Showing posts with label umno. Show all posts
Showing posts with label umno. Show all posts

Friday, 21 April 2017

Empat sebab anak muda pilih Umno



Susulan kenyataan Setiausaha Kerja Umno mengatakan anak muda kini bersama dengan perjuangan Umno, terdapat beberapa kemungkinan pemilihan ini dibuat berbanding parti politik lain.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, terdapat empat sebab mengapa anak muda kini memilih sedemikian.

“Pertama sekali mungkin kerana sudah ada peluang penerimaan untuk golongan muda di dalam Umno, yang kedua kerana terdapat perubahan interaksi dengan generasi muda ini di dalam parti itu.

“Ketiga, terdapat peluang dalam pelbagai isu yang turut berpihak pada orang muda dan terakhir, golongan ini mencari penentu untuk PRU14 nanti dan Umno cuba untuk memastikan undi anak muda berada di dalam parti itu,”katanya ketika dihubungi Sinar Online.

Sebelum ini, Umno mencatatkan jumlah keahlian seramai 3,573,719 orang, di 21,653 cawangan di seluruh negara hingga 30 November 2016.

Menurut Sivamurugan, parti-parti politik kini sedar kepentingan anak muda untuk mengundi mereka pada PRU akan datang.

“Dalam kalangan umur dari 21 tahun hingga 30 tahun, sudah banyak yang mendaftar dan golongan ini mempunyai kesan yang besar dalam PRU14 nanti, sebab itu masing-masing (parti politik) memerlukan mereka.

“Jika Umno menunjukkan jumlah keahlian tersebut, bermakna usaha yang banyak telah dilakukan dengan program dan aktiviti dalam usaha menarik golongan belia sertai Umno,” tambahnya lagi.

Sementara itu, Sivamurugan tidak menolak kemungkinan bahawa Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memainkan peranan penting untuk mendekati golongan belia.

“Tidak mustahil, kerana belia mahukan pemimpin yang memahami mereka dan penjenamaan KJ serasi dengan generasi ini,” katanya lagi.

Thursday, 16 February 2017

Mana Bahaya, UMNO atau DAP?



Kenyataan terbaru Tun Dr Mahathir untuk tidak sujud di kaki PAS telah menyudahkan secara tidak rasmi teka-teki hubungan politik antara PAS dan PPBM. Kenyataan beliau itu adalah ekoran daripada kenyataan yang dibuat oleh presiden PAS YB Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang bahawa jika PPBM meneruskan hubungan dengan DAP, maka hubungan yang cuba diusahakan adalah tamat. Tempoh sebulan adalah tidak perlu.

Ia menjelaskan dua perkara besar. Pertama, PAS serius dengan pendiriannya menolak DAP dan siapa pun yang ada hubungan dengan DAP. Selepas PAN yang juga ditolak kerana pengkhianatannya terhadap PAS, PPBM semakin dekat atau secara tidak rasminya ditolak oleh PAS. Adapun PKR, PAS secara serius mengkaji hubungan dengannya.

Kedua, persaingan tiga penjuru dalam politik Malaysia hampir pasti berlaku. Blok ketiga atau Gagasan Sejahtera (GS) yang diwujudkan oleh PAS dan IKATAN semakin jelas akan beraksi dengan kekuatannya sendiri sebagai pilihan untuk rakyat Malaysia berhadapan BN dan PH. PPBM telah mengukuhkan pendiriannya untuk menjalin hubungan dengan Pakatan Harapan (PH).

Kekuatan PAS untuk bergerak sendiri memimpin blok ketiga adalah nyata. Kerana itu, DAP, PAN, PKR dan PPBM terus menerus menembak PAS dengan senjata beratnya bahawa PAS adalah rakan UMNO. Kerana itu juga, UMNO mengurangkan tekanan dan perseteruannya terhadap PAS. Tujuannya sama. Menidakkan PAS sebagai satu kekuatan dan pilihan terbaik bagi menggantikan BN mahupun PH.

Bagi PH, undi PAS adalah undi UMNO. Maka jangan undi PAS. Bagi UMNO, undi UMNO adalah undi PAS. Maka undilah UMNO. Tujuan mereka walaupun berbeza tetapi bertemu di satu titik iaitu kemenangan adalah samada untuk UMNO BN ataupun untuk PH. Hilangkan kemenangan untuk PAS.

Adakah itu sukar buat PAS? Ya, PAS sentiasa sukar perjuangannya. Tetapi kemenangan dan kekuatan PAS hari ini adalah hasil kesabarannya menempuh kesukaran demi kesukaran. PAS sentiasa yakin bahawa motivasi perjuangan Islam adalah 'beriring kesukaran adalah kemudahan'.

