Showing posts with label ruu355. Show all posts
Showing posts with label ruu355. Show all posts

Friday, 7 April 2017

‘Ratib’ UMNO Tolak RUU 355 Sekadar Polemik Untuk Kepentingan Politik – Ustaz Reeza

KUALA LUMPUR, 4 April – Bekas Aktivis Pas, Ustaz Mohd Reeza Kamarudin menempelak sesetengah pihak khususnya parti-parti di dalam gabungan Pakatan Harapan terutamanya PAN, PPBM dan PKR sambil melontarkan persoalan apakah mereka bersedia menyokong usul Rang Undang-Undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 jika Pas membentangkannya kelak di Parlimen.
Soal beliau lagi apakah mereka hanya gah menimbulkan polemik berterusan mengenai soal tersebut sedangkan di peringkat awal lagi pelbagai kenyataan sinis dilontarkan terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN).
“Rasanya awal-awal lagi keputusan mereka ada yang samar-samar dan ada juga yang secara jelas mengenai perkara berkenaan.
“Lebih menyedihkan ianya dipolemikkan untuk kepentingan politik masing-masing sedangka ianya adalah untuk memartabatkan Mahkamah Syariah”, katanya kepada UMNO-Online di sini, hari ini.
Sebenarnya berdasarkan kepada pemerhatian beliau keputusan yang dilakukan oleh kerajaan sebelum ini sememangnya dinanti-nantikan untuk mereka menjadikan ‘lauk’ demi kepentingan politik semata-mata.
“UMNO terus menjadi sasaran dengan pelagai tohmahan.
“Sedangkan RUU 355 sejak dari awal lagi ianya adalah ‘private bill’…kenapa UMNO diheret dalam soal berkenaan dan bukankah ianya masih berstatus ‘private bill’ dan hanya terpulang kepada Speaker Dewan Rakyat. Tidak ada yang pelik pun,” ujarnya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini dilapor berkata Kerajaan tidak akan membentangkan pindaan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 di Parlimen.
Katanya keputusan itu dicapai secara konsensus selaras dengan amalan dan dasar Barisan Nasional (BN) dan ia bermakna cadangan pindaan RUU 355 itu akan menjadi usul persendirian.
Ekoran itu, UMNO dan BN menjadi sasaran beberapa pihak yang mengaitkan isu berkenaan dengan pelbagai tohmahan termasuklah dianggap mainan politik UMNO.
Ustaz Reeza seterusnya menegaskan ‘ratib’ pihak pembangkang sekadar untuk memburukkan UMNO dan seolah-olah mereka sendiri tidak faham dan tidak jelas perkara yang sebenarnya.
Tegas beliau lagi sepertimana yang ditegaskan sebelum ini, usul RUU 355 akan mengikut prosedur biasa di parlimen dan pada waktu itu apabila dibentangkan kelak ianya akan terbuka kepada perbahasan.
“Jadi kat mana yang diperkatakan segala tohmahan terhadap UMNO hari ini. RUU tersebut bukannya dibuang terus atau sebaliknya.
“Bukankah jelas ianya sekadar dipolemikkan dan sama-samalah kita berdoa yang terbaik nanti,” katanya.-MediaUMNO

Sunday, 19 February 2017

Di himpunan RUU355, Hadi raikan kerjasama PAS, Umno


Kerjasama pelbagai pertubuhan termasuk PAS dan Umno dalam isu melibatkan Islam sudah bermula sejak sebelum merdeka, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberitahu puluhan ribu peserta yang membanjiri Padang Merbok bagi menyatakan sokongan memberi kuasa lebih kepada mahkamah syariah negara ini.

Dalam ucapannya sebelum perhimpunan tamat malam tadi, presiden PAS itu berkata PAS dan Umno antara pertubuhan berjuang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Kita menghantar memorandum kepada Suruhanjaya Reid meletakkan Islam dalam Perlembagaan. Mereka berbincang dan menerimanya,” katanya merujuk jawatankuasa ditubuhkan kerajaan Britain bagi mewujudkan perlembagaan baharu selepas Merdeka.

Hadi berkata, kerjasama serupa perlu dilakukan pada masa ini berhubung rang undang-undang (RUU) meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang dicadangkannya.

