan dari pelbagai pihak memburukkan keadaan ini seperti yang terjadi di negeri Pulau Pinang.

“Walau pun pelbagai peraturan ada untuk mengekang isu kemusnahan alam sekitar, penerokaan tanah cerun, pertanian yang tidak terkawal di atas bukit yang digondolkan, perumahan mewah, menambak laut yang mengancam pendapatan nelayan mahu pun alam dan pelbagai lagi kegiatan yang memberi kesan besar kepada masyarakat apabila berlaku tanah runtuh yang meragut nyawa, banjir kilat yang berulangkali dan pelbagai kemusnahan yang memberikan kesan kepada kehidupan sosial dan pembangunan ekonomi masyarakat,” kata Mohd. Omar.

Tegas beliau, adalah amat penting untuk mengambil langkah pencegahan demi masa hadapan negara dengan setiap orang menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa kerana apa yang berlaku adalah melibatkan kita semua serta pada masa yang sama pihak berkuasa perlu mendengar rintihan dan suara masyarakat kerana merekalah yang sering terjejas teruk tatkala berlaku sesuatu bencana dan mala petaka alam.

Beliau yang lebih 30 tahun menjadi perunding dan melakukan audit alam sekitar terutamanya di Pulau Pinang, melahirkan kebimbangan dengan pengurusan alam sekitar yang tidak lestari di negeri Pulau Pinang seperti mana yang terjadi kebelakangan ini dengan mengambil iktibar kerosakan tanah tinggi Cameron Highland dan tragedi runtuhan Highland Towers Selangor pada 11 Disember 1993 yang mengorbankan 48 nyawa.

“Saya pernah membangkitkan isu kualiti alam sekitar tetapi tidak diambil serius yang akhirnya kita tahu berlaku banyak kejadian yang menjejaskan kehidupan apatah lagi bagi saya yang pernah kehilangan keluarga terdekat dalam tragedi Highland Towers,”kata Mohd. Omar.

Sementara itu, pakar penilai dan audit impak alam sekitar akibat pembangunan yang juga pensyarah Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh Profesor Dr. Nik Norulaini Binti Nik Ab Rahman berpendapat dari pengalaman beliau selama lebih 30 tahun membuat penilaian impak alam sekitar (EIA) penilaian kualiti alam sekitar dan pelbagai peraturan yang ada, namun kelemahan dan penguatkuasaan dan pemantauan sering menjadi masalah kepada semua.

“Laporan EIA diluluskan dengan memberikan syarat-syarat yang perlu dipatuhi pihak pemaju dengan langkah-langkah kawalan serta perlu mematuhi Pengurusan Amalan Terbaik atau Best Management Practices - BMPs bagi langkah-langkah kawalan hakisan dan sedimen yang perlu disenarai dan diperincikan.

“Soal yang penting ialah siapakah yang memantau dan memastikan pemaju projek mematuhi kesemua syarat, jika tidak patuhi adakah langkah yang sewajarnya diambil oleh pihak berkuasa ke atas pemaju serta yang utama, berapa banyakkah projek yang tidak membuat EIA sebelum pembangunan dan mengapa terjadi sedemikian,” tegas Nik Norulaini .

Sementara itu Pengarah Pusat Kajian Kekestarian Global Dr. Suzyrman Sibli berpendapat, adalah penting semua pihak memainkan peranan dalam mengekang pembangunan yang tidak lestari yang sering membeti kesan kepada alam sekitar, ekonom8 dan sosial masyarakat apatah lagi melihat sendiri pelbagai mala petaka yang berlaku di negeri Pulau Pinang kebelakangan ini ternasuk banjir yang semakin kerap walau hanya setelah hujan begerapa jam, tanah runtuh yan* mengorbankan nyawa dan pengurusan sisa pepejal yang menjejaskan kualiti kesihatan masyarakat.

