Showing posts with label sukan. Show all posts
Showing posts with label sukan. Show all posts

Friday, 8 June 2018

Demi Palestin, Argentina batal perlawanan persahabatan dengan Israel


PALESTIN: Palestin menyambut baik keputusan terbaharu pasukan bola sepak Argentina yang membatalkan perlawanan persahabatannya dengan Israel. Ketua Persatuan Bola Sepak Palestin, Jibril Rajoub berkata keputusan tersebut adalah satu langkah bijak yang dibuat pasukan dari negara latin itu. 

“Saya fikir ini adalah mengikut undang-undang Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan mengikut prinsip dan misi mereka untuk mempromosikan etika dan nilai, dan untuk membina jambatan antara negara dan bukan menjadi alat untuk tujuan politik. 


Untuk berita penuh sila klik di sini

18 pemain muda yang bakal bersinar pada Piala Dunia 2018

Piala Dunia 2018 yang akan berlangsung di Rusia kali ini akan menyaksikan bakat-bakat besar dunia bolasepak antarabangsa. Setiap kali kejohanan juga akan menyaksikan bintang muda memperlihatkan bakat mereka dan menempa nama.
Banyak kelab-kelab besar dunia yang menanti peluang ini untuk memilih pemain yang akan mereka beli pada musim perpindahan pemain akan datang. Di sini kami ingin kongsikan bersama anda beberapa pemain muda di bawah usia 22 tahun yang akan menjadi perhatian sepanjang kejohanan berlangsung.

18. Goncalo Guedes – Portugal (PSG)

goncalo guedes
Pemain sayap berusia 21 tahun ini mempunyai gaya larian langkah kecil seperti Christiano Ronaldo. Dipinjamkan dari PSG kepada Valencia, pemain muda ini mula mencipta nama di kalangan peminat tempatan dengan penampilan sebanyak 33 perlawanan dan menjaringkan 5 gol.
Kini Guedes yang berharga sekitar £36 juta (RM191 juta) akan menjadi perhatian semasa Piala Dunia 2018. Terdapat beberapa kelab yang berminat untuk mendapatkan khidmat pemain muda ini pada perpindahan musim panas yang akan datang.

17. Albert Gudmundsson - Iceland (PSV)

albert gudmundsson
Pemain posisi sayap kanan berusia 20 tahun ini diberi kepercayaan apabila tersenarai sebagai wakil negara Iceland pada Piala Dunia 2018 di Russia. Gudmundsson memulakan kariernya bersama PSV pada tahun 2015.
Gudmundsson sebenarnya lahir di dalam keluarga bolasepak profesional. Dia merupakan anak kepada bekas penyerang Iceland iaitu Guomundur Benediktsson. Ibunya pula anak kepada Ingi Björn Albertsson, juga bekas penyerang negara Iceland, manakala bapa kepada Ingi pula iaitu Albert Guðmundsson merupakan bekas penyerang AC Milan dan Arsenal.

16. Youri Tielemans - Belgium (Monaco)

youri tielemans
Salah seorang pemain muda yang disenaraikan di dalam “Pasukan Emas” Belgium, Tielemans yang berumur 21 tahun itu mula bersinar bersama Anderlecht sebelum berpindah ke Monaco tahun lepas.
Dia adalah seorang pemain tengah yang mempunyai kreativiti tinggi dengan pelbagai hantaran yang unik. Piala Dunia 2018 bakal menjadi pentas untuknya bersinar dengan lebih lagi.

15. Wilfred Ndidi - Nigeria (Leicester City)

wilfred ndidi
Ketibaannya di Leicester City bukanlah mudah apabila perlu mengisi tempat kosong yang ditinggalkan oleh N’Golo Kante, namun Ndidi berjaya menyesuaikan diri setelah 18 bulan berada di sana.
Ndidi yang juga merupakan pemain utama pasukan Nigeria walaupun hanya berusia 21 tahun. Dia bukan sahaja berbakat sebagai pemain tengah malah juga terkenal dengan pelbagai gaya menyerangnya yang berbahaya bagi pertahanan lawan.

14. Lee Seung-Woo – Korea (Hellas Verona)

lee seung woo
Pada usia 13 tahun, Seung-Woo yang diberi gelaran “Messi Asia” telah menarik perhatian pencari bakat dan telah menandatangani kontrak bersama pasukan muda Barcelona pada tahun 2011. Dia kemudiannya menyertai Hellas Verona pada tahun 2017.
Pasukan Korea Selatan telah kehilangan 2 pemain utama akibat kecederaan dan ini membuka lebih peluang kepada “Messi Asia” ini untuk membuktikan bakatnya di dalam kejohanan Piala Dunia 2018 Russia.

13. Achraf Hakimi – Morocco (Real Madrid)

achraf hakimi
Pemain pertahanan kanan Real Madrid yang berusia 19 tahun dan berketurunan Morocco ini lahir di Madrid. Dia pernah mewakili negara Morocco untuk pasukan bawah 17, 20 dan juga 23 tahun sebelum menyertai pasukan senior pada 2016 ketika hanya berumur 16 tahun.
Dia mula menyertai akademi muda Real Madrid ketika berusia 8 tahun dan mula mendapat tempat di dalam pasukan utama pada Disember 2017 apabila menggantikan Dani Carvajal dan dia berjaya menjaringkan gol pertamanya.

12. Aleksandr Golovin – Russia (CSKA Moscow)

aleksandr golovin
Pemain yang baru sahaja beberapa hari menyambut hari lahir ke-22 ini menggalas tanggungjawab yang besar apabila Russia menjadi tuan rumah kejohanan Piala Dunia 2018 yang akan datang.
Golovin yang merupakan penyerang CSKA Moscow kini menjadi sasaran kelab-kelab besar yang lain di Eropah. Dengan kepantasan dan ketepatan sepakannya, dia mungkin akan menjadi pemain yang akan menyinar.