UMNO tidak mampu lagi selain berbuat baik kepada PAS. Rekod buruk UMNO terhadap PAS mesti dipadamkan demi survival UMNO. Manakala PH tidak pula mampu memomokkan rekod buruk PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) dulu sebagai peluru ampuh buat membedil PAS. Mereka walaupun benci tetapi terpaksa akur jasa PAS dalam PR. Jika mereka menidakkan, peluru itu akan melantun balik kepada mereka sendiri.

Justeru sebaik-baik senjata mereka untuk membunuh PAS adalah menghujahkan perbuatan baik UMNO kepada PAS sebagai bukti bahawa PAS dan UMNO adalah satu. DAP menjaja PAS menyokong UMNO. PPBM menjaja PAS makan dedak UMNO. PKR menjaja PAS menyokong kezaliman. PAN hanya ikut kata. Mabuknya belum habis. Setianya dengan DAP memang lejen. Satu dalam sejarah negara.

PAS menolak untuk tunduk kepada tekanan musuhnya. PAS akan kekal melaungkan ingatan kepada umat Islam dan rakyat Malaysia bahawa penyelesaian terbaik adalah dengan kembali kepada Islam sebagai cara hidup. Ia suara yang tidak akan padam dengan jaminan Allah. PAS setianya dengan Islam adalah lejen. Satu dalam sejarah politik negara.

Walau baik mana sekali pun UMNO terhadap PAS, PAS akan kekal bersendirian melawan UMNO. UMNO adalah musuh tradisi PAS dalam politik. Jika UMNO ikhlas berbuat baik, itu hak dan kewajiban semua untuk berbuat baik. Jika UMNO bersandiwara atau hanya berlakon semasa susahnya kini, lambat laun UMNO pasti akan terjun ke dalam lubang digalinya sendiri. PAS telah siap siaga menolak sebarang sandiwara. PAS telah lama beriman dan mengajar rakyat bahawa dunia ini adalah sandiwara. Yang selamat adalah yang hidup istiqamah dan berwaspada di jalan Allah. Di tikar sejadah ubudiyah mahupun di karpet merah kemewahan.

PAS mengingatkan rakyat bahawa politik DAP adalah bahaya untuk negara. Rosak negara adalah kerana UMNO membangunkan negara dengan tiang-tiang sekular sejak lama. Akhirnya ia merapuh dan dimakan anai-anai. DAP datang dengan tiang-tiang baru dengan tahap sekular yang berganda sepuluh. Ia jelas akan menambahkan kehancuran negara dalam kealpaan rakyatnya nanti. PAN adalah contoh awal kealpaan yang nyata. Amat malang.

Lebih malang adalah rakan lama dalam perjuangan, IKRAM. Semoga Allah memilih yang terbaik daripada kalangan rakan-rakan dalam IKRAM untuk segera menyedari kesilapan dan memadamkannya. Jangan mabuk politik DAP macam PAN. Mabuk laut tak apa.

Orang bertanya mana bahaya antara UMNO dan DAP? Saya berkata, bahaya UMNO bahaya dirasai. Bahaya DAP bahaya menanti. Hapuskan bahaya dirasai. Hilangkan bahaya menanti. Begitulah ubat diciptakan dalam kehidupan menuju kesihatan dan kesejahteraan.

Sunday, 11 December 2016

Solidariti Umno utuh, pembangkang yang kucar-kacir


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata pembangkang mencemburui solidariti kukuh yang diperlihatkan pada Perhimpunan Agung Umno, minggu lepas.

Beliau berkata pembangkang kini begitu terdesak dan berada dalam keadaan kucar-kacir sehingga mereka terpaksa bersekutu dengan orang yang memenjarakan pemimpin mereka sendiri.

“Mereka mencuba pelbagai cara dalam bidang kuasa mereka untuk memecahbelahkan kita. Tetapi mereka tidak kenal Umno dan kesetiaan ahlinya iaitu mereka yang berdiri di dalam senang mahupun susah bersama parti dan kepimpinan parti yang dipilih secara demokrasi.

“Oleh itu, tidaklah menghairankan apabila mereka menyebarkan khabar angin dalam usaha untuk merosakkan hubungan rapat saya dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi,” katanya dalam satu catatan di laman blog najibrazak.com, malam tadi.

Najib berkata pembangkang mungkin tersalah anggap perwatakan timbalan perdana menteri dengan beberapa bekas pemimpin parti Umno yang didorong oleh kepentingan peribadi dan bukannya kepentingan parti atau nasional.

“Saya gesa semua ahli parti Umno untuk sentiasa berwaspada terhadap taktik kotor yang digunakan pihak lawan. Mereka mencemburui solidariti kukuh dalam Umno dan Barisan Nasional,” katanya.

Saturday, 3 December 2016

#PAU2016 : Medan Ukhuwah Dan Silaturrahim Ahli-Ahli UMNO



Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di ibu negara yang sedang berlangsung terbukti menjadi medan untuk ahli UMNO dan para perwakilan untuk mengukuhkan ukhwah serta mengeratkan silaturrahim sesama ahli.

