Showing posts with label reezal merican. Show all posts
Showing posts with label reezal merican. Show all posts

Thursday, 12 April 2018

BN yakin di Kepala Batas kerana ‘DNA Pak Lah’ - Reezal Merican

KEPALA BATAS: Umno Pulau Pinang yakin Barisan Nasional (BN) dapat mengekalkan kerusi Parlimen Kepala Batas pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) berdasarkan ”DNA Pak Lah” (Tun Abdullah Ahmad Badawi) yang menjadi kekuatan sehingga kini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata pembangunan yang dibawa bekas perdana menteri itu diteruskan sehingga kini dan ”DNA Pak Lah” menjadi tradisi Umno Kepala Batas untuk membela rakyat di kawasan berkenaan.

“Kalau kita pandang depan, belakang, kiri, kanan, atas dan bawah tak ada satu pun yang tidak ada kaitan dengan Pak Lah. Pembangunan yang dibawa macam-macam. Jadi, ini benda yang sebenarnya menjadi kekuatan dan suntikan kepada Umno Kepala Batas.

“Saya lebih bertanggungjawab untuk meneruskan legasi yang ditinggalkan beliau. Alhamdulillah saya dapat laksanakannya dalam tempoh 5 tahun ini sebagai ahli Parlimen Kepala Batas. Dalam tempoh 5 tahun, 3 masjid dan 5 sekolah agama dibina di kawasan ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat rumah mangsa ribut hari ini.

Beliau berkata sudah menjadi amalan Umno Kepala Batas untuk melakukan sesuatu perkara secara istiqamah dengan mendekati dan mendengar masalah rakyat di kawasan itu.

“Kami ni dari dulu buat tradisi apa yang diajar Pak Lah, tak berapa gemar mendabik dada. Tradisi kita buat benda secara istiqamah. Jumpa orang di bawah, pastikan bila mana mereka memerlukan pemerhatian dan pembelaan kita akan ada di sana.

“Macam saya sebut dulu, kita bukan sentuh dan pergi (touch and go) tetapi kita pergi dan sentuh. Dampingan dan sentuhan kepada rakyat menjadi kelaziman kepada mana-mana wakil rakyat, tradisi yang dibawa sejak dulu,” katanya.

Reezal Merican yang juga timbalan menteri luar berkata slogan “Kepala Batas Di Hatiku” yang digunakan sebagai kempen pilihan raya adalah terjemahan kepada perhubungan yang baik antara Umno Kepala Batas dengan rakyat di kawasan itu.

“Selagi kita diikat hubungan ini dan diletaknya di hati kita, selagi itulah kita tidak akan lari dalam melaksanakan apa yang dikehendaki orang tempatan… selagi itulah saya yakin kita akan tetap dipilih sebagai pilihan terbaik mewakili hasrat, citra dan amanah rakyat Kepala Batas,” katanya.

Pada PRU13, Reezal Merican mendapat majoriti 4,176 undi dalam pertandingan satu lawan satu mengalahkan calon PAS Afnan Hamimi Datuk Taib Azamudden.

Ketiga-tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen itu turut dikuasai oleh BN iaitu Datuk Mohd Zain Ahmad yang mendapat majoriti 1,662 undi di DUN Penaga, DUN Bertam Shariful Azhar Othman (1,642) dan DUN Pinang Tunggal Datuk Roslan Saidin (1,587).

Monday, 9 April 2018

Rakyat perlu hargai suara hati TMJ - DS Reezal Merican


Kenyataan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim berhubung isu politik semalam adalah pandangan ikhlas insan berpengaruh yang wajar dijadikan peringatan oleh rakyat, kata anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Justeru beliau kesal melihat ramai yang membidas suara hati Tunku Ismail di media sosial.

"Ia pandangan ikhlas seorang Tengku Mahkota, bukan campur tangan istana dalam suasana politik tanah air. Ia wajar dihormati dan dihargai rakyat.

