Wednesday, 29 July 2020

Program subsidi petrol tidak akan diteruskan - KPDNHEP



Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Kementerian Kewangan memutuskan untuk tidak meneruskan program subsidi petrol (PSP), yang sepatutnya dilaksanakan kira-kira 7 bulan lalu bermula Januari tetapi ditangguhkan.

Timbalan Menteri KPDNHEP Rosol Wahid memaklumkan Dewan Rakyat perkara itu akan dibawa ke jemaah menteri untuk memuktamadkan pendirian kerajaan.

“Pada 9 Julai pihak KPDNHEP dan Kementerian Kewangan mengadakan mesyuarat berkenaan hala tuju program susbsidi petrol ini dan memutuskan 2 perkara: Pertama, KPDNHEP dan Kementerian Kewangan bersetuju untuk tidak melaksanakan PSP, dan akan membawa perkara itu dalam perbincangan Kabinet untuk memuktamadkan pendirian kerajaan untuk tidak melaksanakan program tersebut,” katanya.

Monday, 27 July 2020

Tiada sekatan perjalanan, boleh balik kampung bagi menyambut Hari Raya Aidiladha - Ismail Sabri

Orang ramai boleh pulang ke kampung masing-masing bagi menyambut Hari Raya Aidiladha susulan tiada sekatan perjalanan termasuk rentas negeri, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau, bagaimanapun mengingatkan orang ramai supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengawal penularan Covid-19.

"Patuhi SOP walaupun kerajaan benar balik kampung, kita kena jaga kita.

"Kita kena pastikan diri kita terjaga dengan mematuhi setiap SOP dikeluarkan," katanya pada sidang media Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di bangunan parlimen di Kuala Lumpur hari ini.


- Bernama

Jika diberi peluang, saya sedia tanding sebagai calon Perikatan Nasional - Dr Afif

Adun Seberang Jaya Dr Afif Bahardin berkata beliau bersedia untuk bertanding dalam pilihan raya umum ke-15 sebagai calon Perikatan Nasional sekiranya diberikan peluang.

“Kalau diberi peluang, saya bersedia untuk bertanding sebagai calon Perikatan Nasional,” katanya ketika ditemubual oleh Malaysiakini di Mona by Jibril di Publika, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Afif yang kini merupakan Adun Bersatu berkata demikian ketika ditanya mengenai peluang bertanding dalam PRU15 sebagai calon Bersatu atau beliau melihat dirinya sebagai platform baru yang memperjuangkan idea politik berbilang kaum.

Bekas ketua pemuda PKR yang dipecat parti pada Mei lalu, kini merupakan pengasas dan pengerusi sebuah badan NGO, Pemuda Negara berkata pertubuhan itu diwujudkan untuk memperjuangkan politik pelbagai kaum yang menumpukan kepada isu kepentingan rakyat secara keseluruhan.


Bagaimanapun katanya, penentuan calon PN yang akan bertanding nanti ditentukan oleh kepimpinan.

Friday, 24 July 2020

Pengusaha restoran nasi kandar ditahan ingkar arahan kuarantin

 Lagi kes ingkar arahan kuarantin, kali ini membabitkan seorang pengusaha restoran nasi kandar di Pekan Napoh, Jitra pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata lelaki itu sepatutnya menjalani kuarantin di rumah selepas pulang dari India 13 Julai lalu.

Bagaimanapun, katanya lelaki itu yang masih memakai gelang merah jambu menandakan dia adalah individu bawah pengawasan (PUS) dikesan pergi ke restorannya.

“Lelaki terbabit memberi alasan dia datang ke kedainya bagi memantau perniagaan.

“Bagaimanapun dia akhirnya ditahan pada jam 9 pagi tadi selepas pihak polis menerima aduan orang awam,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Kertas siasatan SPRM berhubung terowong Pulau Pinang diserah kepada peguam negara segera

Siasatan berkaitan kes projek terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion dijangka dapat diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki.

Beliau berkata, ketika ini siasatan kes berkenaan berada pada fasa terakhir dan tidak ramai saksi yang dipanggil untuk diambil keterangan bagi menyiapkan siasatan kes berkenaan.

“Sepatutnya hari ini, kami memanggil (bekas Menteri Kewangan) Lim Guan Eng untuk memberi keterangan kali kedua, tetapi beliau tidak dapat hadir kerana tidak sihat

“Esok (Jumaat) juga beliau tidak dapat hadir kerana ada hal. Oleh yang demikian, SPRM akan meneruskan rakaman percakapannya sekali lagi Sabtu ini,” katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran buku “Modul Integriti dan Rasuah”, di sini, hari ini.

Semalam, Lim, yang juga bekas ketua menteri Pulau Pinang hadir ke ibu pejabat SPRM Putrajaya untuk dirakam keterangan.