“Kita hanya mengulangi sejarah lalu yang ditulis dengan tinta emas oleh pejuang kemerdekaan negara kita,” katanya lagi.
PAS dan Umno akhir-akhir ini sering “sepentas” dalam isu membabitkan orang Islam, termasuk dalam menyatakan simpati terhadap etnik Rohingya di Myanmar.
Beberapa pimpinan tertinggi Umno juga sebelum ini dilihat bersikap positif terhadap usaha PAS meminda akta itu.

Hadi yang juga ahli Parlimen Marang mengecam pihak yang sering mempertikai cadangannya, sambil berkata mereka perlu menumpukan terhadap apa yang disifatkannya “kelemahan undang-undang ciptaan manusia”.

“Daripada mencemuh usaha kita, lebih baik mereka bincang undang-undang lapuk yang masih menggunakan tali gantung, undang-undang rimba yang tidak mengambil kira siapa yang menjadi saksi.
“Ini yang patut dibincang mereka, bukannya mempertikai undang-undang Islam dengan kejahilan,” katanya lagi.
Perhimpunan hari ini dianjurkan PAS bagi menunjukkan sokongan terhadap RUU dibentangkan Hadi bagi memperkasakan mahkamah syariah untuk menghukum pesalah Islam.

Satu lagi himpunan balas “Rakyat Malaysia tolak RUU Hadi” anjuran NGO dikenali sebagai Bebas diadakan di Taman Jaya, Petaling Jaya, dan berakhir dengan penyertaan kecil pada 6.00 petang tadi.
FMT

Pengkritik RUU 355 sila tutup mulut

Pemimpin PAS berharap pengkritik cadangan rang undang-undang pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa Jenayah) 1965 akan senyap selepas ribuan peserta membanjiri himpunan RUU 355 di Padang Merbok, Kuala Lumpur semalam.
Himpunan anjuran PAS itu bertujuan menunjukkan sokongan kepada RUU persendirian yang dibawa presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bagi membolehkan kuasa hukuman mahkamah syariah dipertingkatkan.
Ramai yang mengkritik RUU itu dan mendakwa ia hanya cara PAS untuk melaksanakan hukuman hudud.
Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hasan Tantawi berkata sejumlah besar peserta himpunan semalam menjadi isyarat kepada semua, yang majoriti masyarakat Islam di negara ini menyokong pindaan itu.
“Kami harap lepas ini tiada lagi suara-suara yang meremehkan hasrat umat Islam untuk melihat hak umat Islam dapat diberikan dan dikembalikan bagi dapat dilaksanakan,” katanya kepada FMT.
Naib Presiden PAS Idris Ahmad senada dengan kenyataan Nasrudin dan berkata kehadiran yang ramai mewakili keinginan rakyat untuk melihat pemerkasaan mahkamah syariah menerusi pindaan yang dicadangkan itu.

“Alhamdulillah, kehadiran yang ramai menggambarkan keinginan mereka untuk melihat mahkamah syariah diperkasakan di negara ini. Kita minta yang lain ambil perhatian. Ini petanda yang baik orang Islam ini cukup sensitif terhadap agamanya dan syariat,” katanya kepada FMT.
Ribuan peserta bersama pemimpin PAS berkumpul di Padang Merbok untuk menunjukkan sokongan kepada pindaan itu, tetapi Nasrudin percaya jumlah umat Islam yang datang melebihi mana-mana himpunan yang pernah diadakan sebelum ini.
“Jumlah ini mewakili segmen masyarakat dan ini himpunan terbesar di Malaysia yang saya jangka mencecah 300,000.
“Kalau dari Dataran Merdeka sampai bulatan Bank Negara jalan penuh orang tak boleh masuk ke Padang Merbok ini, saya jangka jumlah melebihi suku juta dan ini satu isyarat,” katanya.
Satu lagi himpunan balas “Rakyat Malaysia tolak RUU Hadi” anjuran NGO dikenali sebagai Bebas diadakan di Taman Jaya, Petaling Jaya, semalam bagi menghimpun umat Islam dan bukan Islam untuk membantah RUU 355.
RUU 355 pertama kali dibentangkan di Dewan Rakyat pada 26 Mei lalu oleh Presiden PAS, Hadi bagi memperkasakan Mahkamah Syariah dengan lebih banyak kuasa.
Pada 24 November lalu, Hadi meminta Dewan Rakyat menangguhkan perbahasan RUU 355 ke sidang berikut pada Mac ini bagi membolehkan pindaan dilakukan terhadapnya RUU itu.
Antara pindaan dicadangkan ialah hukuman “penjara tidak melebihi 30 tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau 100 sebatan” berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.

