Showing posts with label tambak laut. Show all posts
Showing posts with label tambak laut. Show all posts

Friday, 4 October 2019

#tambaklaut JAS nafi kelulusan laporan EIA PSR dua hari

Jabatan Alam Sekitar (JAS) hari ini menolak proses penilaian kesan alam sekitar (EIA) Projek Tebus Guna Tanah Selatan Pulau Pinang (PSR) diluluskan dalam masa dua hari seperti didakwa oleh kumpulan pendesak, Penang Forum.

Menyifatkan dakwaan itu tidak berasas, JAS dalam kenyataannya hari ini berkata, laporan EIA bagi projek tersebut telah melalui prosedur pemprosesan yang ditetapkan jabatan berkenaan, termasuk kelulusan TOR, pemprosesan EIA dan prosedur pameran awam dari tahun 2016 hingga 2019.

“Prosedur pameran awam telah diadakan mulai 29 April hingga 28 Mei 2019 di 11 lokasi iaitu Perpustakaan Negara Malaysia, perpustakaan Jabatan Alam Sekitar Malaysia, Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Pulau Pinang, kompleks pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang, Balai Polis Teluk Kumbar, Pusat Perkhidmatan Setempat Nelayan (PPSN), Jabatan Alam Sekitar Pulau Pinang, JAS cawangan Bayan Lepas, Majlis Perbandaran Seberang Perai, Penang Town Hall serta Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan,” katanya.

Monday, 19 December 2016

Tak perlu tertekan lulus projek tambak Pulau Pinang



Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) tidak perlu tertekan untuk memberi kelulusan kepada kerajaan Pulau Pinang menjalankan projek tambak laut di perairan selatan negeri ini.
Beliau mengulas mengenai laporan Kajian Impak Alam Sekitar (DEIA) bagi pelaksanaan projek tersebut.

Laporan itu menyebut tentang kemusnahan habitat laut yang akan menjejaskan pendapatan nelayan di kawasan terlibat.
“Kami bersimpati dengan nasib nelayan di kawasan berkenaan namun Umno Pulau Pinang akan sedaya upaya membantu mereka dari segi berurusan dengan kerajaan persekutuan berhubung isu alam sekitar.


“Memang nelayan boleh lagi mencari sumber pencarian namun hasilnya tidak akan sama seperti apa yang mereka peroleh seperti hari ini jika projek tambakan laut itu diteruskan kerana ia menjejaskan hidupan marin,” kata Zainal dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Difahamkan, projek tambak laut itu bagi membina 3 pulau buatan untuk melaksanakan Pelan Induk Pengangkutan (PIP) membabitkan kawasan Permatang Damar Laut, Sungai Batu dan Gertak Sanggul.

Lebih 3,000 nelayan mencari hasil laut di kawasan berkenaan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Balik Pulau Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya yang turut hadir berkata selain 3,000 nelayan di kawasan itu, terdapat sebahagian nelayan dari Perak dan Kedah turut mencari hasil laut di situ.

Timbalan menteri kesihatan itu berkata beliau sudah bertemu dengan perdana menteri berhubung isu itu dan memberitahu kajian DEIA itu tidak akan diluluskan memandangkan habitat laut yang terjejas.