11. Davinson Sanchez – Colombia (Tottenham Hotspur)

davinson sanchez
Pemain pertahanan berusia 21 tahun ini menjadi pilihan pengurus pasukan Spurs iaitu Mauricio Pochettino apabila dibeli dari Ajax Amsterdam dengan yuran perpindahan sebanyak £42 juta (RM 224 juta).
Sanchez akan mengetuai pertahanan pasukan Colombia pada kejohanan Piala Dunia 2018 di Russia bersama Muriel dan Zuniga. Gabungan ini akan memberikan pertahanan yang kuat kepada pasukan dari Amerika Selatan ini.

10. Marco Asensio – Sepanyol (Real Madrid)

marco asensio
Pemain tengah berusia 22 tahun ini pernah menjadi bintang kepada pasukan remaja Sepanyol bawah 21 tahun. Dia menyertai Real Madrid pada tahun 2014 ketika berusia 18 tahun.
Bekas pengurus Real Madrid iaitu Zinedine Zidane pernah mengatakan bahawa Asensio merupakan salah seorang pemain kaki kiri terbaik dunia selepas Lionel Messi. Kini dia perlu membuktikan bakatnya setelah terpilih mewakili Sepanyol di Piala Dunia 2018.

9. Trent Alexander-Arnold - England (Liverpool)

trent alexander arnold
Pemain pertahanan England ini merupakan pemain muda yang diserap oleh Jurgen Klopp untuk untuk beraksi bersama pasukan senior Liverpool. Kini Alexander-Arnold yang hanya berusia 19 tahun telah tersenarai untuk mewakili negara di Piala Dunia 2018.
Pemain tengah yang lincah serta memiliki kebolehan hantaran bola yang cantik ini dilihat sangat sesuai dengan tempo permainan menyerang pasukan England. Kini pemain muda yang masih tinggal bersama ibunya ini tidak sabar untuk mempamirkan bakatnya di Piala Dunia 2018.

8. Hirving Lozano - Mexico (PSV)

hirving lozano
Pemain sayap kiri yang berusia 22 tahun ini telah membuktikan kebolehannya apabila telah menjaringkan 17 gol dan 8 bantuan untuk PSV menjuarai liga Eredivisie. Pemain yang digelar “Chucky” ini mempunyai purata 3.4 sepakan ke arah gol an 2.6 hantaran penting setiap perlawanan.
Kini dia Lozano tersenarai untuk mewakili Mexico bagi Piala Dunia 2018 dan formasi 4-3-3 yang digunapakai oleh pengurus Mexico iaitu Juan Carlos Osorio dilihat sangat berguna untuk dia menyerlah.

7. Andreas Christensen - Denmark (Chelsea)

andreas christensen
Pemain pertahanan berusia 22 tahun ini sudah terkenal di kalangan peminat “The Blues”. Pada musim lepas dia telah membuat 27 penampilan bersama pasukan Chelsea dan menjadi pilihan berbanding David Luiz yang hanya membuat 10 penampilan sahaja.
Pemain pertahan ini juga mempunyai kebolehan hantaran cantik dengan purata 50 hantaran setiap perlawanan dengan kejayaan 93.4%. Formasi 4-4-2 yang diguna pakai Denmark dilihat sebagai peluang cerah untuk Christensen beraksi di Piala Dunia 2018.

6. Rodrigo Betancur – Uruguay (Juventus)

rodrigo betancur
Karier Betancur bermula di Argentina bersama Boca Juniors pada 2015-2017. Kemudian dia berpindah untuk beraksi di Seria A bersama pasukan Juventus pada 1 Julai 2017. Dia kini diberi kepercayaan untuk beraksi bersama pasukan Uruguay di Piala Dunia 2018.
Pemain tengah yang tinggi lampai dan mempunyai fizikal yang mantap ini dilihat mampu memberi cabaran yang sengit bagi pasukan lawan. Betancur membuat kejutan apabila disenaraikan Juventus ketika menentang Real Madrid pada liga juara-juara Eropah 2018.

5. Marcus Rashford – England (Manchaster United)

marcus rashford
Penyerang berusia 20 tahun ini sudah tidak perlu diperkenalkan lagi. Dia yang menyertai Mancherster United ketika berumur 18 tahun membuktikan dirinya layak untuk bermain bersama bintang besar yang lain.
Karier bersama pasukan negaranya juga dilihat menakjubkan apabila menjaringkan gol seawal minit ke-3 pada penampilan sulungnya. Ini menjadikan Rashford sebagai pemain termuda menjaringkan gol untuk negara pada penampilan pertama.

4. Timo Werner – Germany (RB Leipzig)

timo werner
Timo Werner merupakan bintang baru Germany yang melonjak naik namanya menerusi persembahan hebat bersama pasukan RB Leipzig di Bundesliga. Dia pernah menjadi pemain termuda menjaringkan gol bersama pasukan lamanya VfB Stuttgart sebelum berhijrah pada tahun 2016.
Penyerang berusia 22 tahun ini dilihat sebagai calon pemenang anugerah Kasut Emas berdasarkan gaya menyerangnya yang sukar dihalang. Ini ditambahkan lagi dengan ramai bintang yang berada di dalam senarai pasukan Germany untuk Piala Dunia 2018.

3. Ousmane Dembele – Perancis (Barcelona)

ousmane dembele
Pemain sayap kanan Barcelona yang berusia 21 tahun ini merupakan pemain ke-4 dengan yuran pemindahan paling tinggi. Dia dibeli dari Borussia Dortmund untuk menggantikan Neymar yang dijual ke PSG.
Dia berjaya menjaringkan banyak gol dan membantu jaringan gol walaupun hanya semusim bersama Dortmund. Kini disenaraikan bersama pasukan Perancis yang mempunyai ramai bintang, sudah pasti kelibat pemain ini dinanti-nantikan.

2. Gabriel Jesus - Brazil (Manchester City)

gabriel jesus
Pemain berusia 21 tahun ini telah mencipta nama bersama kelab besar dunia iaitu Manchester City. Dia telah menjaringkan 13 gol dan 3 bantuan gol pada musim lepas walaupun mengalami kecederaan di lutut dan gagal menjaringkan sebarang gol sebanyak 14 perlawanan berturut-turut.
Pada Piala Dunia 2018, Jesus telah disenaraikan bersama beberapa bakat besar seperti Neymar, Coutinho dan Willian untuk menerajui serangan pasukan Brazil. Dia telah membuktikan bakatnya di peringkat liga kini tiba masanya untuk peringkat antarabangsa pula.

