Showing posts with label zainal abidin osman. Show all posts
Showing posts with label zainal abidin osman. Show all posts

Thursday, 12 April 2018

UMNO Pulau Pinang Tanding 5 Parlimen, 15 DUN,Datuk Seri Zainal Abidin Umum Tidak Bertanding Di Nibong Tebal

NIBONG TEBAL, 12 April – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman mengumumkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

Jelas beliau, seorang muka baru akan diperkenalkan sebagai calon di Parlimen Nibong Tebal bagi menggantikan dirinya.

“Sebenarnya telah hampir dua tahun saya memaklumkan hasrat ini kepada Presiden parti.

“Saya juga amat berterima kasih kepada Datuk Seri Najib Tun Abd Razak kerana bersetuju apabila saya mencadangkan untuk seorang muka baru menggantikan saya di kerusi Parlimen Nibong Tebal.

“Pengganti saya ini telah berkhidmat kepada masyarakat dan mendapat reaksi yang positif di kalangan penduduk tempatan,” jelas beliau dalam satu kenyataan kepada UMNO-Online di sini, hari ini.

Selain itu tambah Zainal, walaupun tidak akan bertanding namun beliau akan terus memberikan sepenuh usaha dan tumpuan untuk memimpin Jentera Pilihan Raya UMNO Pulau Pinang untuk ‘retain’ tiga kerusi Parlimen dan 10 kerusi DUN sedia ada selain ‘regain’ dua kerusi Parlimen dan lima kerusi DUN yang pernah di menangi sebelum ini di samping mengerakkan jentera UMNO untuk membantu calon-calon BN di kerusi-kerusi lain.

Bercakap soal calon di negeri itu jelas beliau, senarai calon-calon UMNO Pulau Pinang  yang mewakli BN telah dimuktamadkan dan akan diumumkan oleh Pengerusi BN dalam masa terdekat.

“Calon-calon BN Pulau Pinang terdiri daripada lima calon Parlimen dan 15 calon DUN daripada UMNO manakala lapan calon Parlimen dan 25 calon DUN mewakil parti-parti komponen Gerakan, MCA dan MIC,” jelas Zainal. – MediaUMNO

Monday, 12 June 2017

Guan Eng harus jawab soalan rakyat tanpa syarat - Datuk Seri Zainal Abidin Osman

Ketua menteri tiada hak minta kemuka deposit, berhenti politik atau pelbagai syarat sebelum jawab soalan, kata DS Zainal Abidin


Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tiada hak meletakkan syarat jika ada rakyat meminta penjelasan tentang sebarang isu di negeri ini, kata Pengerusi Umno negeri Datuk Seri Zainal Abidin Osman.
Ini kerana katanya Lim menjadi ketua menteri berdasarkan mandat yang diberi oleh rakyat.

“Bila mandat diberi oleh rakyat, mereka berhak bertanya soalan, lebih-lebih lagi ia bukan direka atau daripada sumber fitnah. Penjualan tanah di Jalan Peel (misalnya), ia benar-benar berlaku.
“Jika ada pihak seperti Gerakan kemuka soalan, ketua menteri tiada hak minta kemuka deposit, suruh berhenti berpolitik atau letak pelbagai syarat sebelum jawab soalan mereka,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Umno negeri di pusat khidmat Adun Pulau Betong, di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang baru-baru ini yang menetapkan 3 syarat kepada Gerakan negeri sebagai “pertukaran” bagi mengemukakan minit mesyuarat Perbadanan Ketua Menteri (CMI) berhubung isu penjualan tanah Jalan Peel, dekat sini.
Syarat berkenaan ialah Gerakan Pulau Pinang perlu menyumbang RM1 juta bagi tujuan kebajikan, menarik balik kenyataan bahawa keputusan penjualan tanah di Jalan Peel dibuat secara “solo” serta meminta parti itu menarik diri daripada arena politik.



Monday, 1 May 2017

PAS tolak Pakatan satu kelebihan, kata Umno Pulau Pinang

Tindakan PAS yang bermusuhan dengan DAP dan tidak menyertai Pakatan Harapan berkemungkinan akan memberikan kelebihan kepada Umno Pulau Pinang dalam persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pengerusi Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, pihaknya bersedia menghadapi segala kemungkinan termasuk pertandingan 2, 3 atau 4 penjuru dalam 1 kawasan.
Pakatan Harapan dianggotai oleh DAP, PKR, Amanah dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
“Umno sebagai parti yang telah melibatkan diri dalam pilihan raya sebanyak 13 kali sejak negara merdeka sudah tentu ada pengalaman.

“Kita mungkin akan ada kelebihan terpulang kepada tempat yang kita bertanding,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri di Tasek Gelugor di sini hari ini.

Zainal Abidin berkata demikian ketika ditanya kemungkinan Umno akan berdepan pertandingan 3 penjuru berikutan PAS yang kini bermusuhan dengan DAP dan juga PKR.
Namun Zainal Abidin berkata, Umno negeri harus menerima hakikat bahawa sokongan kaum bukan Melayu di Pulau Pinang terhadap parti-parti komponen lain dalam Barisan Nasional (BN) agak tidak memberangsangkan.

