Polis Pulau Pinang menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa selepas menahan lima lelaki termasuk dua warga Indonesia dan merampas 263.7kg syabu bernilai RM9.49 juta dalam siri serbuan di negeri ini pada Rabu dan Khamis lepas.
Ketua Polis Pulau Pinang Sahabudin Abd Manan berkata, dalam kejadian Rabu lepas, Pasukan Polis Marin (PPM) yang sedang membuat rondaan Ops Benteng di kawasan perairan Teluk Tempoyak pada 6.30 petang menahan semua bot fiber dinaiki dua lelaki warga Indonesia dan pemeriksaan mendapati mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan diri.
Beliau berkata, susulan soal siasat ke atas dua lelaki yang ditahan dan diserahkan kepada unit risikan PPM itu, polis menyerbu sebuah pondok nelayan di jeti haram di tebing Sungai Keluang, Bayan Lepas, pada 4 pagi Khamis, dan menahan seorang lelaki tempatan berusia 55 tahun selepas menemukan 130 bungkusan mengandungi dadah dalam sebuah bot fiber yang terdapat di situ.
“Susulan pemeriksaan lanjut, polis menjumpai sebuah kereta jenis Mazda dan 115 bungkusan dadah di ruang antara tempat duduk belakang dan but kenderaan itu yang telah diubah suai untuk menempatkan dadah. Keseluruhannya 245 bungkusan dirampas di situ,” katanya pada sidang media.