Biarpun diselubungi khabar angin dan fitnah bahawa PAU tahun ini agak lengang dari kehadiran pengunjung, tetapi ia dibuktikan tidak benar apabila suasana dalam PWTC begitu meriah dan sesak dengan pengunjung sejak hari pertama PAU diadakan pada 29 November lepas.

Kawasan letak kereta begitu sesak dan penuh sehingga kereta lain dihalang daripada masuk meletakkan kereta menjelang waktu tengah hari.

Mereka yang datang terpaksa mencari kawasan letak kereta lain jauh sedikit dari kawasan PWTC untuk meletakkan kereta seterusnya perlu berjalan kaki ke lokasi perhimpunan.

Keadaan Dewan Merdeka di Aras 4 yang menjadi lokasi PAU juga penuh dengan para Perwakilan mendengar perbahasan mengikut usul dari wakil-wakil negeri dan sayap UMNO.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden juga sudah mengakui bahawa ucapan para Perwakilan juga sudah tidak dipenuhi gurauan sia-sia sebaliknya gurauan yang penuh dengan mesej yang tersirat.

Kesetiaan dan kesungguhan para Perwakilan mendengar perbahasan juga menunjukkan para ahli UMNO semua mengamalkan sikap wala' dan kesetiaan kepada parti seperti yang diperkatakan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selain itu, PAU 2016 kali ini juga memberikan tempias rezeki kepada para peniaga yang menjual barang jualan apabila mereka mendapatkan jualan kutipan yang tinggi ekoran ramainya pengunjung dan orang ramai yang datang ke PWTC untuk menyertai PAU pada kali ini.

Di gerai-gerai jualan berkenaan juga, ramai artis yang datang untuk membantu peniaga berjual menunjukkan kutipan jualan mereka yang tinggi.

Jika jualan tidak laku, masakan artis terkenal seperti Fasha Sandha mahu hadir ke PWTC untuk sama-sama merasai kemeriahan perhimpunan agung.

Selain itu, difahamkan kehadiran para Perwakilan yang paling tinggi adalah dari Bahagian Pagoh di Johor dan dari Semporna, Sabah apabila bilik yang ditempah oleh mereka begitu banyak dari Bahagian UMNO yang lain.

Ini menunjukkan Bahagian Pagoh dan Semporna tidak terjejas langsung dengan perbuatan bekas Ketua Bahagian mereka sebelum ini iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Naib Presiden Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Wajah ceria dan mesra para Perwakilan jelas menunjukkan UMNO sedang masuk ke dalam fasa 'rebuilding' dan mengeratkan semula perpaduan sesama ahli selepas isu-isu melibatkan musuh dalam selimut sudah selesai selepas mereka dipecat dari UMNO.

Tulisan :
Beruang Biru
BB169, Sabtu
3 Disember 2016

Tuesday, 29 November 2016

Umno Bahagian Kunci Kemenangan BN Pada PRU14



SEJAK dari Pilihan Raya Umum (PRU) pertama, Umno mencatatkan rekod kemenangan yang tidak pernah menghampakan.

Mungkin kerana tidak mampu melawan kekuatan Umno ini, maka pembangkang mula gunakan senjata fitnah untuk tumbangkan UMNO.

Pembangkang memfitnah kononnya PRU di negara kita tidak adil dan bersih. Maka, lahirlah Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (BERSIH).

Benarkah PRU di negara kita tidak adil dan bersih hingga menyebabkan Umno tetap menang? Itu semuanya fitnah. Kemenangan Umno di setiap siri PRU sebenarnya dibantu oleh struktur kuat parti berkenaan sendiri.

Mungkin Umno satu-satunya parti politik dalam dunia ini yang memiliki struktur organisasi yang bersistem dan bersifat menyeluruh.

PAS tidak ada struktur cawangan yang kuat di peringkat akar umbi. PKR yang cuba meniru UMNO dengan mewujudkan ranting dan cabang juga tidak mampu tandingi jumlah cawangan UMNO di peringkat kampung kampung.

Bagi mengurus dan memperkasa 3.5 juta ahlinya, Umno telah berakar umbi melalui 21,800 cawangan di seluruh negara.

Di peringkat cawangan ini, ia berfungsi sebagai pelaksana dasar-dasar parti serta agen kepada suara rakyat untuk diangkat ke peringkat lebih tinggi. Jika di sebuah pohon pokok, peringkat ini dianalogikan sebagai akar.

Peringkat seterusnya yang menjadi daun pula adalah bahagian Umno. Terdapat 191 Bahagian Umno di seluruh negara ketika ini.

Sebagaimana daun berfungsi untuk merendangkan pokok dan meneduhkan bumi, fungsi Umno Bahagian pula untuk menyelaras segala dasar dan perjuangan serta hala tuju parti.

Ini antara peringkat terpenting dalam Umno yang menyumbang kepada kekuatan parti.

