Showing posts with label proton. Show all posts
Showing posts with label proton. Show all posts

Monday, 5 February 2018

Kerajaan Jamin Majukan Proton

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan kerajaan di bawah pimpinannya akan memulih dan memajukan Proton sehingga menempa nama di persada dunia.

Beliau berkata kerajaan komited untuk memastikan Proton dan Bandar Tanjung Malim tidak lenyap, sebaliknya menempa zaman yang lebih cemerlang.

Katanya berdasarkan kajian dijalankan oleh pihak kerajaan, masalah yang menimpa syarikat berkenaan adalah disebabkan model ekonomi berpaksikan semangat nasionalisme, bukannya global.

“Oleh kerana ada campur tangan politik dalam pentadbiran Proton, kita rasakan kita tidak akan biarkan Proton lenyap tetapi Proton perlukan sokongan dan dokongan kerajaan untuk dipulihkan.

“Kerajaan pimpinan saya akan pulihkan semula dan sebab itu, kalau ada orang kata kita tidak tolong, ia merupakan pendustaan. Kita bagi suntikan modal dan insentif,” katanya ketika berucap melancarkan Kluster Automotif Nasional @ Proton City di sini, hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Duta China ke Malaysia Bai Tan dan Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Berhad Datuk Seri Syed Faisal Albar.

Pelan pembangunan kluster berkenaan melibatkan pembangunan Bandar Belia 1Malaysia; Edu City; hab automotif berteknologi tinggi yang merangkumi teknologi kereta elektrik, teknologi hijau, teknologi Industri 4.0 dan kecerdasan buatan; pemasangan kereta berjenama global dan pengeluaran kereta untuk pasaran eksport.

Najib juga berkata rakan strategik yang dipilih Proton, Geely merupakan syarikat yang paling sesuai untuk memajukan Proton berdasarkan rekod pencapaiannya yang cemerlang.

“Saya yakin keputusan (memilih) Geely itu tepat kerana Geely mengeluarkan kenderaan sebanyak 1.5 juta setahun, memiliki Volvo, mempunyai teknologi tinggi dan sanggup memindahkan teknologi kepada jurutera dan pekerja Proton.

“Teknologi kereta elektrik, mungkin ada kereta terbang selepas ini. Kalau berada di takuk lama, tidak mungkin kita boleh bertahan dalam persaingan yang hebat,” katanya.

Perdana Menteri berkata bandar Tanjung Malim bakal menerima limpahan daripada Kluster Automotif Nasional itu dengan mengalami perubahan drastik dalam tempoh lima hingga enam tahun akan datang.

“Saya melihat bandar Tanjung Malim sebuah bandar yang berpotensi. Selama ini, Tanjung Malim agak malap tetapi sekarang berada di persimpangan masa depan yang cukup cerah.

“Sebagai sebuah kerajaan, saya dan menteri besar akan bekerjasama seerat mungkin untuk menjadikan ini bukan impian kosong tetapi realiti,” katanya.

Bagaimanapun, katanya kerajaan Barisan Nasional memerlukan sokongan dan mandat rakyat untuk terus memajukan kawasan berkenaan.

— BERNAMA

Saturday, 3 June 2017

Proton dijangka rugi RM1 bilion jika tidak distruktur semula - DS Najib Razak


Proton Holdings Bhd (Proton) dijangka akan mengalami kerugian sebanyak RM1 bilion pada tahun ini sekiranya syarikat automotif nasional itu tidak distruktur semula, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketika menegaskan perkara itu, perdana menteri berkata pada tahun lepas misalnya, kerugian syarikat itu mencecah RM500 juta berikutan prestasi jualan yang tidak memberangsangkan iaitu sekitar 72,000 unit setahun dan 6,000 unit sebulan.

“Pada tahun lepas kerajaan bantu dengan memberi pinjaman mudah RM1.5 bilion. Tahun ini minta lagi (daripada kerajaan untuk) R&D (penyelidikan dan pembangunan) pula RM1.1 bilion.
“Ini duit rakyat yang kita gunakan untuk selamatkan Proton kerana 60,000 orang bergantung rezeki dengan Proton…jadi berapa lama lagi kita perlu beri (sumbangan duit rakyat),” kata Najib.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa dan pelancaran Projek Lampu Jalan Kampung Fasa Lapan (LJK8) di Masjid Paroi Jaya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Najib menegaskan, penstrukturan semula Proton bukan keputusan yang berlandaskan emosi sebaliknya dilakukan atas dasar “hidup dan mati” syarikat itu.

