Showing posts with label rafizi ramli. Show all posts
Showing posts with label rafizi ramli. Show all posts

Tuesday, 13 March 2018

Lebih 3,000 pendeposit Tabung Haji hilang kelayakan haji akibat artikel Rafizi

KUALA LUMPUR: Seramai 3,105 pendeposit Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) hilang kelayakan menunaikan haji, termasuk kehilangan tahun giliran untuk menunaikan haji, berikutan artikel tohmahan terhadap perbadanan itu oleh Ahli Parlimen Pandan Mohd Rafizi Ramli 2 tahun lepas, Mahkamah Majistret diberitahu hari ini.

Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Tabung Haji Datuk Rozaida Omar berkata ia berikutan pendeposit menutup akaun selepas hilang keyakinan terhadap Tabung Haji ekoran artikel tohmahan terhadap perbadanan itu yang disiarkan dalam akaun Facebook milik Mohd Rafizi pada 9 Februari 2016.

“Pada tempoh Januari dan Februari tahun 2016, seramai 3,954 pendeposit menutup akaun dan daripada jumlah tersebut seramai 3,105 pendeposit hilang kelayakan menunaikan haji.

“Mereka perlu mendaftar semula sekiranya mereka ingin menunaikan haji dan perlu menunggu tempoh yang lebih lama,” katanya ketika pemeriksaan utama Timbalan Pendakwa Raya Mohd Abazafree Mohd Abas pada perbicaraan kes Rafizi yang didakwa menyiarkan artikel mengandungi tohmahan terhadap Tabung Haji.

Rozaida yang merupakan saksi pendakwaan ke-3 berkata sebelum ini terdapat pengeluaran wang atau penutupan akaun namun alasan yang diberi adalah lebih bersifat peribadi seperti kematian pendeposit, pembelian rumah dan pelaburan persendirian di institusi kewangan lain.

Bagaimanapun katanya, bagi tempoh yang dikaji, alasan pendeposit adalah kerana mereka tidak yakin dan hilang kepercayaan kepada Tabung Haji dan ingin melabur di tempat yang lebih selamat, yang secara tidak langsung menunjukkan artikel tersebut menjejaskan reputasi dan integriti pengurusan Tabung Haji.

Beliau berkata, berdasarkan aktiviti pengeluaran harian yang direkodkan Tabung Haji pada 10 Februari 2016, sehari selepas artikel itu disiarkan, terdapat peningkatan pengeluaran sebanyak RM41 juta, diikuti RM49.8 juta pada 11 Februari dan RM27.9 juta pada 12 Februari, berbanding hanya RM8 juta pada 9 Februari.

Terdahulu Rozaida menjelaskan bonus yang dibayar Tabung Haji kepada pendepositnya yang melebihi keuntungan dijana pada tahun 2012 dan 2014 bukan bermotifkan pilihan raya.

Beliau berkata pernyataan yang dikeluarkan itu adalah tidak benar kerana Tabung Haji merupakan satu institusi kewangan yang ditubuhkan secara berkanun dan mempunyai urus tadbir yang mampan.

“Sebarang kecenderungan yang menyatakan Tabung Haji boleh digunakan sebagai bahan politik menjejaskan reputasi pengurusan Tabung Haji itu sendiri.

“Pengurusan Tabung Haji terdiri daripada pegawai-pegawai yang bertauliah, profesional dan berintegriti, yang telah diberikan amanah untuk menguruskan dana bakal jemaah haji,” katanya.

Selain itu Rozaida menjelaskan bahawa hibah yang diberikan Tabung Haji kepada pendeposit pada awal tahun 2015 juga tidak mempunyai kaitan dengan krisis 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan ia dibuat berdasarkan peruntukan akta.

Rafizi mengaku tidak bersalah menyiarkan artikel bertajuk “Analisa Kewangan Tabung Haji 2009-2015” dalam akaun Facebook Rafizi Ramli bertarikh 9 Feb 2016, yang mengandungi tohmahan terhadap Lembaga Tabung Haji yang boleh merosakkan nama baik perbadanan itu.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Tingkat 18, Bangunan Tabung Haji, 201, Jalan Tun Razak pada 9 pagi, 18 Februari 2016 mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 2 tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Majistret Umzarul An-Nur Umar bersambung 4 April.

Friday, 9 February 2018

Rafizi bukan mangsa, tidak perlu disanjung

KUALA LUMPUR 8 Feb. - Tindakan Mohd. Rafizi Ramli melanggar Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (BAFIA) tidak sepatutnya dibela sama sekali walaupun atas alasan mendedahkan kesalahan orang lain kerana perbuatan Naib Pre­siden PKR itu merupakan suatu jenayah yang serius.