1. Kylian Mbappe - Perancis (Paris Saint-Germain)

kylian mbappe
Kylian Mbappe yang hanya berumur 19 tahun ini merupakan pemain muda yang disebut-sebut akan menyinar di pertandingan Piala Dunia 2018 di Russia. Dia yang merupakan pemain muda termahal dunia kini beraksi bersama kelab juara Ligue 1 iaitu PSG.
Jurulatih pasukan Perancis iaitu Didier Deschamps telah menyenaraikan Mbappe di dalam pasukan negara bersama beberapa bintang besar yang lain. Perancis dilihat sebagai salah satu pasukan pilihan pada kejohanan dunia kali ini.
Rujukan :

Friday, 1 June 2018

RTM & Astro, Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Hak Penyiaran Piala Dunia?

Apabila Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh mengumumkan bahawa RTM akan menyiarkan kejohanan Piala Dunia, ramai peminat bola sepak di negara kita bersorak gembira. Tak kurang juga ada yang menganggap ini sebagai pukulan maut kepada Astro.
Yalah, katanya buat apa nak langgan Astro lagi kalau boleh tengok Piala Dunia di RTM yang percuma. Dan apabila saham Astro jatuh 15% pada 28 Mei lalu, (kejatuhan tertinggi semenjak penyenaraiannya di Bursa pada Oktober 2012), ada penganalisis mengandaikan ianya adalah disebabkan pengumuman ini. Lebih-lebih lagi, Gobind Singh sendiri menekankan bahawa tujuan ini dilakukan adalah untuk menaikkan “rating”  penonton terarah kepada RTM.
Namun begitu, realiti dan hakikatnya adalah berbeza dari majoriti antara kita sangkakan. Ini selepas penerangan daripada pihak Astro sendiri berkenaan hak penyiaran ini.
Asasnya, hak penyiaran ini dimiliki oleh FIFA, yang kemudiannya mereka akan “appoint” beberapa syarikat untuk memasarkannya. Dan kemudian, syarikat-syarikat media akan berurusan dengan orang tengah ni untuk mendapatkan hak penyiaran Piala Dunia.
Menurut pihak Astro, ada dua jenis hak penyiaran perlawanan Piala Dunia ni. Satu, TV berbayar (Pay TV). Dua, percuma (“free-to-air”).
Bagi hak penyiaran bagi segmen TV berbayar di Malaysia ini dipegang oleh Astro. Hak ini bukanlah percuma saja mereka dapat. Ada bayaran yang bukan sedikit jumlahnya telah mereka keluar untuk membeli hak ni dari FIFA.
Hasilnya, mereka boleh menyiarkan 64 perlawanan Piala Dunia 2018. Dan salah satu cara untuk mendapatkan balik pulangan daripada ‘pelaburan’ ni, Astro pun juallah pakej Piala Dunia kepada rakyot Malaysia untuk melanggan. Selain daripada tu, Astro kutiplah pendapatan dari segi pengiklanan oleh syarikat-syarikat korporat.
Anda faham sampai ke bahagian ni? Ok, kalau faham sila teruskan.
Hak penyiaran bagi segmen percuma ini pula di bawah syarikat MLeague Marketing. Dan untuk kerajaan menyiarkan perlawanan Piala Dunia di RTM, mereka kena “nego” dulu dengan syarikat ini.
Pada Mac lepas, seorang jurnalis, Haresh Deol mendedahkan RTM telah ditawarkan untuk mendapatkan hak ini dengan harga RM31 juta. Jumlah ini adalah peningkatan sebanyak RM10 juta yang dikeluarkan oleh kerajaan bagi menyiarkan perlawanan Piala Dunia di RTM empat tahun dulu.
Jadinya, pihak tertinggi kerajaan (ketika itu) masih lagi ding dong ding dong pasal nak bagi kelulusan. Khabarnya, kerajaan (ketika itu) takut-takut nak “commit” untuk keluarkan jumlah perbelanjaan sebesar ini. Lagi pula, masa tu nak dekat Pilihan Raya Umum ke-14.
Oh ya, hak penyiaran bagi segmen percuma ini bukanlah meliputi semua 64 perlawanan seperti yang disangka oleh ramai peminat bola sepak. Hak penyiaran ni adalah meliputi sebilangan perlawanan sahaja. Daripada jumlah ini, hanya sebahagian saja boleh disiarkan secara langsung. Manakala selebihnya perlu disiarkan secara tertunda.
Kenapa jadi macam ni?
Ok. Secara logiknya, FIFA akan jaga geng-geng TV berbayar. Yalah, mahal kot geng-geng ini dah keluar duit. Maka FIFA pasti akan utamakan hak penyiaran TV berbayar berbanding hak penyiaran percuma. Dan di pihak TV berbayar pun dah “ready” siap-siap klausa untuk jaga kepentingan ‘pelaburan’ mereka daripada di’sailang’ oleh orang lain.
Sebab itulah, Gobind Singh sendiri umumkan RTM mungkin bakal siarkan 41 perlawanan Piala Dunia 2018 sahaja. Dan dari 41 ni, 27 daripadanya adalah siaran langsung. Manakala baki 14 lagi adalah secara tertunda.
Dan benda ni bukan baru pun. Sebelum ni, RTM juga tak dapat siarkan keseluruhan perlawanan Piala Dunia. Pada Piala Dunia 2014, RTM hanya siarkan 35 perlawanan, dengan 24 merupakan siaran langsung dan 11 lagi adalah siaran tertunda.
Jadi toksah lah mimpi dapat percuma nak tengok kesemua perlawanan Piala Dunia secara langsung dari RTM.
Untuk rekod, RTM ni dah siarkan kejohanan Piala Dunia sejak dari 1974 lagi. Cumanya, ada gangguan sikit pada tahun 1982 apabila negara di bawah pimpinan Dr Mahathir masa tu tak ada duit nak beli hak penyiaran ni. Jadinya, rakyat Malaysia dan syarikat korporat beramai-ramai menghulurkan dana untuk “support” RTM beli hak penyiaran ni.
Sekarang anda dah tahu?
Sumber:
New Straits Time, 2018, World Cup ‘competition’ pushes Astro shares down?
The Star, 2018, Two types of broadcasting rights
Haresh Deol, 2018, RTM still tackling pricey World Cup TV rights

Thursday, 31 May 2018

FIFA 18 Ramal Perancis Juara Piala Dunia 2018

Hanya beberapa minggu lagi sebelum piala dunia FIFA akan berlangsung. Pada 14 Jun sehingga 17 Julai, pastinya ramai yang akan bersengkang mata menyaksikan kejohanan yang hanya muncul 4 tahun sekali ini.