“Kita di USM beriltizam untuk menjayakan tema Hari Bumi 2018 berkisar sekitar menamatkan pencemaran plastik bermula dengan mengurangkan penggunaannya dan menghapuskan penggunaan straw di kafetaria untuk mengulangi kejayaan Kempen Keranda Putih (The White Coffin Campaign) pada tahun 2008 yang menghapuskan penggunaan polistrina di dalam kampus sekaligus memberi kesan kepada dasar yang berkaitan penggunaan polistrina dan plastik seluruh negara,”kata Suzyrman.

Lebih 300 orang pelajar dan wakil pertubuhan sukarela menghadiri program anjuran Majlis Perwakilan Pelajar USM, Sekretariat Kampus Sejahtera, Kelab Geografi dan Gabungan Anak-anak Pulau Pinang sempena Hari Bumi 2018 itu.

Sunday, 8 April 2018

#ManifestoBN PRU-14 ‘Satu Untuk Semua, Semua Untuk Satu’- Datuk Mas Ermieyati




Manifesto Barisan Nasional pada kali ini merupakan manifesto yang inklusif merangkumi semua lapisan masyarakat bagi memastikan semua rakyat Malaysia mengecapi kehidupan yang lebih baik kerana setiap insan memainkan peranan penting dalam pembangunan negara walaupun seorang bayi. Kita tidak sekadar meletakkan manifesto populis yang hanya merangkumi sebahagian kelompok sahaja tetapi kita memastikan bahawa setiap lapisan dari kanak-kanak, anak muda, belia, malah warga emas bergerak sebagai satu organisma . Tiada siapa yang akan ditinggalkan kerana “satu untuk semua, dan semua untuk satu”.

Semangat kali ini memastikan kesatuan dan kemajuan rakyat Malaysia bergerak seiring dan sejalan. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada kepimpinan tertinggi Barisan Nasional yang telah menyusun satu manifesto yang “versatile” dan flexible kepada semua lapisan. Manifesto ini bukan hanya sekadar idealistik, namun realistik demi masa depan negara.

Malah, dengan penekanan kepada teras Ibu dan Wanita sebagai teras utama dalam manifesto Barisan Nasional pada hari ini memberi simbolik bahawa wanita diiktiraf sebagai tulang belakang negara, kerajaan dan semestinya Barisan Nasional. Tema wanita cukup menawan hati melalui slogan ‘Kaulah Ratu Hati Negaraku’, sememangnya wanita adalah Ratu dan Ibu kepada negara. Alhamdulillah, manifesto BN menfokuskan inisiatif yang diperlukan oleh ibu tunggal dalam memastikan kehidupan dan keluarga mereka terjamin melalui insentif serta latihan keusahawanan yang bakal diberikan sekiranya BN kekal memerintah lagi.

Manifesto ini juga bukan sahaja memanfaat ibu tunggal, malah bagi wanita yang ingin kembali ke sektor pekerjaan setelah berehat dan menumpukan kepada keluarga juga diberikan keistimewaan yang sangat banyak melalui insentif cukai 24 bulan. Terima kasih kepada Presiden BN kerana mengangkat usul yang dibentangkan pada Perhimpunan Agung UMNO yang lepas. Sesungguhnya, wanita rasa amat dihargai dibawah lembayung ini.

Sebagai anak jati Masjid Tanah, terima kasih diucapkan atas Aku Janji yang melibatkan pembinaan lebuh raya yang menghubungkan Kuala Linggi ke Masjid Tanah melalui Klebang sehingga ke Teluk Mas. Saya yakin, penduduk kawasan Masjid Tanah amat teruja menantikan pembinaan jalan baru ini dan bakal memudahkan perjalanan yang lebih lancar di kawasan Masjid Tanah.

Industri kreatif juga bakal diiktiraf sebagai salah satu sumber baharu pendapatan negara melalui peningkatan penyaluran dana dan platform kepada penggiat industri. Saya yakin bahawa isu ini bakal disambut baik oleh para penggiat industri tanah air.