“Kita tak mahu perniagaan yang mati, perniagaan yang lumpuh, tetapi perniagaan yang untung. Kita tak boleh bangga dengan kereta nasional tetapi (hakikatnya ia) rugi berbilion-bilion. Kita lebih bangga dengan kereta nasional yang memberi untung serta faedah kepada kita.

“Apa yang penting adalah mesti menguruskan perniagaan sehingga membawa kepada keuntungan,” kata Najib.

Jelas perdana menteri, keputusan itu juga bukanlah berkisar kepada soal untuk mempertahankan 100% pegangan, sebaliknya adalah lebih baik untuk memiliki 51% kepentingan dengan turut meraih keuntungan.

Beliau menegaskan, dalam soal ini terdapat 2 pilihan iaitu memiliki pegangan 100% tetapi rugi beratus-ratus juta atau pegangannya berkurangan namun mencatat keuntungan mencecah ratusan juta.
“Sebab itulah kita buat pilihan kedua iaitu lebih baik pegangan dikurangkan tetapi perniagaan kita (meraih) untung,” katanya.

Sehubungan itu, Najib menggesa rakyat untuk memahami rasional di sebalik isu berkenaan.
“Kita akan lakukan yang terbaik untuk rakyat Malaysia dan bukannya nak tipu rakyat. Begitu juga dengan (pelaksanaan) GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) kerana kita mahu kewangan negara kita kukuh.

“GST ini akan disalurkan kepada bidang termasuk kesihatan dan sekolah. Terbaru, (pemberian) bantuan khas kewangan RM500 sempena Aidilfitri kepada penjawat awam dan RM250 untuk pesara yang berjumlah RM1 bilion,” katanya.

Sunday, 5 February 2017

Apa Yang Anda Harus Tahu berkenaan Isu Proton?


Proton Holdings Berhad adalah sebuah syarikat milik DRB-Hicom. DRB-Hicom pula adalah syarikat yang dikuasai oleh TS Syed Mokhtar Al-Bukhari seorang billionaire dan individu antara 10 terkaya di Malaysia. 

DRB-HICOM telah mengambilalih pegangan dalam Proton daripada Khazanah setelah mereka berjaya menewaskan bidaan Kumpulan Naza. Pengambilalihan oleh kumpulan DRB-HICOM milik Syed Mokhtar itu pada 2011/12 disokong oleh Dr Mahathir, pencetus dan pengasas Proton. 

DRB-HICOM telah melantik Mahathir sebagai Pengerusi Proton. Mahathir bagaimanapun meletak jawatan sebagai Pengerusi Proton semasa masalah kewangan pada kemuncaknya.

Proton telah memohon pertolongan kewangan (grant) daripada Kerajaan Malaysia dan telah diluluskan pinjaman sejumlah RM 1.5 billion untuk membayar hutang Proton kepada vendor-vendornya. Pinjaman Kerajaan Malaysia kepada Proton adalah bertujuan untuk memastikan vendor-vendor Proton tidak gulung tikar atau muflis akibat dari kegagalan Proton untuk melunaskan hutangnya kepada vendor-vendor terlibat.

Salah satu syarat yang dikenakan oleh Kerajaan Malaysia kepada Proton adalah untuk mencari rakan teknikal yang sesuai bagi memulihkan perniagaan Proton. 

Satu lagi, jika Proton gagal untuk membayar balik pinjaman berkenaan, Kerajaan Persekutuan boleh menukarkan "preference shares" yang dipegang oleh Kerajaan Malaysia sebagai jaminan pinjaman RM 1.5 billion berkenaan untuk mengambil alih Proton daripada DRB-HICOM. 

Perkara yang perlu diambil maklum: 
Pertama, Proton adalah sebuah syarikat swasta milik DRB-HICOM. Kedua, Kerajaan Malaysia sudah sekali "bail-out" Proton dengan memberi pinjaman/suntikan modal tunai berjumlah RM 1.5 billion. 

Tidak sepatutnya timbul sebarangan persoalan atau dakwaan bahawa Kerajaan Malaysia "menjual" pegangan dalam Proton kepada syarikat asing, khasnya dari China. Ini adalah kerana jemputan atau tawaran kepada pihak yang berminat untuk menjadi 'rakan teknikal' Proton dibuat oleh DRB-HICOM.