"Adab yang wajar untuk kita sebagai rakyat adalah mengambil teguran Tunku Ismail sebagai jalur jati diri kita dalam membuat keputusan politik," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam satu kenyataan panjang di Facebook semalam, Tunku Ismail mengkritik "individu berumur 93 tahun ingin menjadi perdana menteri", yang jelas merujuk kepada Mahathir.

Ia di saat HARAPAN yang diketuai bekas perdana menteri itu dilihat giat meraih sokongan di Johor yang dianggap mereka sebagai antara negeri utama dalam PRU ke-14.

Dalam kenyataan itu, Tunku Ismail juga bertitah bahawa kapal yang berjalan dengan baik selama puluhan tahun tidak perlu ditukar enjinnya hanya kerana memiliki nakhoda yang bermasalah.

"Duduk di dalam kapal yang sama, dan membimbing nakhoda tersebut dan beritahu ke mana kita mahu pergi," katanya.

Reezal berkata pandangan yang disuarakan Tunku Ismail bukan sahaja untuk penduduk Johor tetapi seluruh rakyat Malaysia.

Setuju dengan kritikan Tunku Ismail terhadap politik individu "lidah bercabang", beliau berkata usaha "menghebatkan Malaysia" tidak boleh berdasarkan politik kesumat dan dendam.

"Ingatan Tunku Ismail tidak berakhir di sempadan siasah Johor, ia ingatan buat sekalian rakyat Malaysia.

"Dan setiap hati rakyat wajar terusik dengan teguran itu," katanya lagi.

https://m.malaysiakini.com/news/418918

Sunday, 8 April 2018

Manifesto yang cukup menyeluruh dan benar-benar menjawab kerisauan rakyat. - Reezal Merican





Jika kos sara hidup menjadi paksi kekhuatiran rakyat, manifesto BN ini menjadi azimat yang cukup berkesan.

Cukup jelas dan nyata, manifesto ini mampu memukau naluri dan aspirasi rakyat dalam segenap segi. Naskhah akujanji yang hebat dan luar biasa.

Kenyataan Media Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Reezal Merican Naina Merican berkaitan Pelancaran Manifesto Barisan Nasional (BN) oleh Presiden BN Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Wednesday, 21 March 2018

Putrajaya tak beri layanan istimewa kepada delegasi Israel - DS Reezal Merican

Kementerian Luar tidak menyambut ketibaan delegasi Israel ke Malaysia dan tiada anggota keselamatan diarah mengiringi rombongan itu, kata Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Timbalan menteri luar itu berkata, delegasi Israel ialah satu-satunya rombongan yang tidak mendapat layanan istimewa ketika menghadiri Forum Bandar Sedunia ke-9 (WUF9) yang diadakan di ibu negara, pada 7 hingga 13 Februari lalu.

“Ketika dia sampai, dia merupakan satu-satunya pegawai yang tidak disambut oleh mana-mana pegawai dari Kementerian Luar mahupun polis tidak berikan iringan keselamatan.

“Itu adalah satu-satunya. Kita hanya serahkan kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) kerana dia merupakan perwakilan yang dijemput oleh PBB,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Kehadiran bekas timbalan duta Israel ke PBB, David Roet dan delegasi rasmi negara itu ke WUF9 bulan lalu, mencetuskan kontroversi dan mengundang kritikan pembangkang.

Reezal menjawab pertanyaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, kenapa kerajaan tidak memohon PBB menghalang kehadiran delegasi Israel.

“Adakah kerajaan Malaysia memohon kepada PBB agar kecualikan Israel dalam forum itu bagi menegaskan pendirian kerajaan dan rakyat Malaysia yang menentang dasar penempatan haram Israel?” soal Azizah.

Reezal turut menyangkal dakwaan Putrajaya menjalin hubungan diplomatik dengan Israel dalam diam dan
status Malaysia-Israel tidak berubah.