Beliau berharap pemikiran kaum bukan Melayu negeri akan berubah semasa PRU14.
Sekiranya pemikiran mereka tidak berubah, BN akan melancarkan strategi ‘menafikan majoriti 2/3″ supaya kerajaan negeri ini tidak diberi kuasa mutlak untuk melakukan apa sahaja, kata beliau.
Pada 2015, PAS telah memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP dan kini Muktamar PAS ke-63 yang sedang bersidang di Alor Setar, secara sebulat suara pula meluluskan usul memutuskan kerjasama politik dengan PKR.

Monday, 24 April 2017

Cadangan Kerajaan DAP Pulau Pinang Untuk Menaikkan Kadar Surcaj Air Melebihi 100% Membebankan Pengguna - Datuk Seri Zainal Abidin Osman

Cadangan Kerajaan DAP Negeri Pulau Pinang untuk sekali lagi menaikkan kadar surcaj penggunaan air domestik atas alasan pemuliharaan air adalah tidak wajar dan akan membebankan pengguna-pengguna yang terlibat.

Kenaikan kadar surcaj pemuliharaan air ini adalah kali kedua sejak ia mula diperkenalkan pada November 2010. Kempen penjimatan air oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang dengan mengenakan surcaj pemuliharaan air atau SPA sejak 2010 ini bagaimana pun telah gagal mengurangkan penggunaan air per kapita negeri Pulau Pinang.

Atas alasan penggunaan air per kapita masih tinggi dan tidak menunjukkan penurunan, Kerajaan DAP Negeri Pulau Pinang pada September 2013 telah menaikkan kadar surcaj sebanyak 100 peratus; dari 24 sen ke 48 sen bagi setiap 1000 liter penggunaan melebihi 35,000 liter sebulan.

Kini April 2017, dengan menggunakan alasan yang serupa, Kerajaan DAP Negeri Pulau Pinang pimpinan Lim Guan Eng sekali lagi akan menaikkan surcaj pemuliharaan air, kali ini lebih 100%; dari 48 sen kepada 100 sen bagi setiap 1000 liter penggunaan melebihi 35,000 liter sebulan. Ini adalah peningkatan surcaj kali kedua.

Tindakan Kerajaan DAP Negeri Pulau Pinang mendenda atau "penalized" rakyat Pulau Pinang dengan mengenakan surcaj pemuliharaan air masih gagal menurunkan kadar penggunaan air per kapita harian negeri. Tindakan Kerajaan Negeri itu tidak berjaya menurunkan kadar penggunaan air tetapi berjaya memberi pendapatan tambahan dan seterusnnya keuntungan kepada PBAPP dan Kerajaan DAP Negeri Pulau Pinang.


Perlu diingatkan, pada 2015 tarif air domestik bagi Negeri Pulau Pinang juga telah dinaikkan sebanyak 16.7 % oleh Kerajaan DAP Negeri Pulau Pinang walaupun Kerajaan DAP Pulau Pinang telah berkali-kali berjanji untuk tidak menaikkan tarif air di Pulau Pinang.

Selama 15 tahun (1993-2008) di bawah Kerajaan Negeri Barisan Nasional, tidak pernah sekali pun tarif air dinaikkan. Malah juga tiada sebarang surcaj pernah dikenakan ke atas pengguna-pengguna air di Pulau Pinang namun PBAPP pada tempoh itu masih mampu memberikan bekalan air bersih yang berkualiti dan perkhidmatan yang baik kepada rakyat Pulau Pinang.

Kerajaan DAP Negeri Pulau Pinang seharusnya lebih bertimbang rasa dengan masalah sara hidup yang sedang dihadapi oleh rakyat Pulau Pinang. Tindakan Kerajaan Negeri dan PBAPP menaikkan surcaj akan hanya menambah bebanan ke atas mereka.

#SelamatkanPulauPinang

Terima kasih.

Kenyataan Media
Datuk Zainal Abidin Osman
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO
Negeri Pulau Pinang

Isnin 24 April 2017

Sunday, 2 April 2017

Pemuda UMNO Pulau Pinang Sumbang Petrol Percuma


NIBONG TEBAL – Hampir 1,000 penunggang motosikal di sekitar daerah ini tidak melepaskan peluang mendapatkan petrol percuma sumbangan Pemuda UMNO negeri ini di stesen minyak Tasek Mutiara di sini.

Rata-rata mereka sudah mula beratur di stesen minyak itu sejak pukul 12 tengah hari tadi bagi mendapatkan petrol percuma sebanyak RM5 seorang meskipun pemberian tersebut hanya bermula pada pukul 2 petang.

Ketua Pemuda UMNO negeri, Rafizal Abdul Rahim berkata, pihaknya terpanggil mengadakan program itu sebagai salah satu cara mendekati dan menyumbang kepada masyarakat setempat.

Kata beliau, pihaknya juga memilih memberi petrol percuma kepada penunggang motosikal kerana menyedari golongan kurang bekemampuan mungkin terkesan dengan ketidaktentuan harga minyak berkenaan ketika ini. – UTUSAN ONLINE