MUHAMMAD SHAFEE ABDULLAH
Menjelaskan perkara itu, peguam kanan, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah berkata, dalam hal membabitkan kerahsiaan maklumat perbankan, semua pihak termasuk pemimpin pembangkang yang sengaja cuba memainkan sentimen Mohd. Rafizi menjadi mangsa perlu sedar bahawa tiada istilah ‘matlamat menghalalkan cara’ buat mereka.


Katanya, ini kerana BAFIA bukan sahaja tidak membela mana-mana pihak atau individu yang mendedahkan maklumat terkawal untuk apa tujuan sekali pun, bahkan kerahsiaan segala maklumat perbankan adalah bersifat mutlak yang perlu disanjungi dan dihormati.

“Dalam BAFIA, tiada pengecualian diberikan kepada mana-mana pihak sama ada individu, bank mahu pun Bank Negara Malaysia (BNM) kerana ia me­rupakan prinsip mewujudkan konsep perbankan yang dipercayai.

“Kalau tidak dilindungi di bawah BAFIA, sesiapa pun tidak akan mempercayai sistem perbankan negara ini sekali gus menjejaskan ekonomi Malaysia,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara 30 bulan terhadap Mohd. Rafizi selepas mendapati beliau bersalah mendedahkan maklumat perbankan di bawah BAFIA, enam tahun lalu.

Dalam masa sama, Muhammad Shafee berpandangan, Mohd. Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan itu sengaja i­ngin memperdayakan orang ramai bagi meraih populariti demi kelangsungan karier politiknya.

Kata beliau, sebagai pemimpin yang mempunyai latar belakang seorang akauntan, sepatutnya Mohd. Rafizi lebih arif dan menyedari perbuatannya mendedahkan maklumat perbankan itu adalah jenayah yang serius.

Di samping itu, Muhammad Shafee menegaskan, semua pihak harus menerima keputusan Mahkamah Sesyen me­lalui Hakim Zamri Bakar semalam tidak mempunyai sebarang agenda tersembunyi atau arahan daripada mana-mana pihak termasuk kerajaan.

Jelasnya, mana-mana pihak juga tidak sepatutnya mempertikaikan kenapa baharu sekarang Mahkamah Sesyen membuat keputusan itu kerana ia adalah angkara Mohd. Rafizi sendiri yang sering menangguhkan proses perbicaraan kes sehingga bertahun-tahun.

“Kalau orang lain yang berle­ngah-lengah seperti Mohd. Rafizi ini, sudah tentu kena marah de­ngan mahkamah sebab buang masa banyak pihak. Tapi, akhirnya perbuatan beliau itu memakan diri sendiri kerana beliau tidak layak bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Peguam-peguam Muda Kebangsaan, Majlis Peguam, Syed Muhammad Adeeb Barakbah Syed Muhammad Azman Barakbah berkata, keputusan terhadap Mohd. Rafizi dibuat mengikut peruntukan undang-undang serta bukti yang dikemukakan.

Kata beliau, mana-mana pihak tidak seharusnya membuat spekulasi terhadap keputusan terbabit kerana ia boleh dikira memfitnah institusi yang membicarakan segala kes jenayah dan sivil.

“Pertikaian hanya boleh dilakukan menerusi Mahkamah Rayuan sekiranya bukti itu menunjukkan keraguan, tetapi bukan menguar-uarkan kepada masyarakat umum seperti yang dilakukan beberapa pihak hari ini,” katanya. Utusan 

Thursday, 8 February 2018

Rafizi Ramli bakal dibicara atas kes fitnah Tabung Haji

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dibicarakan atas tuduhan memfitnah Tabung Haji (TH) di laman Facebooknya 2 tahun lalu.

Keputusan itu dibuat beberapa jam selepas naib presiden PKR itu disabit bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 30 bulan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam di bawah Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (Bafia).

Majistret Umzarul An Nur Umar hari ini menolak bantahan awal Rafizi bagi membatalkan kes fitnah jenayahnya atas dasar majistret tidak memeriksa aduan Ketua Pegawai Operasi TH, Datuk Rozaida Omar terhadap wakil rakyat itu.

Semalam, Gobind Singh Deo yang mewakili Rafizi mengemukakan bantahan awal sebelum perbicaraan bermula, dengan menyatakan majistret harus menjalankan pemeriksaan aduan itu di bawah Seksyen 133 Kanun Prosedur Jenayah.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Abazafree Abbas berhujah peruntukan itu tidak terpakai dalam kes Rafizi kerana Seksyen 133 hanya boleh diguna pakai dalam kes saman persendirian.

Rafizi didakwa atas tuduhan pindaan fitnah jenayah di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan tahun lepas.

Tuduhan itu dipinda selepas beliau mengadu ianya tidak jelas.

