Showing posts with label raja salman. Show all posts
Showing posts with label raja salman. Show all posts

Monday, 28 August 2017

Raja Salman sanjung pemimpin, rakyat Malaysia – Zahid Hamidi

Pemi­lihan Malaysia sebagai negara pertama melaksanakan program prapelepasan jemaah haji menjadi bukti rasa hormat Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud kepada rakyat dan kepe­mimpinan negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, meskipun program perintis tersebut merupakan satu pengiktirafan besar daripada kerajaan Arab Saudi, namun beliau kecewa apabila terdapat segelintir rakyat yang meremehkan perkara berkenaan.


“Duta menelefon saya memohon visa dengan segera kepada 20 pegawai Imigresen Arab Saudi untuk berada di sini, untuk cop kedatangan. Tiada negara lain, ertinya sayangnya Raja Salman kepada rakyat dan pemimpin Malaysia.

“Namun, ada yang mere­mehkan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuat kenyataan mengenai pelepasan yang dibuat di sini.

“Selalunya kita meremehkan apa yang terbaik untuk kita. Kita sering memandang bintang di langit tetapi tidak memandang rumput di bumi, itulah silapnya kita di Malaysia,” katanya ketika berucap dalam majlis pelepasan jemaah haji di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim; Menteri Kesejahte­raan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.

Seramai 483 jemaah haji berlepas ke Mekah pada pukul 5 petang hari ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan penerbangan KT79.

Mereka merupakan kumpulan kedua terakhir berangkat ke Tanah Suci manakala kumpulan akhir akan berangkat esok.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menempelak segelintir pemimpin pembangkang yang cuba mencampur-adukkan isu berkaitan agama Islam dengan politik dan beliau menyamakan perbuatan itu sebagai tidak beradab.

“Kalau ada sebuah negeri memberikan RM500 kepada jemaah haji dan mengatakan ne­geri itu terlalu bagus, ingatlah apa yang Tabung Haji dan Kerajaan Persekutuan sudah lakukan. Tahun ini Tabung Haji menyediakan subsidi lebih RM260 juta, secara perbandingan ada jemaah haji di negara jiran yang perlu membayar RM15,000 untuk pakej haji paling murah berbanding negara kita cuma RM9,980,

“Prinsip saya, kita boleh berbeza pendapat, pendirian politik tetapi dalam hal ehwal agama, kita jangan gunakan agama untuk politik, tetapi gunakan politik untuk menguatkan agama. Itu pegangan yang harus ada pada kita semua,” katanya.

Selain itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan 30,200 jemaah haji Malaysia supaya menggunakan sepenuhnya waktu wukuf di Arafah sebaik mungkin dengan memperbanyakkan ibadah bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT dan mengelak daripada me­lakukan perbuatan merugikan.

UTUSAN

Sunday, 26 February 2017

Raja Arab Saudi, Raja Salman Tiba Di Malaysia

SEPANG – Malaysia hari ini membentangkan permaidani merah bagi menyambut ketibaan Raja Salman Abdulaziz Al Saud dari Arab Saudi untuk melakukan lawatan negara selama empat hari.

Ketibaan baginda di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, yang juga menteri pengiring.

Malaysia adalah negara pertama yang dikunjungi Raja Salman dalam rangka lawatan baginda ke Asia Tenggara sejak menaiki takhta pada 2015.

Baginda akan diiringi delegasi 600 anggota dalam lawatan hingga 1 Mac itu, termasuk anggota kerabat diraja dan menteri Kabinet Arab Saudi.

Lebih 100 kenderaan disediakan bagi membawa anggota rombongan diraja itu.

Kunjungan sulung Raja Salman ke Malaysia itu adalah atas undangan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Kali terakhir Raja Arab Saudi melakukan lawatan ke Malaysia ialah pada 2006 iaitu oleh Almarhum Raja Abdullah Abdulaziz Al-Saud. Almarhum Raja Faisal Abdulaziz Al-Saud melakukan lawatan negara ke Malaysia pada 1970.

Dalam catatan melalui akaun Twitternya, Najib berkata beliau tidak sabar untuk menyambut ketibaan Raja Salman.

Perdana Menteri berkata kali terakhir beliau bertemu Raja Salman ialah pada Mac tahun lepas di Riyadh dan amat berterima kasih atas layanan yang diberi kepada beliau.

Upacara sambutan negara untuk Raja Salman akan diadakan di Dataran Parlimen, Kuala Lumpur, diikuti upacara menghadap Sultan Muhammad V.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman pada taklimat media terbarunya mengenai lawatan itu menyifatkan hubungan antara Malaysia dan Arab Saudi adalah kukuh.

“Wujud hubungan rapat secara peribadi antara Istana Saud dan Kerajaan Malaysia,” katanya.

Arab Saudi adalah rakan perdagangan kedua terbesar Malayia di Timur Tengah, dengan dagangan antara kedua-dua negara menyaksikan peningkatan sebanyak 19.8 peratus tahun lepas dan kini berjumlah RM13.12 bilion.

Hampir 60 peratus daripada jumlah eksport Malaysia ke Arab Saudi adalah produk berkaitan minyak sawit dan produk pertanian berasaskan kelapa sawit, jentera, kelengkapan dan alat ganti, makanan siap diproses serta produk elektrik dan elektronik. – BERNAMA