Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) berpendapat pelaksanaan sistem pengangkutan bot laju di Pulau Pinang dilakukan tanpa menimbangkan pelbagai faktor penting yang akan menyusahkan penumpang pejalan kaki.
Paling membimbangkan ketiadaan langkah-langkah penjarakan sosial diambil bagi keseluruhan proses perjalanan, dari bot laju ke bas shuttle yang diatur untuk mengangkut penumpang ke stesen bas di Weld Quay.
Perkara ini memeranjatkan dan tidak dapat diterima sama sekali berikutan peningkatan besar kes Covid-19 dalam komuniti yang negara sedang alami di tengah kemelut jangkitan Gelombang Ketiga yang lebih berbahaya.
Di dalam bot laju, penumpang harus duduk sebelah menyebelah atau berdekatan antara satu sama lain dalam ruang yang tertutup dan berhawa dingin. Dalam persekitaran sebegini, perebakan penyakit bawaan udara, termasuklah Covid-19, akan menjadi lebih tinggi berbanding feri lama yang terbuka dengan pengudaraan yang baik.