Sama seperti sebuah pokok, jika tiada daun yang merimbun, maka pokok itu dianggap berpenyakit atau tidak subur. Umno Bahagian juga merupakan kekuatan sebenar Umno dalam menghadapi siri-siri PRU di negara kita. Mereka bukan sahaja menggerakkan cawangan di bawah, malah turut melengkapkan amalan 'syura' di peringkat perhubungan Umno negeri.

Malah, selaku parti yang dikenali sebagai 'service orientated party', Umno Bahagian adalah antara komponen terpenting bagi menjayakan orientasi ini.

Tidak seperti DAP, mereka bukan parti untuk rakyat bawahan. DAP tidak ada banyak cawangan dan ahli yang jelas. Hanya menabur kebencian dan emosi untuk menambat sokongan.

Samalah dengan PKR, sampai baling baling kerusi untuk merebut jawatan. Mahathir juga gagal mengukuhkan parti bunganya sebagaimana struktur yang UMNO ada.

Fungsi Umno Bahagian  yang menjadi 'pekerja parti' 24 jam 7 hari setiap tahun dalam menyantuni rakyat. Tidak seperti parti parti lain.

Bagi meneruskan siri kemenangan bergaya Umno ini, wajarlah 191 Umno Bahagian tanpa gagal menggerakkan proses penambahan ahli parti, memastikan setiap ahli didaftarkan sebagai pemilih dan pada hari pengundian nanti, setiap daripada ahli dan keluarganya harus keluar mengundi.

Tiga tugas terpenting ini jika diteruskan tanpa rasa jemu dan sabotaj, pastinya akan memberi sekali lagi kemenangan berganda buat Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam PRU 14 akan datang.

Kita harus sedar bahawa 30 juta rakyat Malaysia tidak akan mampu bergantung harap kepada Pakatan Harapan yang dikuasai DAP.

Dengan hanya memiliki 30 orang dalam Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) yang hanya 'membenarkan' 7 orang sahaja pemimpin bukan berbangsa Cina memegang kuasa, maka jelaslah tujuan DAP berjuang untuk kepentingan sebelah kaum semata.

Malah, mereka tiada struktur parti yang utuh. Selain dari CEC yang dikuasai oleh 23 bangsa Cina, DAP hanya ada Jawatankuasa Negeri yang diwakili oleh 20 orang setiap negeri. Adakah struktur parti yang longgar dan tidak berakar umbi sebegini akan mampu membela nasib rakyat?

Sebab itulah DAP terpaksa menggunakan 'Red Bean Army' untuk perperangan propaganda di media sosial dengan tujuan untuk menerapkan nilai kebencian kepada rakyat. Mereka sedar bahawa DAP tidak mampu menjadi kuat seperti Umno, maka mereka gunakan kaedah memburukkan dan memfitnah lawan untuk rakyat terpedaya.

Tolak DAP! Tolak Pakatan Harapan yang dikuasai DAP dalam PRU14 akan datang! UMNO Bahagian adalah benteng ampuh menentukan survival perjuangan Melayu pada PRU14 nanti.

Tulisan:
Beruang Biru
BB160, Selasa
29 November 2016

Thursday, 12 May 2016

Kekal Setia Kepada UMNO Sebagai Institusi Melayu – Veteran


KUALA LUMPUR - Kelab Veteran UMNO percaya konsep 'setia sepanjang hayat' yang dizahirkan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak, perlu difahami dalam konteks setia kepada parti, bukan kepada setia kepada kepemimpinan semata-mata.

Setiausahanya, Datuk Mustapha Yaakub, berkata pemimpin boleh ditukar ganti apabila sampai masa mereka berundur atau digugurkan tetapi UMNO sebagai institusi perlu dikekalkan dan dipertahankan walaupun tidak semua orang Melayu menyokong UMNO.

"Apa yang dimaksudkan Presiden UMNO dengan kesetiaan ialah setia kepada UMNO sebagai satu institusi Melayu yang banyak berjasa kepada negara dan bangsa tanpa menafikan sumbangan serta jasa dicurahkan pemimpinnya.

"Konsep itu perlu bersandarkan kepada semangat bahawa UMNO adalah parti yang orang Melayu boleh menaruh harapan untuk membela nasib mereka," katanya.

Justeru, Mustapha berkata, UMNO perlu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana ahli tanpa mengira kedudukan dalam parti jika melakukan tindakan yang dianggap mengkhianati parti seperti bersekongkol dengan pembangkang mengkritik kepimpinan parti.

Katanya, membiarkan mereka yang menimbulkan masalah untuk terus kekal dalam parti tanpa diambil tindakan boleh menghilangkan keyakinan ahli kepada parti dan pucuk kepemimpinan.