‘Lautan ungu’ di Padang Merbok berbanding 200 peserta di PJ


 Kehadiran peserta himpunan balas untuk membantah rang undang-undang persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 yang dibawakan presiden PAS jauh berbeza dengan jumlah peserta himpunan anjuran parti Islam itu, hari ini.
Ribuan orang dilaporkan berkumpul bersama pemimpin PAS di Padang Merbok untuk menunjukkan sokongan mereka terhadap RUU 355, tetapi kurang daripada 200 orang muncul di “Himpunan Rakyat Tolak Usul Hadi” yang diadakan di Taman Jaya, di sini, hari ini.
Kedua-dua perhimpunan itu diadakan pada masa sama.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohd Sukri Kaman dalam satu kenyataan berkata, kira-kira 20,000 orang menghadiri Himpunan RUU 355 di Padang Merbok, setakat jam 6 petang tadi.
Menyedari kehadiran peserta yang sedikit dan ketiadaan ahli Parlimen, Azrul Mohd Khalib daripada kumpulan aktivis sekular Bebas – penganjur perhimpunan itu – menggesa orang ramai menghubungi wakil rakyat masing-masing.
“Minta mereka undi menentang RUU Hadi!” katanya sambil menambah kumpulan itu akan menghantar surat kepada Dewan Rakyat “bagi memastikan suara kita didengari. Kami ada suara. Kami ada kepentingan sama di negara ini, bersama saudara Islam kita”.
Satu-satunya pemimpin politik yang berucap pada perhimpunan petang ini ialah Datuk Zaid Ibrahim daripada DAP dan Timbalan Ketua Pemuda Gerakan, Andy Yong.
Berucap di hadapan hadirin daripada semua lapisan masyarakat, Azrul memberi amaran kepada orang ramai mengenai ketidakadilan yang akan berlaku, jika RUU Hadi diluluskan.

Katanya, pindaan itu akan menyaksikan kuasa punitif Mahkamah Syariah meningkat secara mendadak dan boleh digunakan terhadap orang awam yang lemah, manakala mereka yang berkuasa kemungkinan besar terlepas.
“Mereka akan menyasarkan golongan lemah dan tidak berdaya, wanita serta golongan berpendapatan rendah yang hanya cuba mencari rezeki.
“Mereka akan dijadikan mangsa dan dihukum.”
Beliau turut menolak dakwaan PAS yang orang bukan Islam tidak akan terjejas dengan RUU 355 dan memberi contoh 1 kes di Aceh, Indonesia.
Kes itu berlaku di Takengon, Aceh, tahun lalu, apabila seorang wanita Kristian berusia 60 tahun disebat 30 kali di khalayak ramai kerana menjual alkohol. Wilayah itu ialah satu-satunya tempat di Indonesia yang melaksanakan undang-undang Islam.
Menurut Azrul, walaupun tanpa pindaan itu, orang bukan Islam sudah terjejas akibat undang-undang syariah di Malaysia seperti kejadian baru-baru ini.
Ini termasuk serbuan ke atas kedai perkakasan yang disyaki menjual berus cat diperbuat daripada bulu babi dan larangan kek tidak halal di premis McDonald’s.
“Ini tidak boleh dibandingkan dengan apa yang akan berlaku,” katanya.
RUU 355 pertama kali dibentangkan di Dewan Rakyat pada 26 Mei lalu oleh Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Pada 24 November lalu, presiden PAS itu meminta Dewan Rakyat menangguhkan perbahasan RUU 355 ke sidang berikut pada Mac ini bagi membolehkan pindaan dilakukan terhadapnya RUU itu.
Antara pindaan dicadangkan ialah hukuman “penjara tidak melebihi 30 tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau 100 sebatan” berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.

Salahkah kami mahu perkasa Mahkamah Syariah, soal peserta himpunan

 Kehadiran penyokong RUU 355 ke Padang Merbok hari ini tiada niat lain, kecuali mahu melihat Mahkamah Syariah diperkasakan.

