Showing posts with label salleh keruak. Show all posts
Showing posts with label salleh keruak. Show all posts

Monday, 26 March 2018

Malaysia perlu politik matang - Salleh Keruak

Menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14), rakyat diminta tidak lagi mengamalkan politik adu domba dan fitnah sebaliknya beralih kepada politik matang.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata Malaysia adalah sebuah negara demokrasi yang memberi ruang kepada rakyatnya untuk menyertai politik.

“Mencapai tahap politik matang adalah tanggungjawab bersama. Hargailah kestabilan politik yang kita nikmati selama ini kerana kestabilan dan keamanan ini terlalu mahal harganya,” katanya menerusi catatan dalam laman blognya hari ini.



Menurut Salleh, masyarakat tidak lagi memerlukan politik adu domba, fitnah, pembunuhan karakter, dan juga penyebaran berita palsu kerana amalan buruk ini boleh merosakkan akal budi sebagai rakyat Malaysia yang berakhlak dan beradab.

“Kita boleh berbeza pendapat politik dan berada dalam parti berlainan, tetapi janganlah sampai ke tahap kita menyebar berita palsu tentang negara.

“Misalnya, menyebarkan berita tidak tepat tentang ekonomi negara, rasuah dan juga kadar jenayah tanpa menggunakan data betul,” katanya.

Salleh berkata kerajaan sudah mengeluarkan data rasmi, maka jangan mengambil contoh terpencil untuk menafikan kejayaan negara hanya kerana perbezaan pandangan politik.

“Inilah yang dimaksudkan kita meraikan perbezaan politik dan pendapat, tetapi janganlah sampai ke tahap mengabaikan kepentingan negara,” katanya.

Beliau berkata kerajaan komited menyekat amalan politik kotor dan fitnah yang boleh memudaratkan negara.

Wednesday, 21 February 2018

Pembangkang bohong, Malaysia makin maju, kata Salleh

salleh-malaysiaKUALA LUMPUR: Sudah tiba masanya pihak pembangkang menerima hakikat Malaysia telah berjaya dan dasar kerajaan dilaksanakan dengan berkesan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata pembangkang terus mengulangi pembohongan mengenai Malaysia yang kononnya bakal muflis tetapi laporan antarabangsa membuktikan ini tidak benar.
“Seringkali isu kejayaan ekonomi Malaysia dipolitikkan dan rakyat diberitahu sebaliknya daripada apa yang sebenarnya berlaku,” katanya dalam blog sskeruak.blogspot.my.
Salleh berkata masyarakat antarabangsa mengiktiraf pencapaian Malaysia dan dapat melihat negara sedang menuju ke arah yang betul.

Beliau menegaskan 43 ahli Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) memuji Malaysia kerana pencapaian ekonomi yang mengagumkan serta dasar perdagangan dan ekonomi yang berhemat.

Menurut laporan, ketika menyertai Kajian Semula Dasar Perdagangan Malaysia ke-7 yang berlangsung di Switzerland baru-baru ini, anggota WTO turut memuji Malaysia kerana secara aktif meneruskan keterbukaan perdagangan menerusi reformasi unilateral, pengaturan perdagangan serantau dan 2 hala serta penggubalan peraturan pelbagai hala.
“Anggota (WTO) turut mengakui kejayaan Malaysia dalam memperbaharui dan mempelbagaikan ekonominya menyumbang kepada pertumbuhan yang berterusan meskipun menghadapi pelbagai cabaran luar,” kata Salleh.

Menteri itu berkata pembaharuan ekonomi tidak mudah dan tidak boleh dilakukan secara jangka pendek.

“Ia memerlukan ketahanan dan kadang-kadang, dasar yang tidak popular demi untuk mencapai matlamat jangka panjang, terutamanya apabila cuba membetulkan kerosakan yang berlaku pada masa lalu,” katanya.

Wednesday, 25 October 2017

Salleh Keruak Bidas Dr M gelar Malaysia ‘Darul Penyangak’

Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad menggelar Malaysia sebagai ‘Darul Penyangak’ adalah satu penghinaan terhadap negara sendiri.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata amat tidak wajar bagi bekas perdana menteri itu menggelar negara ini dengan nama sebegitu kerana gelaran tersebut tidak patriotik dan di luar batas kewarasan berpolitik.
“Jikapun marah dengan kerajaan hari ini, Mahathir tidak sepatutnya menghina negara sendiri. Negara ini adalah negara kita bersama.
“Baik atau buruknya, maju atau mundurnya negara ini, kita perlu bersama mempertahankannya, bukan menghinanya,” tegas Salleh menerusi catatan terbaru di blog beliau hari ini.

Beliau berkata demikian bagi merujuk kepada catatan di blog Dr Mahathir yang menamakan Malaysia negara ‘Darul Penyangak’ berikutan pelaksanaan projek 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Salleh berkata Dr Mahathir sebenarnya mengulangi isu 1MDB dan GST itu dalam setiap tulisan dan ucapannya semata-mata supaya rakyat membenci Datuk Seri Najib Razak dan mahukan perdana menteri itu jatuh.
“Strategi Dr Mahathir ini seperti menyerang ular, iaitu ketuk kepala ular berulang kali supaya akhirnya ular menjadi lemah dan lumpuh. Itu sahaja yang Dr Mahathir mahu, iaitu menjatuhkan Najib. Inilah politik dendam yang tidak baik,” katanya.
Beliau berkata Najib sebenarnya sudah menjelaskan satu persatu berserta fakta mengenai 1MDB dan juga menerangkan mengenai rasional pelaksanaan GST.
“Dr Mahathir pasti tidak mendengar dan menerima sebarang penjelasan kerana matlamat beliau adalah untuk menjatuhkan PM Najib atas dendam politik, bukannya demi negara,” kata Salleh.