"Ia sama seperti seperti membiarkan api membara dalam sekam dan menyembunyikan gunting dalam lipatan," jelas beliau.
— KLXpress
#UMNO70Tahun
#RespectMyPM
#MelayuBersatu
#HidupBersama

Wednesday, 11 May 2016

Transkrip Penuh Temuramah PM Najib Bersempena Ulang Tahun Ke-70 UMNO



PUTRAJAYA, 9 Mei (Bernama) -- Berikut adalah transkrip penuh temuramah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO bersempena sambutan Ulang Tahun Ke-70 UMNO pada 11 Mei, di pejabatnya baru-baru ini.

Temuramah dikendalikan oleh Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA Prof Dr Azizul Halim Yahya.

Dalam temuramah itu, perdana menteri berkongsi tentang perjuangan dan survival UMNO, cabaran yang beliau hadapi pada masa kini serta pemerkasaan ekonomi Bumiputera.

SOALAN: Datuk Seri, kongsikan pengalaman dan kenangan sewaktu bersama Allahyaram Tun Abdul Razak dahulu, ayandanda Datuk Seri, dan apakah ciri-ciri yang diterapkan oleh Tun Abdul Razak?

NAJIB: Kenangan saya begitu banyak dalam waktu bersama-sama dengan ayahanda saya. Saya melihat Allahyarham sebagai seorang pemimpin negara yang sangat mementingkan khidmat beliau kepada negara dan rakyat. Setiap masa yang ada pada beliau, memang dia memikir soal rakyat dan negara. Dan tidaklah masa yang banyak terluang untuk aktiviti-aktiviti lain walaupun ada riadah dan ada juga bercuti tetapi Allahyarham memang tersohor sebagai yang begitu dedikasi dan komited pada tugas beliau sebagai seorang yang ada misi yang dipegang sebagai satu pegangan yang begitu dekat di hati beliau.

Oleh itu, kalau ditanya apa yang saya dapat pelajari daripada Allahyarham, saya boleh katakan satu komitmen tugas untuk rakyat dan negara dan parti mestilah diambil dengan begitu berat sekali.

Yang kedua, sentiasa memikirkan sesuatu keputusan yang dibuat itu apakah kebaikan kepada rakyat dan negara. Jadi, itulah menjadi pegangan saya ... yang saya dapat mewarisi daripada pengajaran secara langsung dan secara tidak langsung yang telah dibawa oleh Allahyarham.

SOALAN: Sebagai anak, mungkin ada pesanan semasa bersama ayahanda Datuk Seri dahulu? Ada antara pesanan yang Datuk Seri masih ingat, pesanan kepada Datuk Seri yang mungkin dipakai sehingga hari ini sebagai salah satu contoh untuk menerajui negara kita?

NAJIB: Pesanan yang Allahyarham beri tumpuan ialah pada masa saya di bangku sekolah di mana pada Allahyarham, belajar dengan bersungguh-sungguh dan dengan tekun dan mencapai keputusan yang terbaik, kalau boleh, terbaik dalam kelas. Itu yang mengajar dan mendidik saya supaya kalau kita buat sesuatu kerja, kita mesti berusaha dengan sedaya-upaya untuk mencapai satu tahap pencapaian yang terbaik. Maknanya nilai kesungguhan dalam apa saja kerja yang kita lakukan.

Kedua apa yang saya tengok, secara tidak langsung komitmen Allahyarham begitu amat mendalam sekali dalam soal menjaga kebajikan dan keprihatinan kepada rakyat. Walau sibuk macam mana pun, kalau ada orang kampung datang, saya tengok orang kampung ini memang sebati dengan beliau.

Maknanya, untung nasib mereka sentiasa, boleh dikatakan sebati dan dekat di hati Allahyarham.

SOALAN: Sempena ulang tahun UMNO ke-70 yang disambut pada 11 Mei ini, UMNO bermula dengan satu azam iaitu menyatukan orang Melayu sehingga tercapai kemerdekaan. Adakah Datuk Seri melihat nilai perjuangan dan pengorbanan ahli UMNO semasa ditubuhkan dahulu masih sama sehingga kepada hari ini?

NAJIB: Saya tidak nampak ada perbezaan, maknanya kalau UMNO ditubuhkan sebagai satu parti yang dapat memayungi semua golongan dan memecahkan tembok-tembok di antara kumpulan-kumpulan tertentu dan persatuan-persatuan dan soal kenegerian, maknanya, kita utamakan bukan sahaja soal negeri. Tetapi soal negara dan kebangsaan dan sebagainya, merupakan satu prinsip yang perlu kita pegang dan dihayati sampailah pada hari ini.

Jadi, soal perpaduan dan penyatuan orang Melayu merupakan teras, maknanya itulah tonggak kekuatan negara kita. Selagi kita begitu bersatu, selama itulah orang Melayu mempunyai kekuatan yang lebih.

SOALAN: UMNO antara parti politik di dunia yang masih kekal berkuasa sejak kemerdekaan pada 1957, namun ada banyak parti politik di negara lain sejak kemerdekaan sudah tewas dalam pilihan raya. Apa agaknya resipi UMNO untuk masih kekal berkuasa dan apakah langkah harus dilakukan untuk UMNO terus relevan.