Itulah sentimen yang ditunjukkan peserta ditemui FMT hari ini.
Mereka berpendapat, Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 sudah lama tidak dipinda, malah hukuman yang diperuntukkan ketika ini tidak menepati tuntutan Islam.
Hujah sama turut disuarakan pemimpin PAS dan penyokong RUU 355 menerusi pelbagai kenyataan yang disiarkan media sebelum ini.

Kali terakhir hukuman yang diperuntukkan di bawah Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dipinda ialah pada 1984, iaitu hukuman penjara tidak melebihi 3 tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau sebat tidak melebihi 6 kali berbanding hukuman penjara 6 bulan, denda RM1,000 atau kedua-duanya yang diluluskan pada 1965.

Pindaan yang dicadangkan kali ini ialah hukuman “penjara tidak melebihi 30 tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau 100 sebatan” oleh Mahkamah Syariah.
“Akta ini tidak melibatkan orang bukan Islam. Kita bukan ingin kacau kehidupan sesiapa, hanya ingin tingkatkan kuasa Mahkamah Syariah,” kata peserta berusia 40 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Mohd Fairuz dan menetap di Shah Alam.

Beliau mengakui tidak arif mengenai perkara itu, namun mengikuti isu RUU 355 yang hangat dilaporkan media massa.

“Jadi, saya mula faham dan sokong. Saya yakin mereka yang datang hari ini bukan hanya penyokong, tetapi mereka yang ingin mendengar (penjelasan),” katanya.

Pengiran Nurdian Shah daripada Persatuan Seni Silat Gayung Makrifat (PSSGM) berkata, hukuman sedia ada dalam akta itu tidak mengikut tuntutan agama.
“Isu ini mudah sahaja – apa yang ada ditambah baik menurut al-Quran. Misalnya, hukuman 100 sebatan. Ia bukan kekejaman, tetapi ketegasan,” katanya yang datang bersama 10 ahli PSSGM.
Antara kritikan utama terhadap usaha PAS ini adalah ia akan melebarkan jurang hukuman untuk umat Islam dan bukan Islam.

Sesetengah pihak seperti Amanah menuntut kelemahan institusi Mahkamah Syariah diperbaiki terlebih dahulu.

Menjawab kritikan itu, Azlan Ngah, 50, mangulangi hujah penyokong RUU 355 sebelum ini, iaitu kelemahan utama Mahkamah Syariah ialah hukuman terlalu ringan.
“Ramai yang boleh bayar denda RM3,000 dengan mudah. Undang-undang lain (sivil) juga ada kelemahan, tetapi tidak dipersoalkan. Yang penting kita buat dulu ‘kerja Tuhan’ ini,” katanya yang datang dari Terengganu.

“Ini hukum Allah dan tidak mengganggu orang bukan Islam,” kata Fazira Abd Razak, guru dari Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.
Baginya, jurang hukuman untuk umat Islam dan bukan Islam bukan masalah, memandangkan kedua-dua pihak mempunyai pegangan berbeza.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohd Sukri Kaman dalam satu kenyataan berkata, kira-kira 20,000 orang menghadiri Himpunan RUU 355 di Padang Merbok, setakat jam 6 petang tadi.
PAS sebelum ini menyasarkan kira-kira 300,000 orang akan menyertai himpunan hari ini bagi menunjukkan sokongan dan memperjelaskan kewajaran usul RUU persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 yang dibawakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi memperkasakan Mahkamah Syariah untuk menghukum pesalah Islam.

Satu lagi himpunan balas dinamakan “Himpunan Rakyat Tolak Usul Hadi” anjuran NGO dikenali sebagai Bebas diadakan di Petaling Jaya, bagi menghimpun umat Islam dan bukan Islam untuk membantah RUU 355.

Peserta tak berganjak walau hujan lebat di Padang Merbok


Peserta Himpunan RUU 355 tidak berganjak walaupun hujan lebat di Padang Merbok sebentar tadi.
Pemerhatian FMT mendapati hujan lebat turun ketika pemimpin PAS, beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) dan NGO menunaikan solat maghrib berjemaah di ruang terbuka pada jam 7.28 malam tadi, yang disusuli solat hajat.
Antara pemimpin yang hadir adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki; Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri; Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden PAS, Idris Ahmad.
Jamil Khir yang sedang berucap di atas pentas ketika ini mengenai RUU 355 menyifatkan ia adalah hujan rahmat.