Di samping itu juga, akhirnya usul Majlis Kehakiman Syariah Kebangsaan bakal ditubuhkan sebagai satu jawatan kuasa induk untuk membincangkan dan membuat penyelarasan berkaitan hal ehwal perundangan dan kehakiman Syariah di Malaysia setelah dibangkitkan di PAU yang lepas. Terima Kasih Presiden BN atas keprihatinan yang disalurkan melalui pelancaran Manifesto BN pada kali ini.

Sekali lagi ditegaskan bahawa manifesto kali ini bukanlah untuk bersaing kepada mana-mana pihak. Namun, ianya adalah cerminan perancangan pembangunan Malaysia yang idealistik dan realistik. Perbandingan antara manifesto ini dan pihak sebelah sana adalah kami berusaha memberikan realiti masa depan untuk semua golongan masyarakat. Tiada siapa yang ditinggalkan kerana satu untuk semua, dan semua untuk satu. Semoga BN terus teguh dan kukuh.

Kenyataan Media Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia Merangkap Pengerusi Sahabat Puteri BN, Datuk Mas Ermieyati Samsudin tentang Pelancaran Manifesto Barisan Nasional (BN) oleh Presiden BN, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak semalam.

#BersamaBN #HebatkanNegaraku #DahulukanRakyat

Pemotongan 20% perbelanjaan kesihatan tak benar - Eric See-To

Manakala pemotongan 20 peratus itu adalah benar, HARAPAN tidak memberitahu alasan mengapa pemotongan itu dilakukan.
Sebelum saya jelaskan, adalah penting untuk mengetahui bahawa bajet keseluruhan bagi Kementerian Kesihatan meningkat secara konsisten setiap tahun.
Bagi 2018, penjagaan kesihatan diberikan bajet RM26.58 bilion iaitu 9.5 peratus atau peningkatan RM1.7 bilion berbanding apa yang diperuntukkan pada bajet 2017.
Kebanyakan peningkatan ini adalah bagi membina lebih banyak klinik, hospital dan membeli peralatan perubatan baharu, berbanding berbelanja besar kepada perbekalan ubat yang tidak berkesan.
Penggunaan ubat generik
Sebagai perbandingan, pada tahun terakhir Tun Dr Mahathir Mohamad adalah Perdana Menteri pada 2003, bajet penjagaan kesihatan hanyalah RM7.6 bilion.
Kementerian Kesihatan turut membuat kenyataan pada awal 2015 bahawa mereka sedang merancang untuk bertukar kepada ubat generik dalam mengurangkan kos.
Ubat generik ialah ubat yang dikeluarkan oleh syarikat-syarikat lain setelah tempoh paten yang diberikan kepada syarikat-syarikat yang mengeluarkan ubat original telah luput.
Kandungan ubat generik adalah sama dengan ubat original. Bagaimanapun ia tidak boleh diberi nama yang sama, kerana setiap nama adalah unik dan telah dipatenkan.
Tiada perbezaan terhadap ubat generik, kerana ia mempunyai dos yang sama, untuk penggunaan yang sama, kesan yang sama, pentadbiran ubat yang sama, risiko, keselamatan dan keberkesanan ubat asli. Tiada perbezaan.
Penggunaan ubat generik di seluruh dunia telah meningkat sejak beberapa tahun ini. Pemangkin paling utama dalam melonjakkan pertumbuhannya adalah syarikat farmaseutikal yang berbelanja besar terhadap ubat generik.
Perbelanjaan khidmat penjagaan kesihatan yang berterusan meningkat turut mendesak kerajaan untuk mencari alternatif bagi mengawal perbelanjaan ini. Ia juga pemangkin kepada permintaan yang lebih tinggi terhadap ubat generik berbanding ubat asli.
Malah, bertukar kepada ubat generik mewujudkan peluang kepada pengeluar tempatan untuk membangunkan perniagaan mereka berbanding mengimport ubat dari luar negara.
Tempat bagi graduan
Pada masa ini, 30 peratus ubat generik diperolehi dari pengeluar tempatan manakala hampir kesemua ubat berjenama dihasilkan di luar negara.