Dalam pertuduhan pindaan itu, Rafizi dituduh mendakwa rizab TH mengalami defisit untuk 2 tahun berturut-turut menyebabkan TH tidak mampu membayar semula pendeposit jika mereka semua mahu mengeluarkan simpanan serentak.

Beliau kemudian mendakwa keuntungan RM3.53 bilion diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom tidak mengambil kira kerugian akibat kejatuhan saham dan bon sekuriti TH dalam pelaburannya.


Satu lagi maklumat dalam pertuduhan itu berkaitan dakwaan Rafizi mengatakan TH membayar bonus yang jumlahnya melebihi pendapatannya pada 2012 dan 2014.

Rafizi sebelum ini mendakwa bonus lebihan 2012 itu diberikan sempena pilihan raya umum yang semakin hampir, sementara pembayaran pada 2014 disebabkan pihak berkuasa perlu meyakinkan orang ramai yang isu 1MDB tidak menjejaskan pasaran kewangan tempatan.

Menurut pertuduhan itu, Rafizi didakwa melakukan kesalahan tersebut di bangunan Tabung Haji di Jalan Tun Razak pada 18 Februari 2016.

Jika didapati bersalah, beliau berdepan hukuman penjara maksimum 2 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Selain Bafia, Rafizi turut disabit bersalah dan dihukum penjara 18 bulan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) kerana mendedahkan laporan audit 1MDB pada satu sidang akhbar.

Rafizi tidak boleh bertanding pada PRU14, jika gagal mengetepikan sabitan OSA bersama hukuman penjara 18 bulan dan hukuman hari ini di bawah Bafia.

Perkara 48 (1)(e) Perlembagaan Persekutuan menyatakan ahli Parlimen akan hilang kelayakan selama 5 tahun, jika sabit kesalahan dan dijatuhkan hukuman penjara lebih setahun atau denda lebih RM2,000. FMT

Wednesday, 7 February 2018

Rafizi Ramli Kena Jel 30 Bulan

SHAH ALAM: Ahli Parlimen Pandan yang juga Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli dijatuhi hukuman penjara 30 bulan kerana mendedahkan empat akaun bank berkaitan National Feedlot Corporation (NFC) dan pengerusinya Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail.
Hakim Mahkamah Sesyen, Zamri Bakar turut menjatuhkan hukuman itu ke atas seorang lagi tertuduh yang juga bekas kerani bank, Johari Mohamad, 47, yang didakwa bersubahat dengan Mohd Rafizi, 41.
Mereka dituduh mendedahkan dokumen penyata baki akaun NFC National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan akaun bank Mohamad Salleh.
Kedua-dua tertuduh didapati bersalah kerana melanggar Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (BAFIA).
Zamri memutuskan demikian dalam penghakimannya selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah ke atas kedua-dua tertuduh.
"Mahkamah meneliti keseluruhan kes dan membuat penelitian maksimum terhadap hujahan pendakwaan serta pembelaan itu.
"Kedua-dua tertuduh disabitkan atas kesalahan itu," katanya.
Bagaimanapun, beliau membenarkan penangguhan hukuman ke atas mereka hingga keputusan rayuan dengan mengekalkan kos ikat jamin RM15,000 seorang.
Mohd Rafizi sebelum ini mengaku tidak bersalah mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank itu kepada perunding media Yusof Abdul Alim dan pemberita The Star, Erle Martin Carvalho.
Rafizi didakwa melakukan perbuatan itu di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya pada 7 Mac 2012.
Mohd Rafizi didakwa mengikut Seksyen 97(1) BAFIA yang boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Johari mengaku tidak bersalah bersubahat dengan Mohd Rafizi pada tarikh dan alamat sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 112(1)(c) BAFIA dan boleh dihukum mengikut Seksyen 103 akta sama.
Rafizi diwakili peguam Ahmad Nizam Hamid dan Mohd Falihin Kamil Mohd Sazali manakala peguam Latheefa Koya yang mewakili Johari.
Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lailawati Ali dan Steve Chin. BH