“Delegasi Israel berdasarkan jemputan (PBB) dan (tiada kaitan) dengan kerajaan Malaysia, tidak timbul isu Malaysia jalin hubungan dengan Israel secara senyap.

“Status Malaysia dan Israel tidak akan berubah. Sehubungan itu, kehadiran peserta Israel tidak wajar dilihat sebagai usaha Malaysia akan adakan hubungan diplomatik dengan Israel.”

Pada 15 Februari lalu, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman menafikan Putrajaya mengundang diplomat Israel ke WUF9.

Katanya, surat jemputan kepada Israel ditandatangani pengarah eksekutif Program Penempatan Manusia PBB (UN-Habitat), selaras Perjanjian Negara Tuan Rumah yang ditandatangani organisasi itu dan Malaysia.

Tuesday, 23 January 2018

Malaysia Di Barisan Depan Tangani Isu Seranta - Reezal Merican

KUALA LUMPUR - Malaysia sentiasa berada di barisan hadapan dalam menangani cabaran isu serantau melalui ASEAN yang kukuh, berjaya dan bersifat inklusif.

Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata  sebagai contoh, di arena kemanusiaan, Wisma Putra terus memberi bantuan dan sokongan kemanusiaan kepada pihak yang amat memerlukan bantuan dari seluruh dunia.

Beliau berkata demikian pada Majlis Graduasi Diploma Diplomasi 2017 di Kuala Lumpur

Pada majlis itu, 18 Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) menerima diploma masing-masing setelah mengikuti program enam bulan yang diwajibkan bagi pegawai baharu Kementerian Luar.

Program itu disusun bagi mempersiapkan dan melengkapkan peserta dengan kemahiran profesional serta sikap dan nilai yang betul untuk melaksanakan tugas mereka sebagai diplomat dengan berkesan.

Menyentuh tentang diplomat muda, Reezal berkata kementerian itu serius dalam melahirkan diplomat Malaysia yang bersifat holistik bagi meningkatkan lagi prestij negara ini sebagai 'kuasa pertengahan' di rantau ini.

Justeru, kata beliau, diplomat muda perlu dilengkapkan dengan kemahiran berkaitan serta peralatan terkini untuk membolehkan mereka berurusan secara berkesan dengan negara dan pemegang kepentingan lain.

Beliau berkata diplomat masa akan datang perlu fasih dan cekap tentang undang-undang antarabangsa, perdagangan, ekonomi dan bahasa asing untuk membolehkan mereka bergerak seiring dengan kepesatan perubahan masa.

((SUMBER: BERNAMA))

Monday, 1 January 2018

Waspada tawaran kerja di luar negara - Datuk Seri Reezal Merican

KUALA LUMPUR 31 Dis. – Rakyat Malaysia seharusnya berwaspada sebelum menerima tawaran pekerjaan di negara asing bagi mengelak mereka menjadi mangsa perhambaan moden.


REEZAL MERICAN
Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, siasatan awal mendapati masalah buruh haram melibatkan rakyat Malaysia di luar negara berpunca daripada penipuan pihak tertentu yang se­nga­ja memberikan gambaran palsu mengenai keadaan pekerjaan tersebut.


“Apa yang digambarkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab ini jauh sekali dari realiti yang bakal dialami oleh rakyat Malaysia yang ingin bekerja di luar negara secara tidak sah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Laporan eksklusif Mingguan Malaysia hari ini mendedahkan tentang masalah buruh haram Malaysia di luar negara yang sebelum ini berlaku di Australia mula merebak ke Korea Selatan kerana negara itu menawarkan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor termasuk pengilangan dan perkhidmatan dan tidak tertumpu kepada perladangan semata-mata.

Bermula pertengahan tahun ini, trend kemasukan buruh ha­ram itu melonjak dengan ketara antaranya disumbangkan oleh pe­ranan ejen yang agresif dan berlumba-lumba merekrut pekerja melalui media sosial khusus­nya Facebook.