Untuk ‘menghangatkan’ lagi suasana, pihak EA Sports melalui permainan video paling terkenal di kalangan peminat bola sepak, FIFA 18 membuat ramalan awal untuk Piala Dunia FIFA 2018, dengan memilih skuad Perancis sebagai Juara.

Seperti yang peminat sedia maklum, skuad kebangsaan Perancis adalah antara yang terkuat dalam kejohanan kali ini. Nama-nama besar seperti Benzema tidak tersenarai walaupun membuat jaringan ketika perlawanan akhir Liga Juara-Juara hujung minggu lalu.

Untuk tahu betapa tepatnya ramalan EA Sports FIFA ini, Mereka meneka betul juara untuk tahun 2010 dan 2014 iaitu Sepanyol dan Jerman. Antara ramalan lain yan dibuat adalah Belgium akan menewaskan Brazil 2-0 di pusingan kedua, Sepanyol akan berada di tangga ketiga menewaskan Belgium 2-1 dan Perancis menewaskan Jerman di perlawanan akhir.

Jadi adakah ramalan EA Sports kali ini benar untuk 3 kejohan berturut-turut? Sama-sama kita nantikan.

Friday, 23 February 2018

Apa Sudah Jadi Dengan Pasukan Bola Sepak Pulau Pinang ?

Pasukan Pulau Pinang memulakan kempen Liga Perdana musim ini dengan hanya mengutip satu kemenangan daripada tiga perlawanan. Kini, situasi terkini pasukan menjadi tanda tanya apabila ada kumpulan penyokong yang diberi nama “Penang Brotherhood” telah menyerahkan sejumlah wang kepada pegawai Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP). Adakah ini bermakna pasukan Pulau Pinang ketika ini sedang mengalami masalah kewangan ? Apa sudah jadi dengan pasukan Penang ?
Di laman media sosial Penang Brotherhood, dilihat memang terdapat permasalahan yang sedang dihadapi pasukan Pulau Pinang ketika ini. Anda boleh lihat “post” Penang Brotherhood di Facebook.



Jika kita melihat kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Penang Brotherhood, nampak gayanya pasukan Harimau Kumbang ketika ini sedang mengalami masalah kewangan. Kumpulan penyokong ini juga meminta bantuan daripada kerajaan negeri agar kerajaan negeri pimpinan Lim Guan Eng mampu untuk meringankan sedikit beban yang sedang ditanggung oleh pasukan. Selain itu, Penang Brotherhood juga dilihat mengutip sumbangan daripada peminat yang lain ketika perlawanan Piala Belia antara pasukan Pulau Pinang menentang pasukan PKNP FC.
Walau apapun, kami mahu mengucapkan tahniah kepada kumpulan penyokong ini kerana telah mengeluarkan satu inisiatif ketika pasukan kesayangan mereka sedang mengalami masalah. Tindakan kumpulan penyokong ini mengutip derma bagi membantu pasukan mereka mengingatkan kami kepada situasi yang pernah dialami oleh kelab England satu ketika dulu iaitu Portsmouth yang pernah mengalami krisis kewangan namun penyokong mereka berjaya mengelakkan pasukan kesayangan mereka daripada dibubarkan dengan mengutip derma dari kalangan penyokong yang lain. Kami berharap permasalahan ini akan segera diselesaikan dan pasukan bimbingan Zainal Abidin Hassan ini boleh beraksi dalam saingan Liga Malaysia dengan tenang. SUMBER

Monday, 8 January 2018

Khairy bidas janji PH siar perlawanan bola sepak antarabangsa di RTM


Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin membidas janji pakatan pembangkang untuk memberikan hak penyiaran bola sepak luar negara kepada Radio Televisyen Malaysia (RTM) sekiranya mereka menang pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Beliau berkata ia merupakan janji baharu pemuda Pakatan Harapan (PH) untuk memikat hati golongan muda.

“Mereka berjanji perlawanan bola sepak Liga Inggeris dan Sepanyol akan disiarkan secara langsung oleh RTM. Saya ada bertanya kepada rakan saya di stesen tv berapakah kosnya untuk menyiarkan perlawanan secara langsung, dan hak penyiaranan ini melalui proses bidaan… setiap tahun bidaan mencecah ratusan juta ringgit, mungkin lebih daripada RM100 juta.

“Kalau diberikan kepada RTM, siapa yang akan bayar? Akhirnya menggunakan wang rakyat. Katakanlah nak bersiaran kena bayar RM200 juta, takkan nak belanja begitu sahaja?” katanya pada majlis pelancaran jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) Parlimen Jelebu, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi BN Jelebu Datuk Jalaluddin Alias, timbalan pengerusi Baharudin Jali, pemimpin parti komponen BN Jelebu dan 6,000 ahli BN Jelebu.


Pemuda PH pada konvensyennya semalam menjanjikan siaran perlawanan bola sepak antarabangsa termasuk Liga Perdana Inggeris di RTM, jika pembangkang memperoleh mandat mentadbir negara selepas PRU14 nanti.

Menyifatkan janji itu tidak masuk akal dan bertanggungjawab, Khairy yang juga ketua Pemuda BN dan Umno berkata adalah lebih baik duit yang hendak digunakan untuk membuat siaran langsung perlawanan bola sepak itu digunakan membina kompleks sukan di seluruh negara bagi manfaat rakyat keseluruhan.

Khairy dalam pada majlis itu turut mengumumkan pembinaan sebuah kompleks sukan baharu.

“Kita akan tenderkan kerja ini secepat mungkin dan kalau dapat kita tender dalam masa terdekat, 18 bulan boleh siap.