Wednesday, 10 January 2018

Saman Menanti Rafizi Ramli

KENYATAAN MEDIA
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
DATUK SERI ABDUL RAHMAN DAHLAN
1. Saya merujuk kepada sidang media Rafizi Ramli yang disiarkan secara langsung melalui Akaun Facebook milik beliau semalam, 08.01.2018.
2. Saya juga merujuk kepada sidang media saya bertarikh 11.12.2017 berhubung tindakan Rafizi Ramli yang menyiarkan kenyataan palsu dan tidak benar terhadap saya berkenaan pemberian kontrak Ekspo Negaraku 2017 yang kononnya diberikan kepada abang saya bernama Raslan Dahlan melalui syarikatnya PICO Intergrated Exhibit (M) Sdn Bhd.
3. Melalui sidang media saya tersebut, saya ada memaklumkan bahawa saya telah mengarahkan peguam saya untuk memberikan pandangan dari segi undang-undang berhubung penerbitan kenyataan Rafizi Ramli tersebut.
4. Setelah meneliti pandangan undang-undang yang telah diberikan oleh peguam saya, saya telah mengarahkan peguam saya untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap Rafizi Ramli.
5. Lanjutan daripada itu, peguam saya, Tetuan Raja Riza & Associates telah mengeluarkan surat tuntutan bertarikh 05.01.2018 kepada Rafizi Ramli melalui serahan secara pos berdaftar dan secara serahan ke diri pada hari yang sama.
6. Walaubagaimanapun, serahan secara kediri pada hari tersebut gagal berikutan Rafizi Ramli tiada dipejabatnya di Pusat Khidmat Parlimen Pandan.
7. Cubaan serahan secara kediri buat kali kedua telah dilakukan semalam 08.01.2018 di alamat yang sama. Namun, Rafizi Ramli masih tiada di pejabatnya. Oleh yang demikian, surat tuntutan tersebut telah diterima oleh Mohd Shariffudin dipercayai kakitangan di Pusat Khidmat Parlimen Pandan tersebut.
8. Surat tuntutan tersebut menuntut antara lainnya supaya Rafizi Ramli menarik balik kenyataan beliau tersebut dan menerbitkan permohonan maaf terhadap saya dalam tempoh 7 hari dari tarikh surat tuntutan tersebut.
9. Saya telah dinasihatkan oleh peguam saya bahawa tempoh surat tuntutan tersebut masih belum matang.
10. Sekiranya Rafizi Ramli gagal untuk mematuhi surat tuntutan tersebut dalam tempoh masa yang telah ditetapkan, saya akan mengarahkan peguamcara saya untuk memfailkan saman fitnah terhadap Rafizi Ramli.
DATUK SERI ABDUL RAHMAN DAHLAN
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
09 JANUARI 2017

Thursday, 14 September 2017

Hukuman Penjara 18 Bulan Rafizi Tetap Hukuman Rasmi Sehingga Hari Ini

Kalau tuan empunya badan lupa, elok diingatkan bahawa hukuman penjara 18 bulan yang dikenakan ke atas Naib Preside PKR, Rafizi Ramli sebelum ini oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 14 November 2016 adalah satu hukuman rasmi dan masih kekal sehingga hari ini kerana rayuannya mengenepikan sabitan dan hukuman di Mahkamah Tinggi gagal.

Sabitan ke atas Rafizi juga sabitan rasmi kerana beliau melanggar Akta Rahsia Rasmi 1972 kerana beliau sudah didapati melanggar peruntukan undang-undang di bawah akta berkenaan.

Dia didapati bersalah kerana memiliki dan mendedahkan laporan pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Mac lepas.

Hakim rasmi yang menjatuhkan hukuman itu kepada Rafizi ialah Hakim Zulqarnain Hassan dan memerintahkan hukuman dijalankan serentak tapi peguam Rafizi minta tangguh kerana tunggu proses rayuan selesai.

Pada 23 Ogos 2017 iaitu satu tarikh rasmi, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak rayuan Rafizi yang juga Ahli Parlimen PKR Pandan, berhubung hukuman penjara itu kerana mendedahkan satu halaman laporan berkenaan.

Hakim ketika itu Datuk Azman Abdullah bagaimanapun membenarkan rayuan Rafizi untuk mengetepikan sabitan dan hukuman untuk pertuduhan memiliki dokumen berkenaan.

Pada prosiding rayuan, peguam bela Rafizi, Gobind Singh Deo memohon mahkamah menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara kerana menunggu keputusan rayuan peringkat akhir di Mahkamah Rayuan.

Sekiranya gagal di Mahkamah Rayuan, Rafizi akan hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen kerana berdasarkan Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan seseorang ahli Parlimen boleh dilucutkan kelayakannya jika dijatuhi hukuman penjara lebih daripada setahun atau didenda lebih daripada RM2,000.

Jika gagal juga, secara rasminya Rafizi akan masuk ke dalam penjara.

Monday, 5 June 2017

Hentikan Kegilaan Rafizi Ramli


Tak habis-habis rafizi ramli si naib Presiden Pkr ini membuat onar,Apa lagi yang ingin dia mahu? menunnfing jari fitnah dan tohmah orang itu dan ini. Bila kononya berkeyakinan penuh terhadap orang yang difitnahnya, boleh pula membuat akuan bersumpah SD untuk mengiyakan apa yang difitnahnya .