NAJIB: Alhamdulillah, UMNO mungkin merupakan satu-satu parti yang masih berkuasa tanpa ada satu ketika terputus daripada memegang kekuasaan negara. Mungkin ini disebabkan dasar UMNO itu sendiri yang mana kita merupakan parti yang mengamalkan dasar yang sederhana. Di samping itu, kita mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat, serta kita telah menunjukkan kemampuan kita untuk membawa pembangunan, perubahan ataupun sekarang kita gunakan istilah transformasi negara kita.

Dan setiap kali berdepan dengan apa jua krisis sama ada luaran atau dalaman, UMNO telah tunjukkan kewibawaannya untuk menangani krisis itu dan meletakkan parti dan negara kita atas landasan yang lebih kukuh lagi.

SOALAN: Ada pihak mengkritik UMNO kerana menganggap bahawa UMNO tidak lagi terbuka dan malah mengkritik kepimpinan UMNO kerana dikatakan tidak boleh ditegur. Bahkan, ada bekas pemimpin-pemimpin dahulu yang sentiasa mengkritik kepimpinan yang ada hari ini. Malah, sampai mahukan campur tangan daripada pihak luar. Bagaimana Datuk Seri menghadapi atau berdepan atau mengatasi tekanan itu?

NAJIB: Pertama, hakikatnya, UMNO hari ini lebih terbuka dan lebih demokratik daripada masa-masa yang lalu. Bila saya mengambil alih tampuk kepimpinan UMNO, salah satu daripada langkah awal yang saya lakukan ialah untuk mengubah Perlembagaan UMNO, supaya Perlembagaan UMNO menjadi lebih terbuka, lebih inklusif dan lebih demokratik.

Ini dapat kita lihat dari segi pemilihan presiden parti umpamanya dan juga jawatan-jawatan tertinggi dalam parti. Di mana kalau dahulu, presiden parti umpamanya dipilih berdasarkan kepada sistem kuota dan kalau sesiapa hendak bertanding jawatan presiden UMNO, mesti memperolehi 63 bahagian mencalonkan.

Cuba bayangkan dalam keadaan sedemikian menggunakan perlembangaan sebelum ini. Tak mungkin ada sesiapa yang mampu mencabar presiden UMNO. Jadi kalau saya hendak kekal sampai bila-bila dan selama saya rasanya saya patut turun, saya gunakan perlembagaan lama, sebab dalam perlembagaan lama, tiada siapa yang mungkin boleh mencabar presiden UMNO.

Tetapi sebaliknya, saya ubah perlembagaan UMNO di mana presiden parti dipilih oleh 160,000 perwakilan di peringkat akar umbi. Bukan lagi yang 2,600 lebih kurang yang datang ke Kuala Lumpur di Dewan PWTC yang memilih. Tetapi 160,000 di seluruh negara di tiap-tiap bahagian.

Ini menunjukkan bahawa hasrat saya sebagai seorang pemimpin ialah untuk mengubah falsafah dan kaedah pemilihan dalam UMNO supaya UMNO dilihat lebih terbuka, lebih demokratik. Itulah saya amalkan dan saya adalah presiden UMNO yang pertama dipilih mengikut sistem yang paling terbuka dan paling demokratik dalam sejarah UMNO. Jadi, kalau sesiapa kata saya tidak demokratik, hakikat dan fakta sebenarnya adalah sebaliknya.

Kedua, saya mementingkan bahawa kita mesti jaga kepentingan parti. Bukan tak boleh kritik, tetapi dalam parti, kita mesti ada saluran dan disiplin. Kalau parti tidak ada disiplin dan tidak hormati amalan-amalan yang tidak menjejaskan kepentingan parti, maka parti akan berdepan dengan keadaan yang menggugat kestabilan dalam parti.

Jadi sebab itu, saya kata sesiapa ada perbezaan pendapat pun, bawa dalam mesyuarat, bawalah mengikut saluran betul, kita boleh bincang dan mencapai keputusan berdasarkan semangat musyawarah, konsensus dalam parti. Itulah cara kita membuat keputusan dalam parti. Bukan kehendak seorang. Walaupun seorang itu bekas pemimpin, dia tidak boleh tentukan dasar atau apa-apa keputusan dalam parti. Tetapi parti mesti membuat keputusan berdasarkan kepada perlembangaan parti.

SOALAN: Politik perkauman menjadi topik yang sering dibahas di sosial media atau laman cetak. Ada yang menyatakan bahawa Malaysia seharusnya tidak mengamalkan politik berciri perkauman. Adakah UMNO bersetuju dengan pendapat sedemikian?