Sehubungan itu, beliau menasihati rakyat supaya mendapatkan maklumat sahih dan terperinci daripada kedutaan besar Malaysia di negara-negara asing terlebih dahulu serta mematuhi undang-undang imigresen yang berkaitan.

“Sekiranya mana-mana individu memasuki sesebuah negara tanpa permit atau visa yang sah, termasuk permit pekerja asing, mereka boleh berdepan dengan tindakan undang-undang oleh pihak berkuasa tempatan.

“Kedutaan Besar Malaysia di luar negara juga akan menghadapi kesukaran dalam memberikan bantuan konsular kepada rakyat kita yang didapati bekerja di luar negara tanpa permit yang sah. Hal ini juga secara tidak langsung boleh mencemarkan imej negara kita,” jelasnya.

Reezal Merican menambah, kementerian juga telah dimaklumkan mengenai kegiatan segelintir pihak yang menawarkan peluang pekerjaan sambil me­lancong kepada rakyat Malaysia ke beberapa negara tertentu serta dijanjikan dengan gaji yang lumayan.

SUMBER

Friday, 8 September 2017

Kerajaan Myanmar terus berdegil - DS Reezal Merican

KEPALA BATAS 7 Sept. – Kerajaan Myanmar dilihat sengaja tidak mengendahkan desakan banyak pihak agar krisis kemanusiaan di wilayah Rakhine yang menyebabkan kematian ramai etnik Rohingya dihentikan.

Malah mereka juga seolah-olah membutakan mata untuk melakukan sesuatu tindakan bagi menyelesaikan jenayah kemanusiaan itu biarpun beberapa negara anggota ASEAN berulang-kali meminta perkara berkenaan diselesaikan secara aman.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, lebih dikesali, krisis terbaharu melibatkan masyarakat Islam Rohingya itu berlaku sebaik sahaja suruhanjaya bebas yang diketuai bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan mengeluarkan laporan berkaitan isu berkenaan kepada kerajaan Myanmar.

Menurutnya, laporan tersebut turut mengandungi syor-syor yang dibuat oleh Malaysia bagi mencari jalan penyelesaian yang holistik bagi menangani krisis di Rakhine.

“Laporan oleh suruhanjaya itu mengiktiraf peranan Malaysia yang sentiasa komited mendesak agar kerajaan Myanmar segera menyelesaikan konflik tersebut secara aman.

“Wisma Putra juga mengeluarkan kenyataan rasmi pada 2 September lalu yang Malaysia tidak berpuas hati serta mengutuk keganasan yang berlaku ke atas masyarakat Rohingya selain pada masa sama, menasihatkan rakyat negara ini agar menangguhkan perjalanan ke Rakhine,” katanya.

Reezal Merican berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Pulau Pinang ke-43 di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah PPN negeri, Datuk Ismail Umar.

Reezal Merican menambah, sebagai langkah ke depan, Malaysia mengakui isu keganasan dan kekejaman terhadap etnik Rohingya perlu dibawa ke forum antarabangsa yang lebih tinggi termasuk di PBB dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).

“Lebih penting, akses bantuan kemanusiaan yang tidak terhalang perlu diberikan kepada mereka yang terjejas oleh pertembungan yang mengakibatkan kematian lebih 500 orang baru-baru ini,” ujarnya.


Wednesday, 19 April 2017

Malaysia pragmatik tangani krisis dengan Pyongyang, kata timbalan menteri

Sikap pragmatik yang diamalkan Malaysia membolehkan krisis ketegangan hubungan Kuala Lumpur-Pyongyang baru-baru ini, diselesaikan tanpa menggunakan orang tengah, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Katanya, Malaysia memilih melakukan rundingan secara langsung kerana yakin dapat menyelesaikan isu berkenaan dengan baik.
“Bila berlakunya insiden ini, kita lihat tiada keperluan pihak ke-3, sebaliknya kita boleh berunding secara langsung.