Tetapi kalau tersalah tunding, buat senyap begitu sahaja. Namun dalam kes fitnahterbarunya kelmarin, tahu pula dia minta maaf kerana mengaitkan Florence Goh dengan pelobi Amerika Syarikat. Rafizi ini banyak kes menfitnah. perhatikan apa yang terpapar dalam kolum ini. berderaet sampai turun naik mahkamah.

salah atu yang paling klasik dan mengejutkan dari senarai fitnah atau adu dombanya adalah menjaja isu cincin sebelum pilihanrya umum ke 13 hanya untuk menimbulakn rasa benci rakyat.kemudian  setelah diheret masuk ke dalam mahkamah dan disoal, baru;ah si Rafizi ini bersuara bahawa kenyataan isu cincin isteri pemimpin kerajaan itu hanyalah lawak jenakanya.

seolah-olah sesiapa sahaja yang mebuat fitnah boleh lepas dengan alasan lawak jenaka.tanpa merujuk siapa, kita cukup risau kemungkinan kegilaan menabur fitnah termasuk dalam kumpulan sakit jiawa

Tuesday, 9 May 2017

Pegawai Syariah dan Peguam Syarie Bangkit Melawan Rafizi Ramli

Institusi Perundangan Syariah tidak boleh lagi dipandang hina oleh ahli-ahli politik yang seringkali menyerang dan memperlekehkan Sistem Perundangan Syariah di Malaysia dalam meraih undi dan sokongan terhadap mereka. Sejarah telah tercipta bila mana seorang ahli parlimen iaitu Rafizi Ramli mengeluarkan kenyataan biadap dalam meraih undi bukan Islam. Berikutan kenyataan biadap yang dikeluarkan kepada hakim syarie, para pendokong Institusi Kehakiman Syariah bangkit melawan dari terus diperlekeh.
Ini terbukti dengan tiga laporan polis telah di buat oleh Ketua Hakim dan Hakim Mahkamah Tinggi Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan serta Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan baru-baru ini yang mendesak Rafizi disiasat dibawah seksyen 499 Kanun Keseksaan kerana memfitnah hakim syarie.
Manakala Jabatan kehakiman Syariah Negeri Terengganu pula mendesak Rafizi memohon maaf dan memberi masa selama sebulan kepada beliau. Jika tidak, satu laporan polis di bawah seksyen yang sama akan dibuat.
Sebelum ini, Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM) bersama-sama dengan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) dan Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) telah membuat aduan kepada Bahagian penguatkuasa Agama Wilayah Persekutuan atas alasan Rafizi menghina Mahkamah Syariah dan Pihak Berkuasa Agama.
Isyarat ini amat jelas bahawa mereka tidak lagi mahu terus diperlekeh dan dihina oleh golongan yang tidak suka kepada pelaksanaan undang-undang syariah di Malaysia. Serangan terhadap mahkamah syariah bukanlah baru dan ianya telah digerakkan sekian lama oleh puak-puak liberal khususnya kumpulan G25.
Isu kelewatan penyelesaian kes, pengabaian nafkah dan penyeksaan terhadap wanita sering dimainkan walaupun hakikatnya, keseluruhan jabatan kehakiman syariah berusaha keras dalam menambahbaik dan memperbaiki sistem perundangan syariah yang ada di negara kita sekarang.
Usaha menambah bilangan dewan mahkamah dan bilangan hakim dilakukan secara berterusan sesuai dengan bilangan kes yang semakin meningkat saban hari. Sistem pelaksanaan turut diperkemas dengan mewujudkan pelbagai sistem antaranya sistem e-syariah, e-nafkah, e-faraid dan sebagainya.
Namun usaha ini dipandang sepi oleh golongan politikus yang secara terangan memperlekeh hanya kerana gaji hakim syarie lebih rendah berbanding hakim mahkamah sivil. Mereka mungkin terlupa bahawa hakim syarie ini berperanan menegakkan keadilan sesuai dengan hukum syarak dan peruntukkan undang-undang sedia ada. Dalam erti kata yang mudah, hakim-hakim syarie hanya melaksanakan tugas mengikut bidang kuasa dan had hukuman yang ditetapkan.
Bilamana had hukuman dicadang untuk dinaikkan, serangan terus ditujukan kepada hakim syarie seolah-olah hakim syarie yang beria mahu menaikkan had hukuman. Malah Rafizi sanggup menghina hakim syarie yang katanya bakal terdedah kepada rasuah hanya kerana bergaji rendah. Pemikiran inilah sebenarnya yang membantutkan segala usaha untuk memartabatkan perundangan Syariah.
Jika dilihat dari segi kenaikan gaji hakim syarie dalam tempoh 30 tahun sebelum ini, sudah beberapa kali gaji hakim syarie (penjawat awam) dinaikkan oleh kerajaan. Sedangkan had hukuman mahkamah syariah kali terakhir disemak adalah 30 tahun yang lepas. jadi di sini, dimanakah kaitan antara hukuman dinaikkan akan menjadikan hakim syarie terdedah kepada amalan rasuah? Andaian ini adalah hanya berniat jahat dan semata-mata mahu hakim syarie dipandang hina oleh masyarakat awam.
Yang peliknya, peningkatan had hukuman bagi undang-undang lain yang tiada kaitan dengan memperkasa undang-undang Islam, tidak timbul pula isu hakim mahkamah sivil akan terdedah kepada rasuah. Kenapa apabila melibatkan mahkamah syariah, isu ini timbul?
Rafizi ini hanya mahu bermain politik dengan sama-sama mengheret Institusi Perundangan Syariah dan agama Islam. Jika tidak sokong sekalipun pindaan terhadap hukuman tersebut, janganlah sesuka hati membuat andaian kurang cerdik sedangkan semua hakim syarie hanya menjalankan tugas berdasarkan peruntukkan undang-undang sedia ada.