“Ia akan dibina dengan kos sebanyak RM8 juta,” katanya.

Kompleks sukan itu adalah permintaan daripada Jalaluddin yang menurutnya merupakan permintaan daripada golongan muda di Jelebu.

Tuesday, 2 January 2018

Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) bakal berdepan risiko dikenakan tindakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA)


Akhbar tempatan, Berita Harian hari ini melaporkan Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP)  bakal berdepan risiko dikenakan tindakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) apabila bekas pemain importnya, Reinaldo Lobo mendakwa isu tuntutan tunggakan gajinya masih belum selesai.
Menurut Lobo, dia tidak akan bertolak ansur lagi kepada bekas majikannya itu selepas sekian lama menunggu untuk menyelesaikan isu berkenaan secara profesional.

“FAP masih berhutang enam bulan gaji kepada saya. Ia bukan satu jumlah yang kecil, sedikit sebanyak menjejaskan kehidupan saya kerana bola sepak adalah sumber pendapatan untuk menyara keluarga.

“Saya sudah cuba menyelesaikan isu itu dengan berunding tapi tiada apa-apa tindakan dilakukan oleh FAP. Mereka hanya mendiamkan diri.

“Seboleh-bolehnya saya tidak mahu memanjangkan isu ini hingga ke FIFA. Tapi, selepas bertolak ansur serta menunggu, saya rasa tindakan ini adalah jalan terakhir untuk menuntut hak saya.
“Saya juga turut membuat tuntutan melalui FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia). Kini, saya masih menunggu tindakan daripada kedua-dua badan induk itu,” ujar Lobo.

Pemain kelahiran Brazil itu adalah antara tulang belakang Pulau Pinang sejak  tahun 2015 dan membantu pasukan berkenaan naik ke Liga Super 2016.
Namun, kecederaan serius yang dialaminya memaksa Harimau Kumbang menyisihkan Lobo pertengahan musim lalu tanpa menamatkan kontrak.

“Selama tiga musim memberi komitmen 100 peratus kepada pasukan, saya sedih apabila dilayan sebegini terutama selepas mengalami kecederaan.
“Saya masih sayangkan Pulau Pinang, jika boleh mahu terus bersama mereka walaupun kini kembali bermain di Liga Perdana. Tapi dengan apa yang terjadi, saya perlu mencari haluan baru,” katanya kepada Berita Harian.

Kenyataan Lobo itu sekali gus menafikan spekulasi dia akan kembali memperkukuhkan skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan musim 2018.
Beliau sebelum ini menolak tawaran dari kelab Thailand dan Indonesia kerana ingin menghormati kontraknya dengan pasukan Pulau Pinang.

“Saya ada menerima beberapa tawaran menarik daripada kelab Malaysia, Thailand dan Indonesia. Tetapi sebagai menghormati kontrak bersama Pulau Pinang, saya tangguhkan perbincangan sehingga saya bebas daripada sebarang ikatan selepas 30 November lepas.

“Tapi, ternyata Pulau Pinang sudah tidak memerlukan khidmat saya. Walaupun kecewa saya menerimanya dengan hati terbuka.,” katanya.

SUMBER

Thursday, 16 November 2017

Pengurusan FAP rosakkan Harimau Kumbang: Datuk Shukor Salleh

KUALA LUMPUR: Kemerosotan pasukan bola sepak Pulau Pinang hingga tersungkur ke Liga Perdana selepas hanya dua musim beraksi dalam Liga Super berpunca daripada pengurusan yang 'terlebih pandai'.

Bekas pemain dan jurulatih pasukan itu, Datuk Shukor Salleh berkata, senario itu berlaku kerana ia ditadbir urus oleh mereka yang tidak tahu apa-apa mengenai bola sepak tetapi berlagak lebih tahu berbanding pakar.

"Saya sebenarnya sudah malas nak ulas mengenai bola sepak Pulau Pinang kerana terlalu kecewa. Sebagai anak jati negeri ini malah pernah bermain dan melatih pasukan itu, saya turut berasa malu.

"Pasukan ini tidak sepatutnya jatuh ke Liga Perdana kerana dari segi kewangan mereka mendapat sokongan penuh kerajaan negeri. Saya difahamkan mereka diberi dana sebanyak RM34.5 juta.

"Dengan dana sebanyak itu, mereka mampu mendapatkan pemain yang bagus untuk memperkukuhkan pasukan. Tapi apa yang berlaku, mereka membazir dengan membeli pemain import yang tidak berkualiti.

"Lebih memburukkan keadaan mereka juga mengambil jurulatih (Ashley Westwood) yang tidak bagus. Bila Zainal (Abidin Hassan) mengambil alih, keadaan sudah terlambat.

"Ini semua berlaku kerana pengurusan FAP (Persatuan Bolasepak Pulau Pinang) tidak ada latar belakang bola sepak tapi berlagak terlebih pandai daripada pakar," ujar legenda bola sepak negara itu.

Selain menggunakan khidmat Westwood, pasukan bergelar Harimau Kumbang itu dilengkapi pemain import, Reinaldo Lobo (Brazil), Diogo Ferreira (Australia), Andy Russell (Hong Kong) dan Nigel Dabingyaba (Papua New Guinea).

Bagaimanapun Lobo, Ferreira dan Russell kemudian digantikan oleh Brandon McDonald, Mark Hartmann dan Sanna Nyassi semasa jendela perpindahan pada pertengahan musim lalu.

Namun ia gagal mengubah nasib Pulau Pinang yang menduduki tangga tercorot dengan hanya mengutip 12 mata daripada 22 perlawanan serta tersingkir ke Liga Perdana.

Shukor turut menempelak sikap sambil lewa FAP dalam membentuk pasukan untuk menghadapi musim 2018.

Ia terbukti apabila mereka masih belum memilih presiden baru selepas Zairil Khir Johari meletak jawatan pada 9 Oktober lalu.

"Bagaimana mereka hendak bergerak jika presiden pun tidak ada. Ketika pasukan lain rancak membuat persiapan, Pulau Pinang masih 'tidur' seolah-olah tidak ada apa-apa berlaku.