“Tetapi saya nak maklumkan, oleh kerana pragmatisme yang kita gunakan dalam kemelut dengan Korea Utara, banyak negara ASEAN yang membantu.
“Antara negara yang membantu rakyat Malaysia yang ditahan termasuklah kedutaan Indonesia, Pakistan dan Kesatuan Eropah (EU).

“Ini adalah kelebihan bila kita menggunakan pragmatisme dalam hubungan diplomasi, kita mementingkan dan memastikan keselamatan rakyat Malaysia dapat dibawa pulang dengan selamat,” katanya pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Tan Sri S Nallakarupan yang ingin tahu mengapa Malaysia tidak menggunakan orang tengah dalam rundingan dengan Korea Utara dalam menyelesaikan isu penahanan 9 rakyat negara ini di Pyongyang.
Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara menjadi tegang selepas kes pembunuhan Kim Jong Nam abang sebapa pemimpin utama negara itu, Kim Jong Un, di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 13 Feb lepas.

Jong Nam yang menggunakan pasport dengan nama Kim Chol, sedang menunggu penerbangan ke Macau apabila 2 wanita tiba-tiba menyapu mukanya dengan cecair yang kemudian dikenal pasti sebagai agen saraf VX.

Hasil rundingan antara kedua-dua negara, semua 9 rakyat Malaysia yang ditahan, dapat dibawa pulang manakala mayat Jong Nam bersama 3 rakyat Korea Utara dihantar pulang ke negara itu pada 31 Mac lalu.

Menjawab soalan asal Nallakarupan mengenai rasional kerajaan tidak membatalkan hubungan diplomatik dengan Korea Utara, Reezal Merican berkata kerajaan memutuskan meneruskan hubungan yang terjalin sejak 4 dekad lalu.

“Pada waktu ini, kita masih ada hubungan diplomatik dengan Korea Utara, namun tiada cadangan menutup kedutaan atau kita memutuskan hubungan diplomatik di antara kedua-dua negara,” katanya.

Sunday, 5 March 2017

Kepala Batas DNA Umno, BN yakin kekal Menang

KEPALA BATAS: Umno akan memastikan kerusi Kepala Batas kekal menjadi ‘kerusi boleh menang’ untuk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Anggota Majlis Tertinggi Umno yang juga Anggota Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata beliau yakin Umno mampu mempertahankan kerusi di Kepala Batas kerana ‘DNA Umno’ sangat ketara di kawasan itu.
“Di Kepala Batas ini ada satu benda yang boleh dianggap signifikan. Saya sebut ‘DNA Kepala Batas’ yang menjadi rangkuman semua aspek…dengan peranan-peranan yang dimainkan peranan yang begitu dominan.
“DNA Kepala Batas ini boleh saya sebut sebagai DNA Umno ‘dominated’. Sebab itulah kita nak kekalkan supaya dalam kalangan rakyat dapat melihat yang signifikan pada kehidupan mereka adalah Umno dan pemimpin-pemimpinnya,” katanya dipetik Bernama.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pemimpin Bersama Jentera Jalinan Rakyat Wanita Kepala Batas, di sini hari ini. Turut hadir Ketua Wanita Umno Pulau Pinang, Datuk Norliza Abdul Rahim.
Reezal Merican yang juga Timbalan Menteri Luar berkata bagi memastikan kerusi Kepala Batas terus kekal milik BN, jentera parti perlu sentiasa menjalankan program melibatkan sasaran pengundi yang dilakukan secara mikro.
“Kita tak mahu buat program-program yang hanya dilihat ‘output’ tapi yang lebih penting hasilnya,” kata beliau.
Pada pilihan raya umum ke-13, BN memenangi kerusi Parlimen Kepala Batas dengan 25,128 undi dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Penaga (8,350 undi), Bertam (7,939 undi) dan Pinang Tunggal (9,155 undi).