Tuesday, 7 February 2017

Rafizi Berfantasi Karut Lagi, Rakyat Jangan Mudah Tertipu



Dogeng Rafizi datang lagi. Kali ini buat ramalan guna imaginasi luar biasanya bahawa minyak akan naik RM2.70 pada Jun ini.

"Siap sedia, minyak mungkin naik lagi,'' demikian amaran Rafizi Ramli kepada rakyat Malaysia dengan jangkaan beliau kononnya harga petrol RON95 boleh mencapai sehingga RM2.70 seliter pada Jun ini.

Menariknya, Rafizi menyatakan RON95 itu dikatakan boleh mencecah harga tersebut sekiranya harga siling tidak diperkenalkan dan subsidi tidak dikembalikan. Agaknya Rafizi terlupa bahawa suatu masa lalu beliaulah yang meminta supaya harga minyak ditentukan mengikut kadar pasaran semasa.

Tetapi beliau kini mahukan semula subsidi diperkenalkan. Lawak apakah ini? Inilah contoh politikus yang tidak mempedulikan kesan kepada rakyat dan negara. Yang menjadi mangsa adalah rakyat dan menyedihkan apabila ia dimanupulasikan secukup-cukupnya.

Macam cerita cincin, lepas buat semua tuduhan akhirnya bila minta dibuktikan Rafizi kata ianya hanya cerita lawak semata mata. Ramai juga yang sudah kena tipu dengan Rafizi

Rakyat diberikan harapan palsu, seolah-olah di bawah pakatan harapan, harga minyak akan turun. Hakikatnya harga minyak di pasaran masih belum stabil, hari naik, semalam turun.

Malahan andaian yang dibuat oleh Rafizi selama ini adalah berdasarkan persepsi semata-mata.

Banyak faktor yang memainkan peranan dalam menentukan kenaikan harga minyak di pasaran. Menurut Reuters, peningkatan minyak ketika ini adalah disebabkan kebimbangan sekatan baharu Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran yang  akan terus menjejaskan bekalan minyak mentah, tetapi pasaran menunjukkan tanda-tanda AS akan meningkatkan pengeluaran.

Rakyat tidak sepatutnya berasa bimbang sekiranya harga minyak mentah di pasaran meningkat kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebelum ini telah memberi jaminan bahawa kerajaan mempunyai kaedah tersendiri bagi membantu rakyat sekiranya harga minyak di pasaran dunia melambung tinggi.

Bantuan masih boleh disalurkan oleh kerajaan kerana subsidii-subsidi bersasar termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), insentif nelayan dan pekebun kecil, bantuan persekolahan, kesihatan dan banyak lagi belum dimansuhkan.

Dengan tahun ini dianggap sebagai tahun pilihan raya umum, maka bersiap sedialah kita untuk mendengar lebih banyak lagi cerita karut daripada pembangkang dengan banyak janji-janji manis akan ditaburkan kepada rakyat demi menarik sokongan pengundi.

Jangan mudah tertipu dengan cerita Rafizi ini. Tujuan dia hanya satu iaitu untuk menipu dan membuat rakyat rasa marah. Kalau percaya dan marah maka senyumlah Rafizi kerana racun persepsinya berjaya.

"Tora Datang Lagi" itulah iklan kanak kanak lihat di televisyen tentang satu kotak permainan yang menjanjikan ada mainan hebat dalam kotak itu. Kadang kadang yang mainan yang dapat tidak seindah iklan yang dilihat.

Itu kotak Tora, tetapi ini "Rafizi Datang Lagi". Dalam kotak Tora ada jugak mainan, janji Rafizi lebih teruk lagi. Dalam kotak "Rafizi Datang Lagi" itu apa pun tiada. Hanya fantasi persepsi semata mata. Oleh itu, jangan mudah tertipu.