Hujan sekejap renyai-renyai dan tiba-tiba menjadi lebat tidak menghalang peserta Himpunan RUU 355 untuk terus berada di Padang Merbok bagi mendengar ucapan pemimpin.
RUU persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 yang dibawakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertujuan memperkasakan Mahkamah Syariah untuk menghukum pesalah Islam.
Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Khairuddin Aman Razali dilaporkan berkata, penyokong parti Islam itu menghadiri Himpunan RUU 355 di Padang Merbok hari ini demi mendapat ganjaran pahala, bukannya wang ringgit.
Katanya, kebanyakan penyokong PAS mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk datang ke ibu negara dan menghadiri perhimpunan itu.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohd Sukri Kaman dalam satu kenyataan berkata, kira-kira 20,000 orang menghadiri Himpunan RUU 355 di Padang Merbok, setakat jam 6 petang tadi.

Penjenayah saja takut RUU 355, kata sayap bukan Islam PAS


Dewan Himpunan Penyokong PAS Pusat (DHPP) berkata tiada sebab untuk rakyat Malaysia, termasuk orang bukan Islam takut kepada pindaan Rang Undang-undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) (RUU 355).
Pengerusinya, N Balasubramaniam berkata orang bukan Islam tidak perlu takut kerana Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan beragama untuk penganut agama lain.
“Mereka yang takut ialah sama ada penjenayah atau tauke judi, takut kehilangan pelanggan beragama Islam,” katanya ketika berucap di Himpunan RUU355 di Pandang Merbok yang berlangsung hari ini.
Himpunan RUU355, yang menjadi himpunan politik pertama untuk 2017, dianjurkan PAS dan beberapa kumpulan Islam bagi menunjukkan sokongan terhadap RUU persendirian Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi memperkasakan Mahkamah Syariah untuk menghukum pesalah Islam.
Seorang lagi penceramah bukan Islam, Sivan juga memberi ucapan bernada sama, dengan berkata ia tidak berkaitan dengan “orang Kristian dan Hindu”.
“Kita tidak boleh menyekat hak orang Islam (untuk memperkasakan mahkamah syariah).

“(Orang bukan Islam) yang tidak menyokong usaha ini boleh datang berjumpa saya, dan saya akan terangkan RUU ini tidak akan mengganggu hidup mereka,” katanya yang mewakili Persatuan Penceramah Bukan Islam Barisan Nasional (BN).
Antara kritikan terhadap usaha PAS itu ialah ia akan turut memberi kesan kepada orang bukan Islam di negara ini.
Himpunan hari ini menampilkan penceramah di kalangan pimpinan PAS serta pelbagai NGO, selain persembahan nasyid antaranya daripada kumpulan Nowseeheart dan Shoutul Amal.
Kelantan mengisytiharkan esok sebagai cuti peristiwa bagi menggalakkan penyokong mereka di negeri itu turut sama menyertai himpunan ini.
Satu lagi himpunan balas “Rakyat Malaysia tolak RUU Hadi” anjuran NGO dikenali sebagai Bebas diadakan di Taman Jaya, Petaling Jaya bagi menghimpunkan umat Islam dan bukan Islam untuk membantah RUU 355.
RUU 355 pertama kali dibentangkan di Dewan Rakyat pada 26 Mei lalu oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi memperkasakan mahkamah syariah dengan lebih banyak kuasa.
Pada 24 November lalu, Hadi meminta Dewan Rakyat menangguhkan perbahasan RUU 355 ke sidang berikut pada Mac ini bagi membolehkan pindaan dilakukan terhadapnya RUU itu.
Antara pindaan dicadangkan ialah hukuman “penjara tidak melebihi 30 tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau 100 sebatan” berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan yang boleh dijatuhkan mahkamah syariah ketika ini.

RUU355: 10 Salah Faham



1. Tidak libat bukan Islam
(Perlembagaan Persekutuan tetapkan Mahkamah Syariah tak boleh bicarakan bukan Islam)
2. Hukuman lebih berat (yg ada ringan sangat dan rendah, senang2 org bayar denda)
3. RUU355 tidak libatkan hudud.
4. 1000 Sebatan Syarie tak seberat 1 sebatan sivil (yg mencederakan)

Baca yang terperinci seterusnya...
1. Apa keperluan dipinda Akta 355?