NAJIB: Kita merupakan parti yang mengamalkan dasar sederhana dan mementingkan semua kaum walaupun parti kita ini terdiri daripada orang Melayu dan Bumiputera. Tetapi prinsip kita, kita mesti berlaku adil berdasarkan pada prinsip dan semangat perlembagaan negara. Kita juga menghormati dasar Barisan Nasional (BN) di mana UMNO merupakan teras kepada BN. Jadi kita tidak lari daripada amalan dan dasar yang dibawa oleh pemimpin-pemimpin yang telah mengasaskan UMNO dari dahulu lagi.

SOALAN: Datuk Seri banyak memberi penekanan kepada pemerkasaan ekonomi Bumiputera. Adakah Datuk Seri pada hari ini berpuas hati dengan pencapaian dasar ini?

NAJIB: Saya merasakan banyak yang telah dicapai. Tanpa perjuangan UMNO, tidak mungkin hari ini kita lihat kedudukan orang Melayu lebih baik dan lebih selesa dalam bidang ekonomi. Umpamanya, pembasmian kemiskinan boleh dikatakan hampir selesai agenda itu. Dasar kita mewujudkan kelas menengah yang terdiri daripada profesional, itu adalah hasil daripada perjuangan UMNO. Wujudnya institusi-institusi seperti UiTM, Mara, Tekun dan pelbagai lagi, adalah merupakan hasrat UMNO untuk memperjuangkan pemerkasaan ekonomi Bumiputera.

Dan saya sendiri begitu komited di mana tiap-tiap bulan saya mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera dan malah semalam (21 April) saya telah mengadakan mesyuarat dan kita umumkan pelbagai inisiatif baharu, misalnya dasar 'carve-out'. Kalau ada projek besar kita tentukan sekurang-kurangnya 40 peratus hingga 45 peratus nilai kontrak, vendor dan peluang perniagaan diberikan kepada syarikat-syarikat Bumiputera.

Kita sentiasa berusaha untuk melakukan usaha-usaha itu kerana pada saya kelangsungan kuasa politik mesti bersandarkan kepada kuasa ekonomi.

SOALAN: Sampai bila membantu Bumiputera itu?

NAJIB: Kita tidak ada garis penamat. Tetapi dari segi semangatnya, ia adalah apabila kita sampai ke satu keadaan di mana kekayaan negara telahpun kita bahagikan secara adil dan saksama.

Barangkali pada ketika itu, orang Melayu sendiri begitu yakin, tak perlu lagi kepada apa-apa keistimewaan dari segi dasar. Pada masa itu, mungkin dasar yang kita amalkan boleh kita cairkan atau dikaji semula supaya lebih terbuka.

Tetapi yang penting sekali kita hendak sampai ke peringkat kekayaan negara, sebab orang Melayu dan Bumiputera, bilangannya adalah 60 peratus lebih. Tetapi yang tuntut cuma 30 peratus (ekuiti) sahaja. Bukan dituntut 60 peratus tapi 30 peratus saja. Maknanya orang Melayu sudah cukup bertimbang rasa dan adil dalam apa yang dituntut dalam perjuangannya.

SOALAN: Datuk Seri, Malaysia tidak terkecuali daripada kemelesetan ekonomi global, dan kejatuhan harga komoditi seperti minyak di mana ia turut memberi kesan kepada ekonomi kita. Bahkan imej negara juga diserang oleh media asing. Adakah Malaysia mampu menangani cabaran ini?

NAJIB: Ya kita mampu untuk membuat pengubahsuaian kepada dasar kita dan kepada bajet kita umpamanya. Sebab itulah pada bulan Januari lalu, saya telah bentangkan pengubahsuaian Bajet 2016 apabila harga minyak jatuh dengan begitu ketara sekali daripada US$110 setong kepada US$30 lebih.

Maknanya kita perlu melakukan sesuatu dan kita telah buat dengan tindakan yang segera dan ini telah membuat pasaran dan rating agencies lebih yakin dengan kemampuan kita untuk menangani cabaran ekonomi yang berpunca daripada keadaan luaran, yang luar daripada kemampuan kita untuk mengawalnya.

Tetapi apa yang boleh kita lakukan ialah untuk melakukan pengubahsuaian, adaptasi atau adjustment kepada dasar-dasar dalaman untuk mengambil kira keadaan luaran yang berubah dengan begitu mendadak sekali.

SOALAN: Datuk Seri merupakan Presiden UMNO yang ke-7 dan telah melalui pelbagai cabaran dalam UMNO sehingga menjadi presiden. Kini, serangan itu semakin mencabar. Bagaimana Datuk Seri mendapat semangat untuk terus bertahan sehingga ke hari ini.

NAJIB: Saya melihat, pertama sokongan kepada saya dalam kalangan ahli-ahli parti termasuk di peringkat pimpinan bahagian masih utuh dan masih yakin dengan kepimpinan saya. Selagi saya dapat sokongan daripada parti dan ahli-ahli Parlimen, maka saya mampu untuk terus memimpin negara kita.

Soal serangan ini, ia menjadi lebih sebab dengan adanya media sosial. Dulu tak ada media sosial, tapi bila ada media sosial, apa-apa pun dia cepat jadi viral. Inilah menjadi cabaran baharu dalam persekitaran yang berubah.

