Showing posts with label saiful bukhari azlan. Show all posts
Showing posts with label saiful bukhari azlan. Show all posts

Friday, 15 December 2017

Saiful kesal Tun M politikkan kes liwatnya

KUALA LUMPUR: Mohd Saiful Bukhari Azlan kesal dengan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempolitikkan kes liwat membabitkan dirinya dan bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Saiful yang pernah berkhidmat sebagai pembantu Anwar, berkata walaupun kes itu sudah diputuskan mahkamah dan diadili dari sudut perundangan, Dr Mahathir tetap mempolitikkan perkara itu.

“Saya kesal apabila beliau terus mempolitikkan kes berkenaan dan seolah-olah tidak menghormati undang-undang.

“Sebagai bekas Perdana Menteri, beliau sepatutnya perlu tahu lebih baik, saya adalah mangsa perbuatan jenayah Anwar Ibrahim. Justeru, saya menggesa Tun Dr Mahathir menghormati keputusan mahkamah, katanya sebagai berkata dalam Facebook, hari ini.

Saiful berkata, kuasa dan cita-cita benar membutakan beliau terhadap fakta kes jenayah.

“Betapa mudah pemimpin itu melupakan prinsip dan makna keadilan semata-mata didesak kepentingan politiknya.

“Pada Oktober 2014, Tun Dr Mahathir menyatakan simpatinya terhadap saya. Ketika itu saya bersama isteri dan anak yang baru lahir, melawat beliau di Putrajaya.

“Benar kata orang dalam politik, tiada kawan sebenar atau musuh, yang ada hanyalah minat. Namun dek kerana kepentingan, boleh menjadikannya lebih buruk, menodai keadilan atau kebenaran jika lebih berkuasa,” katanya.

Anwar dituduh meliwat Saiful di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara di sini antara jam 3.10 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.

Thursday, 15 December 2016

Berkat Doa, Istiqamah selama 8 tahun, Mahkamah Buktikan saya Benar - Saiful Bukhari Azlan

Berkat doa, istiqamah dan sabar selama 8 tahun, pada hari ini, Mahkamah Persekutuan sekali lagi sebulat suara memutuskan bahawa dakwaan saya selama ini benar.

Saya dan keluarga menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan, hari ini.

Sebagai pengadu, saya  berharap dan mendoakan, perjalanan melalui proses mahkamah ini sudah sampai ke penghujungnya.

Walaupun realitinya, saya tahu ia bukanlah titik noktah bagi sesetengah pihak yang sentiasa menjadikan aduan saya sebagai modal politik mereka. Ia jelas di mana sejak akhir-akhir ini, gerakan dan kempen untuk membebaskan Anwar Ibrahim terus giat dijalankan.

Yang menyedihkan saya, ada pihak, serta beberapa tokoh yang selama ini saya sanjung, turut sama-sama berkempen untuk membebaskan beliau.

Mereka ini seakan tidak menghiraukan nasib dan perasaan saya selaku pengadu/mangsa yang menuntut keadilan dalam kes ini.

Ternyata pada mereka ini, kuasa dan survival politik lebih penting daripada keadilan seorang insan kerdil.

Apapun, saya anggap dan menerimanya  sebagai ujian dari Allah SWT buat diri saya agar saya terus Istiqamah, Sabar dan Tabah walau apa jua keadaan yang berlaku.

Sebagai hamba Allah SWT yang tidak sempurna ini, saya telah menjalankan tanggungjawab, menegakkan kebenaran agar saya tidak disoal di akhirat nanti.

Yang pasti, apa yang penting kini, saya dan keluarga ke hadapan.. Saya berdoa semoga Allah SWT terus memberi perlindungan, rezeki dan kemudahan dalam segala urusan saya.

Terima kasih kepada semua pihak yang telah bersama saya secara langsung atau tidak langsung selama ni. Allah sahaja mampu membalasnya.

Illahi Antal Maksudi Wa Ridhoka Mathlubi


SAIFUL BUKHARI AZLAN