Jawapan:
Cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) adalah untuk memperkasa Mahkamah Syariah yang ketika ini dibataskan kuasa hukuman kepada kadar maksimum penjara 3 tahun, denda RM5,000, 6 kali sebatan syar’ie.

Kali terakhir dipinda pada tahun 1984 peningkatan dari penjara 6 bulan dan denda RM1000.
Justeru hukuman yang ada sudah lapuk dan tidak langsung menggerunkan pesalah.
Apa yang dicadangkan hanyalah meningkatkan hukuman maksimum kepada apa hukuman yang selaras dengan hukum syarak selain hukuman mati.
Jumlah hukuman denda, penjara dan sebatan bakal ditentukan oleh Dewan Undangan Negeri.

2. Sebatan 100 kali adalah agak melampau?

Jawapan:
Kaedah sebatan Syariah jauh berbeza dengan sebatan Sivil.
Syarat sebatan Syariah tidak boleh mencederakan iaitu kaedah hayunan sebatan seolah-olah meletakkan buku di bawah ketiak yang tidak boleh jatuh tatkala menghayun.
Justeru 100 kali sebatan Syariah tidak sama dengan 1 kali sebatan Sivil yang boleh mencederakan.

3. Akta 355 memberi kesan secara tidak langsung kepada orang Bukan Islam

Jawapan:
Orang Bukan Islam tidak mungkin boleh dibicarakan di bawah Mahkamah Syariah kerana Perlembagaan Persekutuan menetapkan bidang kuasa Mahkamah Syariah hanya untuk umat Islam dan Akta 355, Seksyen 2 juga menjelaskan hanya orang Islam yang boleh dibicarakan dan dihukum di Mahkamah Syariah.

4. Akta 355 adalah pintu belakang ke arah melaksanakan Hudud.

Jawapan:
Akta 355 tiada perkaitan dengan pelaksanaan hukum Hudud. Pelaksanaan Hudud hanya berkait rapat dengan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan.
Contohnya bagi melaksanakan Hudud di Malaysia, sekurang-kurangnya tiga pindaan kepada beberapa bahagian dalam Perlembagaan perlu dilakukan dan bukan dengan meminda Akta 355 yang terhad kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah yang merujuk kepada kuasa-kuasa yang disenaraikan dalam Butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan

5. Apakah Perlembagaan boleh dipinda?

Jawapan:
Boleh dengan syarat undi majoriti iaitu 2/3 Ahli-Ahli Parlimen Dewan Rakyat bersamaan 148 daripada 222 orang Ahli Parlimen bersetuju menyokong satu-satu pindaan.
Realiti politik hari ini kalau digabungkan semua Ahli-Ahli Parlimen beragama Islam dari UMNO, PAS, PKR, PAN, PBB dan DAP hanya berjumlah 135 orang; tidak memenuhi bilangan majoriti untuk meminda Perlembagaan.
Bermakna Ahli-Ahli Parlimen Bukan Islam juga mempunyai hak dan kuasa bagi membolehkan hukuman Hudud dilaksanakan.

6. Apakah bahagian-bahagian penting dalam Perlembagaan Persekutuan yang perlu dipinda untuk laksana Hudud di Malaysia?

Jawapan:
Sekurang-kurangnya 3 bahagian Perlembagaan Persekutuan yang perlu dipinda:

(i). Senarai II Jadual Kesembilan untuk memasukkan tambahan bidang kuasa Jenayah ke dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah seperti yang terkandung dalam Butiran 1.
Sebagai contoh undang-undang jenayah seperti mencuri, merompak, merogol, bunuh, dan menyebabkan kecederaan (kesalahan yang wujud dalam Penal Code) terletak di bawah kuasa Persekutuan dan dalam bidang kuasa Mahkamah Sivil dan polis, penjara juga terletak di bawah Persekutuan.

(ii). Selain daripada pindaan pada Butiran 1, kebenaran Parlimen di bawah Perkara 76A juga perlu diperolehi bagi membolehkan negeri menggubal dan melaksanakan undang-undang Jenayah yang termaktub dalam senarai kuasa Persekutuan.

(iii). Perkara 8 juga perlu dipinda supaya tidak timbul isu pendiskriminasian dan ketidakadilan dan kesamarataan hak warga Malaysia yang dibezakan peruntukan undang-undang kerana berbeza agama. Dengan kata lain bagi membolehkan ada dua set undang-undang jenayah kepada orang Islam dan Bukan Islam.