Saya merupakan presiden parti yang berdepan dengan persekitaran ini. Kalau dahulunya, tidak ada macam ini. Saya tak tahulah, kalau dulu-dulu ada macam ini mungkin presiden UMNO dulu menghadapi tekanan yang lebih dahsyat.

Tetapi saya tabah kerana saya yakin bahawa apa yang saya buat adalah betul-betul untuk niat yang baik dan kebaikan parti, rakyat dan negara.

SOALAN: Rakyat melihat Datuk Seri begitu tenang dalam berdepan, menghadapi segala cabaran seperti ini. Dari mana datang ketenangan itu?

NAJIB: (Ketawa) Saya tidak boleh menggelabah sebagai pemimpin. Kalau kita sebagai pemimpin, kita mesti sedar setiap pemimpin itu akan diuji, setiap manusia akan diuji. Allah akan uji kita dengan pelbagai cara dan ujian, itu dah ditentukan Allah tidak akan melepaskan mana-mana pemimpin atau mana-mana individu (daripada) diuji.

Malah, zaman Allahyarham Tun (Abdul) Razak (Hussein) juga banyak juga ujiannya, ujian (rusuhan) 13 Mei. Zaman (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) pun lagi banyak ujian, sampai parti UMNO diharamkan, krisis kewangan yang dahsyat, orang bankrap begitu ramai, dengan masalah (Datuk Seri) Anwar Ibrahim.

Nak kata zaman saya isunya tidak begitu besar sebenarnya. Tetapi sebab media sosial dan juga ada pihak menggunakan akhbar luar yang menyebabkan tekanan itu agak lebih sikit. Isunya tidaklah macam krisis (kewangan) Asia dulu, parti UMNO diharamkan ke, sebab fundamental kita masih kuat. Fundamental ekonomi masih kuat. Fundamental politik masih kuat.

Cuma gambaran persepsi, orang putih kata 'Noise Level' itu kuat sikit kerana peranan dimainkan oleh media sosial dan akhbar asing.

SOALAN: Bagaimana Datuk Seri melihat media sosial hari ini. Ada langkah-langkah tertentu mungkin, cara menangani media sosial atau biarkan begitu sahaja?

NAJIB: Kita dah terima bahawa Malaysia merupakan sebuah negara yang terbuka. Maknanya, kita sudah terima apa juga perkembangan dari segi teknologi, kita akan gunakan dan digunakan di Malaysia. Kerana kita hendak Malaysia menjadi sebuah negara yang dianggap sebagai moden, progresif.

Jadi apa juga teknologi media sosial berdasarkan pada perkembangan internet itu, kita sudah terima di Malaysia, dan kita merupakan sebuah negara di mana maklumat itu terbuka. Jadi kita nak ubah itu tidak boleh. Nak undur ke belakang pun tak boleh.

Kita cuma boleh ke depan sahaja dan kita mesti pertamanya melatih orang UMNO sendiri untuk menjadi pengerak dan pengamal media sosial yang aktif di semua peringkat. Walaupun kita setakat dengan Facebook dan Twitter, kurang-kurangnya kita boleh buat komen di sana. Itu saya anggap sebagai yang saya katakan 'the new politics in the political environment'. Di mana UMNO sekarang mesti berubah daripada kekuatan/kemahiran kita dalam politik lama kepada politik baharu dan persekitaran baharu. Itu sahaja.

Maknanya, kalau kita hendak berjaya, sebagai parti yang mempunyai kelangsungan pengaruh dan kita nak relevan sepanjang zaman, maka zaman media sosial pun UMNO mesti berubah dan mempunyai kemampuan membuat adaptasi kepada environment yang baharu.

SOALAN: Menjelang ulang tahun ke-70 UMNO, apakah mesej yang ingin Datuk Seri sampaikan kepada semua ahli UMNO?

NAJIB: Kita kena kembali kepada sejarah UMNO ditubuhkan. Sebab-sebab UMNO ditubuhkan. Kita mesti pelajari dari segi sejarah perjuangan dari dahulu sebab prinsip matlamat dan nilai itu penting.

Jadi, walaupun persekitaran berubah, teknologi berubah, cabaran berubah, tetapi kita mesti pegang kuat kepada matlamat prinsip dan nilai perjuangan yang luhur. Itulah merupakan kekuatan kita. Berasaskan pada Islam dan budaya Melayu, adat resam, perlembagaan dan etos. Itu yang mesti terus menjadi pegangan kita sampai pada hari ini.

Insya-Allah, kalau kita berpegang kepada prinsip-prinsip dan nilai tersebut, kita belajar daripada sejarah, kita cinta kepada parti, kita meletakkan parti atas segala-galanya, insya-Allah parti kita akan menyambut 70 tahun lagi dan mungkin lebih daripada itu.

-- BERNAMA