"Kalau beginilah, tidak mustahil mereka akan jatuh pula ke Piala FAM seperti sebelum ini," kata Shukor merujuk kepada sejarah pasukan itu yang pernah beraksi dalam pertandingan kelas ketiga itu pada musim 2012 dan 2013- BH

Monday, 16 October 2017

Moto2: Hafizh Syahrin Johan di Litar Misano

Pada perlumbaan di Misano yang telah dimenangi oleh Dominic Aegerter yang merupakan kemenangan pertama pasukan Kiefer Racing telah dibatalkan oleh FIM, ini  kerana FIM mendakwa Dominic Aegerter serta pasukan beliau telah menggunakan minyak diluar spesifikasi dalam peraturan FIM. Keputusan rasmi telah dikeluarkan ini bermakna satu-satunya kemenangan yang dimenangi oleh pasukan tersebut sepanjang musim ini tidak akan diiktiraf.
Dengan pembatalan kemenangan tersebut, Thomas Luthi telah diangkat sebagai pemenang kejohanan di Misano diikuti pelumba negara Hafizh Syahrin untuk posisi ke-2, manakala Francesco Bagnaia menduduki tempat ke-3. Ini adalah satu berita yang memeranjatkan semua pihak, dengan ini pencapaian Hafizh yang terbaik adalah ketika perlumbaan di Misano.
Thomas Luthi juga semakin hampir untuk mengejar kejuaraan kejohanan dengan hanya perbezaan 19 mata di belakang Franco Morbidelli. Situasi ini juga pernah berlaku pada pelumba Itali, Mattia Pasini atas penggunaan minyak diluar spesifikasi yang disarankan.
sumber – crash.net, FIM

Monday, 9 October 2017

Zairil Khir Johari akhirnya letak jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP)

Zairil Khir Johari meletakkan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP), berkuat kuasa serta-merta.

Anggota parlimen Bukit Bendera itu berkata, beliau mengambil tanggungjawab untuk meletakkan jawatan berikutan pretasi hambar ditunjukkan pasukan itu musim ini.

"Justeru, saya selaku presiden FAP mengambil tanggungjawab penuh terhadap kegagalan pasukan Pulau Pinang musim ini dan meletak jawatan sebagai presiden berkuat kuasa serta-merta.

untuk rekod, Zairil dilantik menerajui FAP bagi mengantikan Datuk Nazir Ariff Munshi Ariff yang meletakkan jawatan Januari lalu.

Meskipun pelbagai strategi dilakukan, Pulau Pinang menunjukkan pretasi hambar dan tersingkir daripada saingan Liga Super 2017 setelah beraksi selama dua musim.
Sehubungan itu, skuad Harimau Kumbang akan menghadapi saingan 100Plus Liga Premier pada musim hadapan.
Skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu dinaikkan ke saingan Liga Super pada musim 2016 selepas berjaya menduduki tangga ke-2, Liga Perdana Malaysia pada musim 2015.

Tuesday, 29 August 2017

Azizulhasni sumbang emas 111

Azizulhasni Awang menerima penghormatan apabila meraih emas ke-111 untuk kontinjen negara selepas menjuarai acara 200 meter pecut di Velodrom Nasional di sini sebentar tadi.

Pada aksi final, Azizulhasni yang diberi gelaran thepocketrocketman, 29, menewaskan rakan senegara, Mohd. Shah Firdaus Sahrom, 22, untuk menjelmakan emas individu pertamanya di Sukan SEA dan keenam untuk skuad basikal trek negara pada temasya kali ini.


Terdahulu, emas no. 110 hadir melalui Fatehah Mustapa yang seperti dijangka, tidak menghadapi masalah untuk menjuarai acara 200 meter pecut wanita.

Pada aksi final, Fatehah, 28, menewaskan rakan senegara, Farina Shawati Mohd. Adnan, 21.

Thursday, 24 August 2017

Ganjaran Buat The Speedy Jantan




MELAKA – Kerajaan Negeri Melaka akan memberikan ganjaran sebagai menghargai sumbangan jaguh pecut negara, Khairul Hafiz Jantan yang mengharumkan nama Malaysia pada Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, bentuk ganjaran yang bakal diberikan akan ditentukan selepas pelari berusia 19 tahun itu menamatkan semua acara yang disertainya pada temasya dwitahunan itu.

“Kerajaan negeri akan memberikan ganjaran yang setanding dengan jasa yang telah dicurahkan anak muda kelahiran Merlimau, Jasin itu.

“Tahniah buat Khairul Hafiz atas pencapaian memenangi pingat emas 100 meter pada Sukan SEA Ke-29 dan kerajaan negeri mengiktiraf pencapaian beliau sebagai sebuah sumbangan besar kepada negeri juga negara,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri Melaka di Ayer Keroh di sini, semalam.

Kelmarin, Khairul Hafiz muncul mengungguli acara 100 meter Sukan SEA Ke-29 selepas melintas garisan penamat dalam masa 10.38s, mengatasi juara bertahan Eric Cray dari Filipina yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan catatan 10.43s.

Khairul Hafiz akan beraksi dalam acara 4x100m esok. - Bernama

Wednesday, 23 August 2017

Kenapa dan mengapa anak pokok untuk pemenang pingat? #KL2017 #RisingTogether #SukanSEA



KUALA LUMPUR 21 Ogos – Sudah menjadi kelaziman dalam sebarang temasya sukan sama ada tempatan mahu pun antarabangsa pemenang akan dikalungkan pingat dan patung maskot sebagai kenangan mereka.

Pada temasya kali ini, Malaysia selaku tuan rumah Sukan SEA Ke-29 melakukan satu perkara di luar kebiasaan apabila menghadiahkan bakul berisi anak pokok.

Itu kelainan yang dipersembahkan oleh tuan rumah Sukan SEA Ke-29 bagi menyemarakan kempen Green Games dalam penganjuran temasya kali ini.

Bagi pengguna laman sosial seperti Facebook, ramai yang cuba meneka apakah jenis anak pokok yang diberikan malah bergurau dengan menamakannya pelbagai spesies.

Program yang dinamakan ‘Satu Pingat, Satu Pokok (One Medal, One Tree)’ menyaksikan semua atlet meraih pingat emas, perak dan gangsa akan diberikan satu anak pokok.