7. Pindaan RUU 355 ini membolehkan undang-undang berbaur Hudud diperkenalkan.

Jawapan:
Hudud melibatkan hukuman yang menyentuh 6 jenis kesalahan;
4 bersifat individu atau dosa peribadi iaitu
Zina,
Menuduh Zina (Qazaf),
Minum Arak dan
Murtad,
manakala 2 lagi melibatkan kesalahan jenayah awam seperti
Mencuri dan
Merompak.
Sekarang ini pun 4 jenis kesalahan ini yang melibatkan dosa peribadi (Zina, Qazaf, Minum Arak dan Murtad) sudah ada peruntukan undang-undang di bawah kuasa negeri-negeri.
Akta 355 tidak melibatkan kesalahan jenayah awam seperti mencuri dan merompak yang merupakan bidang kuasa Persekutuan.
Jadi pindaan RUU hanya melibatkan peruntukan kesalahan-kesalahan sedia ada dalam enakmen jenayah negeri-negeri.

8. Ketidakadilan akan berlaku jika terjadi kejadian rogol yang melibatkan orang Islam dan Bukan Islam. Orang Islam dihukum di Mahkamah Syariah manakala bukan Islam di Mahkamah Sivil.

Jawapan:
Rogol bukan merupakan kesalahan jenayah di bawah bidang kuasa Negeri kerana ia terletak di bawah kuasa Persekutuan khususnya undang-undang Penal Code atau Akta Kanun Jenayah Persekutuan.

9. Perlaksanaan Hudud akan mewujudkan situasi rakyat berhadapan dengan dua set perundangan berkaitan jenayah yang bertentangan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Jawapan:
Soalan ini tidak berkautan kerana pindaan RUU Akta 355 tiada kaitan dengan Hudud mahupun hukuman jenayah di bawah Bidang Kuasa Persekutuan. Jadi tiada isu pertentangan dengan mana-mana Bahagian dalam Perlembagaan Persekutuan.

10. Kenapa bukan Pihak Kerajaan yang membentangkan RUU untuk meminda Akta 355?

Jawapan:
Kerajaan terikat dengan proses dan tertib apabila melibatkan pemerkasaan Mahkamah Syariah. Keutamaan ketika ini adalah untuk menaikkan taraf Mahkamah Syariah daripada 3 peringkat kepada 5 peringkat sebagaimana Mahkamah Sivil. Untuk itu, Menteri perlu mengadap semua Sultan-Sultan atau Raja Melayu untuk mendapat perkenan kerana kuasa agama terletak dibawah kuasa Raja-Raja Melayu. Setakat ini ada di kalangan Negeri yang belum bersetuju. Jika semua bersetuju barulah boleh dibentangkan di peringkat Majlis Raja-Raja Melayu sebelum dibawa ke Parlimen.

Dengan kata lain, walaupun Akta 355 adalah undang-undang Pesekutuan, namun ia adalah berkait secara langsung dengan bidangkuasa Mahkamah Syariah yang terletak di bawah Kuasa Sultan/ Raja-Raja. Terdapat banyak tertib langkah yang perlu dilalui oleh Menteri termasuk meyakinkan Jemaah Menteri yang terdiri dari Parti-parti bukan Islam. Justeru bagi mengelakkan kesukaran yg mungkin boleh menjejaskan perjalanan proses pindaan Akta 355 itu, adalah lebih mudah prosesnya jika ia dimulakan sebagai Usul Persendirian. Jika Dewan Rakyat meluluskannya untuk dibahaskan ia adalah kemahuan majoriti Rakyat dan bukannya kemahuan Kerajaan semata-mata. Kemahuan ini tidak sekali-kali menyentuh kuasa Raja-Raja kerana apa pun tahap maksimum hukuman yang diluluskan, pindaan muktamad masih perlu dilakukan di peringkat DUN.

Dalam konteks tertib yang sama berkaitan peningkatan Kuasa Hukuman Mahkamah Syariah yang hendak diperkasakan, Kerajaan terikat dengan prosedur serupa. Walau bagaimanapun Parti PAS dalam konteks ini tidak terikat dengan prosedur ini dan mereka bersungguh-sungguh mahu dipercepatkan RUU ini dibentangkan.

Jabatan Perdana Menteri