Showing posts with label yb farid. Show all posts
Showing posts with label yb farid. Show all posts

Monday, 30 October 2017

Kesibukan tidak halang ADUN Pulau Betong Terima Anugerah PhD


GEORGE TOWN – Bergiat aktif dalam lapangan politik bukan penghalang buat Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong menimba ilmu hingga berjaya menggenggam segulung Ijazah Kehormat Doktor Falsafah di Universiti Sains Malaysia (USM), di sini hari ini.

Datuk Muhamad Farid Saad, 54, penerima anugerah itu dalam bidang Sains Politik menzahirkan rasa syukur kerana berjaya menyempurnakan pengajiannya di USM selama dua tahun setengah.

“Bidang politik memerlukan saya untuk sentiasa memikirkan soal pendidikan, pemilikan tanah mahupun keusahawanan supaya ilmu yang saya peroleh ini dapat disalurkan kepada masyarakat seterusnya memberi manfaat kepada mereka,” katanya ketika ditemui pemberita pada Upacara Konvokesyen USM ke-55.

Anugerah itu disampaikan oleh Canselor USM, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Al-Marhum Tuanku Syed Putra Jamalullail di hadapan 574 graduan dalam pelbagai lapangan bagi sidang pertama.

Beliau turut melakukan beberapa kajian mengenai pemilikan tanah di negeri ini supaya ia dapat diaplikasikan dengan kehidupan masyarakat setempat iaitu sejajar dengan peranannya sebagai ahli politik yang dekat dengan masyarakat sepanjang pengajiannya.

Selain Muhammad Farid, turut menerima anugerah doktor falsafah itu ialah Naib Juara Pencetus Ummah Musim Ketiga (2015) Taha Mohd. Omar yang lebih dikenali sebagai ‘PU Taha’.

Kejayaan beliau menamatkan pengajian dalam bidang Pengurusan Pembangunan Islam selama empat tahun itu menepis dakwaan sesetengah masyarakat bahawa personaliti televisyen sepertinya kurang menitikberatkan soal pendidikan dan hanya memikirkan soal glamor semata-mata.

“Bagi saya, popular itu hanyalah sementara sahaja sebaliknya ilmu itu kita boleh bawa sampai bila-bila. Di samping itu, kita dapat buktikan bahawa kita ini bukanlah ‘ustaz ekspres’ seperti yang didakwa oleh sesetengah masyarakat,” katanya.

Majlis konvokesyen itu turut menyaksikan penerima anugerah doktor falsafah termuda iaitu Naja Nadiara Omar yang berjaya menamatkan pengajiannya dalam bidang fizik pada usia 24 tahun.

Beliau turut berkongsi kegembiraannya bersama keluarga dan suami yang tidak putus-putus memberi semangat kepadanya untuk menimba ilmu ke peringkat yang lebih tinggi.

Sementara itu Pegawai Pertanian di Universiti Sultan Zainal Abidin, Mohd Rohaizad Md Rejab, 33, hari ini menerima anugerah Anumerta bagi pihak isterinya yang meninggal dunia akibat kanser payudara pada tahun lalu.

Isterinya, Zaharah Ghazali turut menamatkan pengajian doktor falsafah dalam bidang Sains Kemasyarakatan.

Seramai 6,850 graduan akan menerima ijazah pertama dan ijazah tinggi masing-masing sempena upacara Konvokesyen ke-55 USM yang bermula hari ini. – BERNAMA


Tuesday, 23 May 2017

Baiki rumah usang di tapak warisan

GEORGETOWN - Kerajaan DAP Pulau Pinang disaran membaiki rumah usang di bandar raya George Town yang merupakan kawasan tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO).

Datuk Muhamad Farid Saad (BN-Pulau Betong) berkata, terdapat banyak rumah usang yang terbiar dan ada antaranya diambil oleh pemaju dan dirobohkan.

"Adakah kerajaan negeri bercadang untuk membaik pulih rumah tinggalan lampau yang masih ada untuk tarikan pelancong," katanya pada sesi soal jawab sidang undangan negeri Pulau Pinang, di sini hari ini.
Beliau turut menyarankan kerajaan negeri mewujudkan perkampungan warisan untuk menarik lebih ramai pelancong.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir  negeri Chow Kon Yeow berkata terdapat kekangan untuk memperbaiki rumah usang di bandar raya ini berikutan syarat ketat Jabatan Konservasi Warisan, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).
"Memang setelah beberapa tahun bandar raya Georgetown diisytihar sebagai tapak warisan dunia, terdapat banyak kemajuan. Ada rumah-rumah usang ini yang telah dibaik pulih oleh tuan tanah," katanya.
Kon Yeow berkata, berdasarkan rekod MBPP, sehingga April tahun ini terdapat 64 rumah usang di kawasan Komtar. - Bernama