Satu lagi faktor yang memandu kepada pertumbuhan ini adalah tempoh luput kepada hak milik paten disingkatkan, bermakna ubat generik dapat dihasilkan lebih awal selepas ubat asli diperkenalkan.
Selain menggantikan ubat asli yang lebih mahal dengan ubat generik yang menghasilkan kesan yang sama, Kementerian Kesihatan turut berusaha untuk mengurangkan pemberian ubat terlalu banyak kepada pesakit yang akhirnya didapati dibuang kerana pesakit tidak mengambil ubat berkenaan. Untuk itu, ubat diberikan pada kadar dos lebih tepat.
Lantaran penjimatan hasil dari perbekalan ubat yang tidak efisien, kerajaan kini boleh menggunakan dana terbabit untuk membeli peralatan yang lebih baik dan membina lebih banyak klinik serta hospital bagi menawarkan khidmat kesihatan kepada rakyat selain menyediakan tempat untuk graduan perubatan menjalankan khidmat perlatihan.
Tidak seperti klinik swasta di mana HARAPAN mahu mempromosikan Kad Peduli Sihat mereka, kerajaan persekutuan turut mengambil kira keperluan untuk menyediakan tempat bagi graduan perubatan serta menyediakan khidmat kesihatan percuma bagi rakyat Malaysia, di mana fokus adalah terhadap klinik milik kerajaan dan hospital berbanding kepada klinik swasta berorientasikan keuntungan yang dipilih HARAPAN.
Selama bertahun, pembangkang mahukan jabatan kerajaan meningkatkan kecekapan dan mengurangkan ketirisan dalam perbelanjaan.
Bagaimanapun apabila Kementerian Kesihatan melakukannya, daripada memberi pujian kepada kementerian itu, ia diputarbelit oleh pembangkang untuk menghasut.
Ia sama seperti bagaimana HARAPAN memperdaya rakyat kononnya bajet mereka bagi universiti awam telah dipotong walhal ia sudah disebut secara terperinci dan dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pengajian Tinggi 2015 -2025 (Higher Education Blueprint).
Ini bagi menggesa universiti awam untuk menjadi lebih berkesan dan menjalankan usahama dengan sektor swasta dalam memastikan penyelidikan mereka lebih praktikal dan lebih berdaya maju untuk dikomersilkan dan memastikan kursus berkaitan yang ditawarkan adalah dalam bidang di mana graduan akan mudah memperoleh pekerjaan dengan sektor swasta yang menjalin kerjasama dengan mereka.

Langkah ini sudahpun menunjukkan hasil yang baik. Kedudukan universiti awam kini melonjak di kalangan universiti dunia pada beberapa tahun ini, dan keadaan ini berbeza ketika di bawah pentadbiran Mahathir di mana kedudukan penarafan universiti ini berterusan menjunam setiap tahun.

Eric See-To  timbalan pengarah komunikasi strategik BN.

#ManifestoBN Barisan Nasional janji naikkan kadar BR1M jika menang PRU14

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjanji menaikkan kadar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan menambah satu lagi kategori penerima skim bantuan tunai itu, jika Barisan Nasional (BN) memenangi pilihan raya umum ke-14.

Pengerusi BN itu berkata, janji itu mampu dipenuhi kerana ekonomi negara yang semakin kukuh serta peningkatan hasil kutipan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

“GST ini yang dikutuk pembangkang. Kerajaan BN kongsi nikmat ini pada rakyat dan saya suka buat 4 pengumuman malam ini,” katanya ketika mengumumkan manifesto BN malam ini.

Najib berkata, kadar BR1M untuk isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah akan dinaikkan daripada RM1,200 kepada RM2,000.

“Mereka akan terima pada Jun dan Ogos yang masing-masing akan digandakan RM400 kepada RM800.”