Tulisan :
Beruang Biru
BB269, Selasa
7 Februari 2017

Tuesday, 20 December 2016

Cara Rafizi Sebagai Graduan Perakaunan Mengira Kos MRT Sangat Melucukan


Mengapa kiraan Rafizi mengenai kos MRT salah?
1. Pertama, Rafizi *tersilap fakta* apabila menyatakan kos bagi 21km MRT adalah RM21 bilion. RM21 bilion = 21km, oleh itu 1km = RM1 bilion.
2. Kedua, dengan menggunakan maklumat yang salah ini, Rafizi membuat andaian bahawa kos bagi 1km trek MRT ini adalah RM1 bilion. Oleh itu, kos bagi 51km trek MRT adalah RM51 bilion dan jumlah besar bagi keseluruhan 141km trek MRT adalah RM141 bilion.
3. Rafizi seterusnya menolak RM21 billion yang telah dibelanjakan untuk trek Sungai Buloh Kajang (SBK) bagi mendapatkan baki kos untuk jajaran 1 (fasa 2) + jajaran 2 + jajaran 3, iaitu RM141 billion - RM21b = RM120 billion.
4. Hakikatnya, MRT Corporation Sdn Bhd telah menafikan dakwaan Rafizi dan menyebut bahawa, "kos RM21 bilion yang disebut dalam ucapan oleh Perdana Menteri adalah kos bagi kedua-dua *Fasa Satu dan Fasa Dua* daripada 51km jajaran SBK.
5. Fasa 1 terdiri daripada bahagian ditinggikan _(elevated section)_ yang melibatkan 21km daripada Jajaran SBK dari Sungai Buloh ke Portal Semantan. Fasa dua termasuk bahagian 9.5km bawah tanah dari Semantan Portal ke Portal Maluri dan bahagian ditinggikan 20.5km dari Portal Maluri ke Kajang," atau RM21 bilion adalah kos untuk 51km trek MRT (21km + 9.5km + 20.5km), dan bukan hanya untuk 21km trek seperti dakwaan Rafizi.
6. Jika maklumat ini dan 'formula kadar langsung' Rafizi yang *jelas salah* ini digunakan, kiraan Rafizi sepatutnya adalah seperti berikut:- kos untuk 51km = RM21 bilion, oleh itu kos bagi 1km adalah, RM21 bilion/51km = RM0.412 bilion/km. Dengan itu, kos bagi keseluruhan 141km trek MRT melibatkan 3 jajaran (Jajaran 1+ Jajaran 2 + Jajaran 3) = 141km x RM0.412 bilion = RM58.1 bilion.
7. Jumlah RM58.1 bilion untuk 141km ini jauh lebih rendah daripada anggaran RM141 bilion untuk 141km seperti yang didakwa Rafizi walaupun kita menggunakan formula matematik tahap sekolah rendah sama seperti yang Rafizi gunakan.
8. Persoalannya, adakah *formula matematik tahap rendah* atau *pengiraan secara kadar terus* seperti yang Rafizi gunakan ini betul dan boleh digunakan untuk mengira kos projek yang mempunyai pelbagai faktor penentu kos seperti keperluan untuk meninggikan jajaran tersebut atau membina jajaran di bawah tanah atau kos pembayaran pampasan tanah yang berbeza di kawasan laluan trek yang berbeza.
9. Sehingga kini kos bagi trek Sungai Buloh Serdang Putrajaya (SSP) masih belum dimuktamadkan lagi. Berdasarkan kenyataan MRT Corp pada 3 Ogos 2016, anggaran kos untuk trek SSP sepanjang 52.2km adalah di antara RM35 bilion hingga RM40 bilion. Kos ini adalah bagi trek MRT yang akan memberi khidmat kepada hampir 2 juta penduduk di sepanjang Damansara Damai, Jalan Ipoh, Kampung Baru, KLCC, Tun Razak Exchange, Kuchai Lama, Seri Kembangan dan Cyberjaya.
10. Cara pengiraan kos projek MRT yang dilakukan Rafizi ini bukan sahaja salah tapi amat melucukan.

Friday, 16 December 2016

Jika Ikut Logik Rafizi, MRT Tidak Akan Siap



DUNIA telah menjadi saksi pembukaan MASS Rapid Transit (MRT) yang diilhamkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mula beroperasi pada Jumaat, 16 Disember 2016.

MRT ini disifatkan lebih moden dan gerabak yang lebih baik jika hendak dibandingkan dengan tren Underground di London dan tren Subway di Tokyo.

Projek maju merentas masa itu bukan sahaja telah siap mengikut jangkaan, malah  mampu menjimatkan sebanyak RM2 bilion daripada kos sasaran awal iaitu RM23 bilion.