Pihak penganjur menyediakan sejumlah 5,249 anak pokok dengan setiap pingat emas dimenangi atlet Malaysia sahaja akan ditanam selepas tamat KL2017 di Bandar Sukan Kuala Lumpur.

Pegawai Eksekutif Media Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA Malaysia (Masoc), Fahmi Omar berkata, kelainan dilakukan ini bertujuan mengimbangi karbon dilepaskan sepanjang temasya itu berlangsung dan meningkatkan kesedaran umum mengenai kepentingan pemulihan hutan bagi pemuliharaan biodiversiti.

“Bagi menjayakan program ini, Landskap Malaysia telah dilantik menjadi Rakan Inisiatif Hijau.

“Mengikut perancangan Masoc, anak-anak pokok ini akan ditanam di bawah viaduct atau jejambat yang telah dibina untuk membolehkan hidupan liar merentasi kawasan hutan tersebut dengan selamat,” kata Fahmi ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini.

Dalam pada itu, Fahmi turut menjelaskan bahawa sebanyak tiga jenis anak pokok disediakan untuk pemenang pingat dalam temasya tersebut.

Tiga jenis anak pokok tersebut ialah syzygium polyanthum (Salam), garcinia hombroniana (Bruas) dan syzygium malaccense (Jambu).

utusan online

Friday, 11 August 2017

Rakyat Perlu Bersama-Sama Bantu Kontinjen Malaysia Juarai Sukan SEA



Rakyat Malaysia dari seluruh pelusuk negara kali ini perlu sama-sama untuk memberikan sokongan kepada atlet Team Malaysia bagi memastikan gelaran juara keseluruhan Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) menjadi milik kontinjen negara.

Tinggal 7 hari lagi, sebelum acara sukan terbesar di rantau Asia Tenggara ini yang berlangsung selama 12 hari dari 19 Ogos hingga 30 Ogos 2017 ini bermula.

Kali terakhir Malaysia bergelar juara adalah pada temasya di Kuala Lumpur pada 2001, sudah 16 tahun berlalu. Ketika menjadi juara pada Sukan Sea 2001, Malaysia berjaya mengutip 111 emas, 75 perak dan 85 gangsa menjadikan kutipan keseluruhan pingat sejumlah 271 pingat.

Thailand di tempat kedua dengan 103 emas dan Indonessia di tangga ketiga dengan 72 emas. Pada temasya 2001, semangat Si Tumas atau singkatan nama bagi si Tupai Emas menjadi inspirasi pasukan negara pada ketika itu. Tupai dijadikan sebagai maskot kerana dikatakan sebagai binatang yang mesra, ceria, bertenaga dan pantas.

Kali ini, maskot pasukan negara adalah Rimau diambil sempena nama Harimau Malaya yang sifatnya berdasarkan warna logo Sukan Sea yang dipilih iaitu warna hijau bagi sifat hormat pada lawan dan semangat kesukanan Sukan Sea.

Warna biru melambangkan sikap yang positif, kesukanan dan menang dengan bermaruah. Warna merah pula melambangkan sifat penuh integriti. Warna hitam adalah semangat perpaduan dan kebersamaan manakala warna kuning melambangkan pergerakan yang pantas dan kuat.

Ringkasnya, Rimau ini adalah melambangkan sikap hormat, integriti, pantas, positif dan perpaduan. Dengan semangat Rimau inilah semalam, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah melaungkan kata kata semangat buat kontinjen negara.

 “Ingatlah anda akan bersaing di bumi sendiri. Jadi, mari berhempas pulas bersama-sama rakyat Malaysia yang pasti akan memberi sokongan dengan penuh semangat diiringi doa dan restu semua tidak kira keturunan, bangsa, agama dan budaya.

“Setiap daripada mereka ingin melihat kejayaan setiap atlet. Kejayaan Malaysia sebagai tuan rumah terbaik dan lebih daripada itu muncul sebagai juara KL 2017,”  kata Datuk Seri Najib.

Target emas Malaysia kali ini adalah 111 pingat emas.

Kemenangan pada temasya kali ini adalah yang paling bermakna kerana ia adalah sebagai hadiah kepada rakyat Malaysia memandangkan tarikh berakhir temasya ialah sehari sebelum hari kemerdekaan negara iaitu pada 30 Ogos 2017. Kemeriahan pasti berganda jika Malaysia berjaya muncul juara Sukan Sea 2017.

Hadiah yang cukup bermakna juga buat Perdana Menteri Malaysia kerana pada Sukan SEA tahun 1989, Menteri Belia dan Sukan pada ketika itu ialah Datuk Seri Najib Tun Razak.

Malaysia berjaya mengutip 67 pingat emas dan kali ini, Datuk Seri Najib adalah Perdana Menteri Malaysia, sudah tentulah kemenangan Sukan Sea 2017 ini adalah hadiah yang amat bermakna buat dirinya dan seluruh rakyat Malaysia.

Ada petanda positif apabila pihak penganjur KL2017 sudah menyatakan bahawa tiket-tiket untuk perlawanan dan acara tertentu sempena temasya kali ini sudah habis dijual. Malah baju Sukan Sea yang sedang dijual di semua stesyen Petronas di seluruh negara banyak yang sudah habis dijual. Laris, biarpun harganya RM50 sehelai.

Ucapan Datuk Seri Najib ketika majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara semalam, beliau dengan sungguh-sunguh mahu melihat atlet Malaysia berjuang memastikan kejayaan Malaysia.

"Kita mahu lihat aksi bertaraf dunia dipamerkan setiap atlet sekali gus meletakkan kita sebagai jagoan atau kontinjen terbaik di rantau ASEAN.

"Jadi, saya mewakili 30 juta rakyat memohon anda semua agar berjuanglah bersungguh-sungguh demi mengharumkan nama Malaysia," katanya.

Untuk KL2017, Malaysia akan diwakili 873 atlet melibatkan 38 jenis sukan merangkumi 404 acara. Tahun ini, adalah kali keenam Malaysia menjadi tuan rumah temasya dwitahunan itu.

