Friday, 16 October 2020

Kerajaan Pulau Pinang keluarkan RFP Projek Kereta Kabel Bukit Bendera bulan depan



GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang akan mengeluarkan tawaran Permohonan Cadangan (RFP) untuk pelaksanaan Projek Kereta Kabel Bukit Bendera pada bulan depan, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

 

Beliau berkata keputusan itu diambil selepas Kementerian Kewangan dalam surat bertarikh 3 April, memaklumkan peruntukan untuk projek tersebut tidak dapat diteruskan sekalipun projek berkenaan diluluskan dalam Belanjawan 2020.

 

Kerajaan Pulau Pinang telah mengemukakan rayuan pada 10 Jun lepas supaya Kementerian Kewangan meneliti dan menimbang semula keputusan itu, namun hingga kini tiada sebarang maklum balas diterima, katanya.

 

“Jadi, kerajaan negeri akan meneruskan projek ini dengan memanggil RFP melalui Perbadanan Bukit Bendera pada November nanti," katanya semasa menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Air Putih) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.

 


DUN Pulau Pinang kecoh, ADUN Pantai Jerejak masih tidak kelihatan


GEORGE TOWN: Sesi persidangan Dewan Undangan (DUN) Negeri Pulau Pinang hari ini kecoh hampir 10 minit dengan pertikaman lidah beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berhubung isu ketidakhadiran ADUN Pantai Jerejak.


ADUN Zulkifli Ibrahim (Bersatu-Sungai Acheh) telah bangun bertanya kepada Speaker Datuk Law Choo Kiang ke mana ADUN Pantai Jerejak, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, sebelum DUN beralih kepada sesi penggulungan.


Persoalan itu telah menyebabkan ADUN Dr Afif Bahardin (Bersatu-Seberang Jaya) bangun dan membacakan Peraturan Dewan yang mewajibkan semua ADUN kalau tidak dapat hadir harus memaklumkan kepada setiausaha DUN dengan kadar segera.


"Saya telah perhatikan, kerusi Pantai Jerejak ini telah kosong sejak hari pertama persidangan. Sebelum ini ada usul nak kosongkan kerusi sekarang ini, ada kerusi tapi tiada wakil rakyat. Apa yang berlaku ini? Ini tindakan yang tidak menghormati Dewan," katanya.



1,970 jawatan kosong dalam pelbagai industri di Perak


IPOH: Sebanyak 1,970 kekosongan jawatan dalam pelbagai industri yang memerlukan penempatan segera boleh dimohon dan diisi oleh rakyat Perak bagi membolehkan operasinya tidak terjejas atas faktor guna tenaga yang tidak berada pada tahap maksimum.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak Razman Zakaria berkata mereka yang sedang mencari pekerjaan diseru mengambil peluang yang ditawarkan oleh industri melalui agensi pelaksana Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK).

 

"Sebanyak 2,247 jawatan kosong telah diterima oleh PASAK bermula Jun sehingga September lepas meliputi sektor pembuatan 770 kekosongan, automotif 881 kekosongan, perkhidmatan 122 kekosongan dan lain-lain sektor, 474 kekosongan jawatan.

 

"Namun begitu, daripada sejumlah 1,664 pencari kerja yang mendaftar di bawah PASAK, hanya 277 pencari kerja yang telah berjaya atau disenarai pendek oleh industri sehingga kini.

 

"Ini bermakna, masih terdapat 1,970 kekosongan jawatan kosong yang boleh dimohon dan diisi oleh rakyat negeri Perak," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 


18 Disember tarikh pengurusan kes Lee Guan Eng


BUTTERWORTH: Mahkamah Seksyen Butterworth di sini semalam menetapkan 18 Disember ini untuk pengurusan kes berkaitan rasuah melibatkan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, 60, dan dua yang lain.

 

Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan dan pembelaan memohon untuk melengkapkan dan meneliti dokumen berkaitan sebelum diserahkan kepada mahkamah.

 

Bagaimanapun kesemua tertuduh termasuk isteri Guan Eng, Betty Chew Gek Cheng, 56, dan ahli perniagaan, Phang Li Koon, 48, tidak hadir pada prosiding tersebut kerana mendapat pengecualian kehadiran daripada mahkamah.

 

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, S. Silvaranjini manakala Guan Eng dan Gek Cheng diwakili peguam RSN. Rayer serta Li Koon diwakili A. Ruben Kumar.

 

Terdahulu, pada 11 Ogos lalu, Guan Eng mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri dan Pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) untuk suapan wang berjumlah RM372,000 bagi isterinya melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn. Bhd.

 


Murid SK Permatang Janggus teruja ke sekolah selepas 14 hari kuarantin


KEPALA BATAS: Semua murid tahun satu dan dua Sekolah Kebangsaan Permatang Janggus, Penaga dekat sini yang menjalani kuarantin sejak 2 Oktober lalu susulan seorang guru dikesan positif Covid-19 kembali memulakan sesi persekolahan hari ini.

 

Tinjauan pengamal media di luar pekarangan pintu masuk utama mendapati pengawal keselamatan dan guru bertugas mencatatkan suhu murid-murid yang tiba di hadapan pagar sekolah kira-kira pukul 7 pagi.

 

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Zainal Abidin Omar berkata, keputusan ujian saringan kedua Covid-19 warga sekolah terbabit didapati negatif.

 

“Selain itu, premis ini juga telah dinyah kuman oleh Jabatan Kesihatan negeri sebanyak dua kali dan turut disahkan selamat oleh Kementerian Kesihatan  (KKM).

 

“Justeru, sekolah sudah dibuka sejak 9 Oktober lalu bagi semua murid kecuali tahun satu dan dua yang hanya memulakan sesi persekolahan hari ini selepas menjalani kuarantin selama 14 hari,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

 

Mengulas lanjut, beliau berkata, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 tetap menjadi keutamaan pihak sekolah bagi memastikan keselamatan murid terjaga.

 

“Diharapkan ibu bapa dapat memberikan sepenuh galakan kepada anak-anak untuk hadir ke sekolah kerana guru-guru sedang berusaha keras untuk menghabiskan sukatan pelajaran bagi peperiksaan akhir tahun ini.

 

“Bantu kita untuk membendung gejala ini dengan selalu mengingatkan anak-anak supaya sentiasa mematuhi SOP pencegahan Covid-19,” katanya.

 

 -UTUSAN