Dengan mengambil masa menunggu hanya 3.5 minit untuk setiap tren, projek hasil sentuhan Perdana Menteri ini dijangka mampu memanfaatkan kepada 1.2 juta orang pengguna.

Namun apa yang dikesalkan adalah, fitnah dari Ahli Parlimen PKR Pandan, Rafizi Ramli pada April 2013 terhadap projek MRT melalui pembentangan Manifesto Pakatan Rakyat untuk PRU13.

Dalam sebuah video bertajuk "PRU13 - Bersama Rafizi Pendidikan Percuma" yang dimuat naik di Youtube, Rafizi memfitnah Kerajaan Malaysia membelanjakan sebanyak RM80 bilion wang rakyat untuk projek MRT pada hari ini.

Jumlah RM80 billion yang disebut Rafizi itu pun tidak betul. Kos sebenar MRT hanyalah RM36.6 billion dari Kajang ke Sungai Buloh. Angka RM80 billion itu Rafizi hanya main petik sahaja.

Jika ikut logik Rafizi melalui Manifesto Pakatan Rakyat untuk PRU13 ini dulu, maka sudah tentu berlaku 'kehilangan' wang rakyat sebanyak RM59 bilion sekarang ini.

Padahal, jika dicampur antara kos bagi fasa pertama dan kedua, ia masih tidak melebihi dari 'kos ciptaan Rafizi' berkenaan.

Menurut kementerian bertanggungjawab, kos keseluruhan bagi dua fasa projek MRT adalah menelan belanja sebanyak RM36.6 bilion.

Sudahlah kos berkenaan berjaya dijimatkan, sebanyak kira-kira 50 peratus dari nilai kerja projek tersebut telah berjaya diagihkan kepada kontraktor Bumiputera.

Ini sekali lagi melebihi sasaran yang diminta oleh Najib Razak pada Februari 2016 iaitu sebanyak 45 peratus sahaja.

Sesungguhnya, projek MRT yang prasarananya berkembang maju menjangkaui masa ini adalah lambang kepada komitmen Perdana Menteri terhadap rakyat Malaysia.

Walaupun beliau seringkali dicemuh dan difitnah di media sosial, namun fokus beliau dalam memberi bakti kepada rakyat tidak pernah sesekali dikesampingkan.

Andainya kita mengikut logik akal dan saranan dari Rafizi serta parti-parti pembangkang, 'nikmat dunia' seperti MRT yang boleh dinaiki secara percuma selama sebulan ini tidak akan dikecapi rakyat sampai bila-bila.

Rafizi hendak buat tol percuma di Lebuhraya Guthrie pun tidak boleh, biarpun sudah dua penggal Selangor kuasai kerajaan negeri. Malah di Penang, Tol Sungai Nyiur yang hanya RM0.50 sen pun tidak dimansuh oleh mereka.

Pembangkang hanya pandai berjanji dan berjenaka sahaja tentang angka. Mereka tidak akan tunaikan apa yang mereka cakap jika mereka berkuasa.

Hanya BN yang menunaikan janji. Najib Razak sekali lagi membuktikan bahawa Barisan Nasional memberi politik khidmat bakti, manakala Rafizi pula menunjukkan kepada kita bahawa pembangkang hanya bermain politik fitnah kepada rakyat! Jom naik MRT!

Tulisan :
Beruang Biru
BB189, Jumaat
16 Disember 2016

Monday, 14 November 2016

Rafizi Ramli Bersalah langgar dua Akta OSA


Setiausaha Agung PKR yang juga Anggota Parlimen Pandan, Rafizi Ramli didapati bersalah melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA) hari ini.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Zulqarnain Hassan memutuskan Rafizi gagal membangkitkan keraguan munasabah atas dakwaan yang dikenakan ke atasnya.

Berdasarkan kertas pertuduhan Rafizi didakwa memiliki secara salah halaman 98 laporan Ketua Audit Negara berkaitan 1MDB.

Justeru beliau didakwa melanggar Seksyen 8(1)(c)(iii) OSA 1972.

Rafizi juga dituduh mengedarkan dokumen sulit tanpa kebenaran di lobi parlimen pada 28 Mac dan ia didakwa melanggar Seksyen 8(1)(e)(iv) akta yang sama.

Setiap satu memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun jika disabitkan kesalahan.

Rafizi diwakili peguam Gobind Singh manakala Shukor Abu Bakar bertindak sebagai timbalan pendakwa raya.

Ketika sepatutnya membela diri pada 6 Oktober lalu Rafizi berkata beliau tidak dapat berbuat demikian kerana keseluruhan halaman 98 laporan mengenai 1MDB itu tidak pernah dikemukakan dalam mahkamah.