rubiconproject.com, 9655, RESELLER, 0bfd66d529a55807)

Thursday, 22 July 2021

Syed Saddiq mengaku tidak bersalah seleweng dana

 


Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menyalahgunakan dana Bersatu bernilai RM1 juta.

Bekas menteri belia dan sukan itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan hakim, Azura Alwi.

Menurut pertuduhan tersebut, Syed Saddiq dituduh menyalahgunakan wang Bersatu itu melalui cek CIMB Bank, di CIMB Bank, KL Sentral, Kuala Lumpur, pada 6 Mac tahun lalu.

Ahli Parlimen Muar itu juga dijangka akan turut dituduh di mahkamah sesyen lain hari ini, di depan hakim Suzana Hussin.

Tahun lalu, Syed Saddiq membuat laporan polis berkenaan kehilangan kira-kira RM250,000 dari peti besi di rumahnya di Petaling Jaya.

Dia berkata sebahagian besar wang berkenaan disimpan bagi kerja-kerja pengubahsuaian rumahnya.

Namun, kehilangan wang itu menggerakkan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana jumlah wang tunai yang "mencurigakan" dan dia disiasat selama lebih 11 jam.

Bagaimanapun, SPRM sebelum ini menafikan siasatan tersebut bermotif politik.

Untuk rekod, sebelum ini Syed Saddiq merupakan ketua Pemuda Bersatu (Armada) namun meninggalkan parti berkenaan selepas Langkah Sheraton berlaku dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) - yang mendapat mandat daripada rakyat pada PRU lalu - dijatuhkan. 


Mkini

Wednesday, 21 July 2021

49 Individu solat sunat Aidiladha direman


Seramai 48 lelaki warga asing dan seorang warga emas tempatan direman bagi membantu siasatan polis berhubung solat jAidiladha berama-ramai di tepi jalan di Taman Pelangi, Juru Pulau Pinang semalam.

BUKIT MERTAJAM – Mahkamah Majistret di sini hari ini mengeluarkan perintah reman ke atas 48 lelaki warga asing dan seorang warga emas tempatan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan mengadakan solat sunat Aidiladha di Taman Pelangi, Juru semalam.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Bukit Mertajam Hasliza Razak selepas membenarkan permohonan polis untuk menahan kesemua suspek terbabit.

Kesemua 48 warga asing berumur antara 20 dan 43 tahun itu direman empat hari manakala seorang warga tempatan berusia 64 tahun direman tiga hari, bermula hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan iaitu berhubung perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa.

Terdahulu semua suspek tiba di Mahkamah Majistret pada 10.10 pagi dengan memakai baju lokap polis.

Semalam, tular video di media sosial mengenai tindakan kumpulan lelaki di kawasan perumahan berkenaan sedang menunaikan solat di kawasan tempat letak kereta sehingga ke tepi jalan raya bermula 8.30 hingga 9 pagi.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam kenyataan turut memberi jaminan tindakan tegas akan diambil terhadap individu dan pihak penganjur yang menunaikan solat sunat Aidiladha di kawasan terbuka di Seberang Perai Tengah kerana melanggar SOP.

Kredit Bernama