Katanya, isi rumah berpendapatan RM4,000 ke bawah pula akan menerima BR1M berjumlah RM1,500 berbanding RM900 ketika ini.

“Akan terima pada Jun dan Ogos dan digandakan daripada RM300 kepada RM600.”

Beliau berkata, bagi orang bujang berpendapatan RM2,000 ke bawah, kadar BR1M mereka akan ditambah RM150 kepada RM600, berbanding RM450 sekarang.

Najib berkata, kerajaan juga bercadang menambah satu lagi ketegori baharu untuk isi rumah berpendapatan RM4,000 hingga RM5,000 yang akan mendapat RM700.

Katanya, bayaran akan dibuat sebanyak 2 kali, iaitu Jun dan Ogos.

“Manakala RM1,500 diberi kepada anak penerima BR1M yang menyambung pelajaran ke pengajian tinggi.”

Tuesday, 3 April 2018

Kertas siasatan Guan Eng siap

GEORGETOWN - Kertas siasatan berhubung kes Ketua Menteri, Lim Guan Eng menyanyikan lagu anti cukai barangan dan perkhidmatan (GST) di hadapan kanak-kanak di Jelutong, 17 Mac lalu telah diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Pulau Pinang, petang tadi. 

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk A Thaiveegan berkata, kes yang disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 itu diserahkan petang tadi untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Pulau Pinang akan menyemak kertas siasatan itu bagi menentukan keputusan atau tindakan seterusnya yang perlu diambil sekiranya perlu.


“Kertas siasatan sudah siap dan polis telah menyerahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk membuat keputusan di samping mengeluarkan arahan seterusnya jika ada.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,00 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan diteruskan selepas sabitan,” katanya.

Kelmarin, polis merakamkan percakapan Guan Eng berhubung isu nyanyian lagu anti GST yang dinyanyikan di hadapan kanak-kanak ketika merasmikan sebuah pusat tuisyen percuma di Jelutong, dua minggu lalu.

Guan Eng yang ditemani peguamnya, RSN Rayer diambil keterangan oleh dua pegawai polis dari Bahagian Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut di Pejabat Ketua Menteri, Komtar kira-kira jam 2.50 petang semalam.

Monday, 26 March 2018

Malaysia perlu politik matang - Salleh Keruak

Menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14), rakyat diminta tidak lagi mengamalkan politik adu domba dan fitnah sebaliknya beralih kepada politik matang.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata Malaysia adalah sebuah negara demokrasi yang memberi ruang kepada rakyatnya untuk menyertai politik.

“Mencapai tahap politik matang adalah tanggungjawab bersama. Hargailah kestabilan politik yang kita nikmati selama ini kerana kestabilan dan keamanan ini terlalu mahal harganya,” katanya menerusi catatan dalam laman blognya hari ini.



Menurut Salleh, masyarakat tidak lagi memerlukan politik adu domba, fitnah, pembunuhan karakter, dan juga penyebaran berita palsu kerana amalan buruk ini boleh merosakkan akal budi sebagai rakyat Malaysia yang berakhlak dan beradab.

“Kita boleh berbeza pendapat politik dan berada dalam parti berlainan, tetapi janganlah sampai ke tahap kita menyebar berita palsu tentang negara.

“Misalnya, menyebarkan berita tidak tepat tentang ekonomi negara, rasuah dan juga kadar jenayah tanpa menggunakan data betul,” katanya.

Salleh berkata kerajaan sudah mengeluarkan data rasmi, maka jangan mengambil contoh terpencil untuk menafikan kejayaan negara hanya kerana perbezaan pandangan politik.

“Inilah yang dimaksudkan kita meraikan perbezaan politik dan pendapat, tetapi janganlah sampai ke tahap mengabaikan kepentingan negara,” katanya.

Beliau berkata kerajaan komited menyekat amalan politik kotor dan fitnah yang boleh memudaratkan negara.