Najib turut menyemarakkan semangat para atlet dengan menyatakan bahawa mereka ada kelebihan kerana beraksi di laman sendiri dan ia perlu digunakan untuk memastikan Malaysia menjadi juara.

"Dengan kelebihan ini, kami semua amat yakin sejarah baharu mampu dicipta dan mahu anda semua lakukan sehabis baik sekali gus membawa kontinjen negara muncul sebagai juara keseluruhan, " kata Najib.

Beliau berkata, rakyat Malaysia hanya mampu berdoa dan memberi sokongan dengan bertepuk sekuat mungkin ‘sehingga lebam tangan’ tetapi akhirnya yang menentukan kejayaan memperoleh kilauan pingat emas ialah atlet-atlet itu sendiri.

Sukan SEA akan membuka tirai pada 19 Ogos dan berakhir pada 30 Ogos nanti. Ayuh bersama sama mainkan “hashtag”  di bawah ini bersama sama dengan kata kata semangat buat kontinjen negara kita sempena Sukan Sea ini.

Misi 111 pingat emas boleh dilakukan dengan sokongan dan bantuan rakyat Malaysia semua, ayuh kita jayakan.

#SukanSeaKualaLumpur2017 #BangkitBersama #KL2017


Tulisan :
Beruang Biru
BB537, Jumaat
11 Ogos 2017

Malaysia sasar 111 emas Sukan SEA, 103 Para ASEAN


PUTRAJAYA: Malaysia sasar menjadi juara keseluruhan temasya Sukan SEA ke-29 dan Sukan Para ASEAN ke-9 masing-masing dengan sasaran 111 dan 103 pingat emas.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira semua faktor dan analisis yang membolehkan Malaysia menjadi juara keseluruhan.
“Kita pilih 111 dan 103 pingat emas setelah kita lihat kepada senario masa kini, ada sukan yang kita optimis, ada sukan yang kita lebih konservatif.
“Ini adalah angka yang seimbang walaupun saya ada menerima analisis mengatakan kita akan dapat lebih banyak pingat dan ada juga lebih sedikit jumlah,” katanya.Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara ke KL2017 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, di sini.
Bendera bagi kontinjen Sukan SEA ke-29 diterima Ketua Kontinjen Datuk Marina Chin manakala Datuk R. Subramaniam menerima Jalur Gemilang bagi kontinjen Sukan Para ASEAN kesembilan.
Dalam pada itu, Khairy berkata tiada sebarang sukan spesifik disasarkan sebagai ‘lubuk emas’ pasukan negara kerana tidak mahu ia memberi tekanan kepada atlet yang bertanding.
Sementara itu, mengulas sasaran negara itu, Marina yakin sasaran yang diumumkan adalah wajar dan mampu dicapai oleh kontinjen negara.
“Saya tidak nampak sasaran tersebut menjadi tekanan kepada saya tetapi saya tidak mahu sasaran tersebut menjadi tekanan kepada atlet. Kita tidak mahu tetapkan siapa yang akan beri pingat kerana saya percaya sesiapa pun boleh bagi pingat,” katanya.
Marina berkata sebagai seorang bekas atlet, beliau lebih suka meletakkan sasaran kepada memperbaiki atau meningkatkan prestasi atlet dan seterusnya diterjemah kepada pungutan pingat.

Wednesday, 9 August 2017

Khairy: ‘Saya tidak campur urusan pilih atau gugur atlet’



Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin tidak akan campur tangan dalam soal pemilihan atau pengguguran atlet yang akan menggalas cabaran negara dalam temasya Sukan SEA ke-29.
“Keputusan yang dibuat itu adalah melalui saluran yang betul. Saya tidak akan campur tangan dalam semua pemilihan atau menggugurkan atlet,” katanya ketika diminta mengulas laporan berhubung pengguguran atlet olahraga pada saat-saat akhir.

“Keputusan dibuat oleh pihak pengurusan sukan olahraga. Ia telah dimaklumkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM)… Ini adalah keputusan yang dibuat melalui saluran yang betul,” tegas beliau.
Khairy menegaskan bahawa sebagai menteri, beliau adalah penggubal dasar namun tidak mempunyai hak dalam keputusan yang dibuat persatuan sukan.
Menurut Khairy, beliau juga mendapat penjelasan bahawa keputusan yang dibuat adalah munasabah dan tidak akan menjejas peluang skuad olahraga dalam temasya dwitahunan itu.
Laporan seorang blogger sukan hari ini menyebut bahawa atlet pecut wanita, S.Komalam Shally telah digugurkan daripada senarai kuartet 4x100m wanita atas alasan disiplin.

Tuesday, 8 August 2017

3 juara dunia pembawa bendera kontinjen KL2017


KUALA LUMPUR: Tiga juara dunia diberi penghormatan untuk membawa bendera ketika perarakan masuk kontinjen negara pada acara pembukaan Sukan SEA ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) pada 19 Ogos ini.
Atlet terbabit adalah jaguh trek negara Mohd Azizulhasni Awang, ratu terjun Cheong Jun Hoong dan pesilat negara Mohd Al Jufferi Jamari.
Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin selepas menyampaikan amanat terakhir kepada kontinjen negara malam ini.
3-juara

“Kita buat sedikit kelainan pada Sukan SEA kali ini yang mana kita ada 3 pembawa bendera. Ketiga-tiga atlet ini adalah juara dunia,” katanya.
Azizulhasni meraih gelaran juara dunia acara keirin di Kejohanan Dunia Berbasikal Trek di Hong Kong pada April tahun ini.
Jun Hoong pula memecah dominasi China di Kejohanan Akuatik Dunia di Budapest selepas menang acara 10m platform wanita bulan lepas.
Sementara Mohd Al Jufferi muncul juara kelas Putra E di Kejohanan Pencak Silat Dunia di Bali, Disember tahun lepas.
Ketika ditemui, Mohd Al Jufferi berkata beliau terkejut dengan pengumuman berkenaan namun berbangga dengan peluang yang telah diberikan kepadanya untuk menjadi antara pembawa bendera.
“Terima kasih kepada YB Khairy untuk peluang ini. Saya terus rasa bersemangat untuk berjuang habis-habisan untuk negara,” katanya yang tidak sabar untuk beraksi di temasya KL2017.